Setiap pekerjaan dipertanggungjawabkan terhadap individu Islam adalah satu tugas yang akan dipersoalkan oleh Allah di hari akhirat kelak. Dosa atau pahala diperoleh kelak bergantung kepada sejauh mana individu tersebut berjaya atau gagal dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan.

Kecuaian dan penyalahgunaan kuasa sepatutnya tidak berlaku dalam kalangan umat Islam ke­rana perkara ini adalah salah satu pengajaran Islam yang penting dalam pembentukan sosial, politik dan ekonomi negara Islam. 

Setiap individu yang menjawat jawatan kerajaan dan kema­syarakatan sepatutnya menumpukan sepenuh perhatian ke­pada tugas dipertanggungja­wabkan kepadanya tanpa me­ngira siapakah pemimpin dan parti politik yang menerajui kerajaan. 

Setiap penjawat awam mempunyai tugas khusus yang perlu dilaksanakan secara proaktif dan dedikasi supaya setiap peranca­ngan kerajaan dapat dilaksanakan sebaik mungkin demi kebaik­an masyarakat dan negara. 

Sikap cuai dan kurang prihatin terhadap tugas dipertanggungjawabkan adalah faktor utama yang boleh menggagalkan setiap pe­rancangan kerajaan. Indivi­du dilantik sebagai kakitangan ke­­rajaan adalah harapan rakyat bagi merealisasikan perancang­an kerajaan untuk membangun ma­syarakat dan menjamin ke­selamatan negara.

Kurang kesedaran terhadap ta­nggungjawab dan pembalasan di hari akhirat adalah faktor utama bertambahnya gejala rasuah, pe­nyalahgunaan kuasa dan peng­khianatan terhadap masyarakat dan negara. 

Kes anggota polis bersubahat dengan pengedar dadah, melin­dungi penjenayah dan melibatkan diri dalam memperdagangkan manusia semakin hari kian ketara dan sering dipaparkan oleh media. Jika perkara ini menjadi lumrah kepada anggota ke­selamatan negara maka kegiatan jenayah dan mungkar sukar untuk diatasi. 

Individu-individu yang memegang jawatan sebagai polis dan seumpamanya adalah orang yang melindungi nyawa dan menjamin keselamatan rakyat. Tugas tersebut adalah mulia di sisi Allah kerana ia merupakan kegiatan nahi mungkar (mencegah kemungkaran) di mana ia adalah salah satu kegiatan terpenting dalam pembentukan umat dan negara Islam yang ideal. 

Perkara ini disebut oleh Allah SWT dalam Surah 3 (al-Imran) ayat 4 yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar; merekalah orang yang beruntung.”

Kerajaan sudah melaksanakan tugasnya melantik anggota ke­selamatan dan ketenteraan bagi menjamin keselamatan negara seperti mana dituntut Islam. Individu-individu yang dilantik  oleh kerajaan sepatutnya me­numpukan perhatian kepada tugas secara ikhlas dan dedikasi supaya tenaga dan pengorbanan mereka dihargai masyarakat dan dirahmati Allah dengan ganjaran pahala istimewa di hari akhirat. 

Muaz Bin Jabal meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang berperang di jalan Allah walaupun sebentar iaitu sekadar memerah susu unta, maka wajib baginya mendapat pahala syurga. Dan sesiapa yang bermohon kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh untuk berjihad, kemudian dia mati atau dibunuh, maka baginya balasan syahid. Dan sesiapa terluka di jalan Allah atau ditimpa kemalangan, maka dia datang pada hari akhirat sekadar darah yang mengalir ketika luka warnanya seperti za’faran dan baunya bagaikan kasturi.” (Hadis Riwayat Abu Daud). 

Anggota polis dan keselamatan beragama Islam sepatutnya memahami bahawa tugas mereka adalah satu tugas yang paling mencabar dan memerlukan pengorbanan nyawa demi untuk menyelamatkan nyawa masyarakat dan keamanan negara.

Oleh itu, sikap pengkhianatan atau kecundang terhadap ma­syarakat dan negara sepatutnya tidak wujud dalam sanubari mereka. Sikap jati diri yang kukuh dan disiplin diri adalah latihan utama dalam pembentukan peribadi individu-individu yang menceburkan diri dalam arena keselamatan negara. 

Latihan jasmani dan kerohanian kental sepatutnya dipertingkatkan lagi dalam latihan polis dan ketenteraan supaya setiap individu yang menceburkan diri dalam bidang ini memahami tugas utama mereka dalam ma­syarakat mengikut perspektif Islam, bukan mencampur adukkan kegiatan keselamatan dengan jenayah. Tanpa kesedaran dan keimanan kukuh adalah sukar untuk membendung anggota polis dan keselamatan daripada terlibat dalam kegiatan jenayah.  

Kesedaran terhadap pembalasan di hari akhirat sahaja mampu memperkukuhkan prinsip dan jati diri mereka sebagai orang beriman dan sentiasa mengharapkan pembalasan baik daripada Allah SWT dan keberkatan dalam kehidupan. Tugas sebagai anggota keselamatan seperti polis dan tentera adalah satu ‘perniagaan’ yang paling baik di hari akhirat. 

Perkara ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam surah 61 (al-Shaff) ayat 10-12 yang bermaksud: “Hai orang yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? (Iaitu) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya, nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang me­ngalir di bawahnya sungai-sungai, dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dalam surga Adn. Itulah keberuntungan yang besar.”  

Berdasarkan kepada keistimewaan bertugas untuk masyarakat dan negara maka setiap individu yang terlibat dalam tugas tersebut sepatutnya melatih diri menjadi orang yang proaktif dan jujur dalam perkhidmatan supaya jasa dan tenaga yang dicurahkan selama ini diberkati Allah dan memperoleh ganjaran istimewa di hari akhirat. 

PROFESOR MADYA DR. SAODAH ABD. RAHMAN dari Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).