Sehubungan itu, kelompok pertama yang berada di Kota Suci Madinah dinasihatkan tidak melepaskan peluang untuk banyak beriktikaf di Masjid al-Nabawi selain mengambil iktibar daripada aktiviti ziarah di kawasan sekitar. Lebih dari itu, jemaah perlu sentiasa menjaga adab ketika berada di samping Nabi SAW bagi memelihara kemuliaan dan kesuciannya. Usah terkesima dengan kedamaian dan keramahan penduduk setempat sehingga solat berjemaah diabaikan dan tujuan utama ke Tanah Suci dikesam­pingkan.

Selain dijanjikan dengan pahala beribadah dalam Masjid Nabi SAW sebanyak 1,000 kali ganda berbanding masjid lain, mereka yang dapat memelihara solat lima waktu berjemaah selama 40 waktu dijanjikan dengan kemuliaan lain. Dalam riwayat disebutkan: “Barangsiapa yang solat di masjidku (masjid Nabawi) 40 kali solat (40 waktu) dalam keadaan dia tidak pernah terlepas walaupun satu solat (waktu) pun, akan ditulis baginya keselamatan daripada api neraka, pelepasan daripada azab dan terselamat daripada sifat munafik.” (Riwayat Ahmad dan al-Thabarani)

Sementara itu, bagi jemaah yang terus ke Mekah al-Mukarra­mah atau melalui miqat di Bir Ali diingatkan agar tidak terkejut de­ngan suasana yang berbeza di Ha­ram Mekah. Persediaan dari sudut fizikal dan mental ditagih untuk melalui hari-hari sebelum wukuf kerana biasanya jemaah semakin ramai dan terpaksa bersesak-sesak untuk menyelesaikan umrah bagi yang berniat haji tamattuk.

Selain itu, ketika berada ke bu­mi Mekah usah terleka daripa­da solat berjemaah dan melaksanakan amalan kebajikan yang pahalanya dilipatgandakan sehingga 100,000 kali. Usah pula ter­libat mencemarkan kesucian Tanah Haram dengan perkara keji dan terkutuk. Kerana boleh jadi terpalit dosa yang dilipatgandakan seksa dan balasannya. Elakkan daripada membuang masa dengan bersembang, ‘mengeteh’ sambil menghisap rokok ataupun merayau-rayau dan membeli-be­lah sepanjang masa kerana kemungkinan menggagalkan cita-cita beroleh haji mabrur.

Lebih daripada itu, jauhkan diri daripada berkelahi ataupun saling caci mencaci hanya dengan sebab remeh. Usah diharapkan layanan lima bintang di Tanah Suci dengan harapan semuanya sempurna dan tersedia. Lebih buruk lagi apabila yang diharapkan tidak seberapa, petugas-petugas Tabung Haji pula menjadi mangsa makian dan cacian. Terdapat juga yang bermasalah dengan rakan sebilik malah terkadang antara suami dan isteri serta jemaah haji lain. Justeru, perbanyakkan ber­sabar dan berusaha menjaga lidah dan seluruh pancaindera sambil berharap dapat mengharungi ujian dan cabaran yang mendatang.

Menjelang 9 Zulhijjah, para tetamu dinasihatkan agar mengikhlaskan niat memulakan ibadah haji kerana Allah sambil berharap agar dipelihara daripada musibah se­masa di al-Masya’ir. Ambillah peluang keemasan ketika di bumi Arafah untuk bermunajat dan berdoa dengan bersungguh-sungguh kerana tidak ada hari yang paling banyak diampunkan dosa dan di­perkenankan doa melainkan pada Hari Arafah. Ini kerana terdapat yang tidak mengambil peduli sehingga ada yang tidur seharian dan hanya menghabiskan masa ber­bual sesama sendiri.

Ketika mabit (bermalam) di Muzdalifah hingga separuh ma­lam dan mengutip anak batu untuk melontar Jamrah al-Kubra pa­da 10 Zulhijjah dan melontar ketiga-tiga jamrah pada Hari Tasyrik, umat Islam diingatkan supaya tidak leka. Perbanyakkan berdoa selain bersabar menanti untuk dibawa ke Mina secara berperingkat-peringkat. Usah bertolak-tolak sebaiknya dahulukan warga emas dan golongan yang tak berdaya untuk menaiki bas sebagai tanda bertimbang rasa yang dituntut agama.

Semasa mabit di Mina pula ha­yati falsafah di sebalik suruhan melontar jamrah yang secara simbolik menandakan kebencian dan keengganan manusia untuk mengikut telunjuk iblis dan sekutunya. Elakkan hanya bersantai sepanjang tiga hari di bumi Mina. Teruskan usaha untuk solat secara berjemaah, qiamullail, berzi­kir sambil memuhasabah atas ke­kurangan diri. Usah dijadikan alasan khemah yang sempit dan ke­mudahan asas seperti tandas yang terhad untuk berhenti mela­kukan amal dan merayau-rayau di sekitar kawasan perkhemahan.

Setelah kembali ke Mekah dan me­nunaikan tawaf rukun haji se­kali lagi para tetamu diingatkan supaya tidak leka sementara menunggu penerbangan pulang ke tanah air. Kemungkinan inilah kali terakhir terpilih ke tanah suci sehingga segala masa dan kesempatan yang ada sebaiknya digunakan untuk beribadah semaksimum mungkin. Usah menjadi lemah setelah bergelar haji dan hajah kerana gelaran tersebut bukanlah segala-galanya. Yang lebih utama ialah bagaimana seseorang mampu merealisasikan pendidikan Mekah setelah kembali ke Tanah air.

Dalam riwayat disebutkan: “Ba­rangsiapa menunaikan haji ke­rana Allah kemudian tidak me­lakukan kemungkaran dan kefa­sikan dia kembali (ke tanah air) seperti hari dia baharu dilahirkan oleh ibunya.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Malah dikatakan antara tanda beroleh haji yang mabrur adalah seseorang meninggalkan maksiat yang pernah dilakukan, menggantikan kawan-kawan yang tidak elok dengan kawan-kawan yang baik serta meninggalkan majlis-majlis lagha (sia-sia) dan menghadiri majlis zikir dan ilmu. Perlu juga diingatkan perbelanjaan yang halal, niat yang murni dan segala yang dilakukan di Tanah Suci turut memberi impak yang besar sama ada seseorang beroleh ganjaran haji mabrur yang balasannya adalah nikmat syurga Ilahi ataupun sebaliknya.

DR. MOHD. ALI MUHAMAD DON ialah Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Pasir Gudang, Johor.