Sebaliknya, pertubuhan yang sudah berakar umbi sejak sebelum negara merdeka sehinggalah ia didaftarkan pada tahun 1982 banyak berperanan dalam masyarakat orang Melayu.

Dalam keadaan politik hari ini yang menyaksikan orang Melayu semakin berpecah-belah, Pekida sekali lagi boleh memainkan peranan bagi menyatukan orang Melayu tanpa mengira fahaman politik.

Antaranya menerusi perhimpunan khas yang akan diadakan di PWTC, Kuala Lumpur pada 26 Ogos ini. Wartawan Mingguan Malaysia, HAFIZAHRIL HAMID dan ABD. AZIZ ITAR serta jurugambar JEFFRI IRAN sempat menemu bual pengasas Pekida, DATUK SERI ZAIENAL ABIDIN OMAR Rabu lalu bagi mengetahui peranan yang akan dilakukan oleh Pekida bagi mencapai hasrat itu.

"Keadaan kini agak membimbangkan kita semua sebagai orang Melayu akibat perpecahan sesama sendiri dan apa yang saya lakukan ini adalah demi kelangsungan dan masa depan umat
Melayu itu sendiri," jelasnya.
 

MINGGUAN: Bagaimana Datuk Seri melihat pertubuhan seperti Pekida mampu menjadi penyatu bagi orang Melayu pada hari ini?

ZAIENAL ABIDIN: Hari ini perpecahan orang Melayu amat membimbangkan kerana beberapa sebab. Antaranya sebab fahaman agama dan politik. Ini menyebabkan perpecahan dalam kalangan mereka. Kalau kita gunakan saluran politik semata-mata untuk menyatukan orang Melayu ia agak susah. Jadi, saya nampak wadah yang boleh menyatukan orang Melayu adalah pertubuhan seperti Pekida (Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia). Ini kerana, dalam Pekida kita ada lebih kurang dua juta ahli.

Mereka menjadi ahli tanpa mengira fahaman politik dan perbezaan pendapat dalam agama. Mereka bersatu di bawah bumbung Pekida. Tetapi Pekida yang diasaskan sebelum merdeka dan didaftarkan pada tahun 1982, bertujuan untuk membela dan menyatukan orang Melayu demi bangsa, agama dan tanah air.

Antara lain matlamat Pekida adalah bagi menjaga kedaulatan Raja-raja Melayu dan pemimpin Melayu. Itu adalah tujuan asal Pekida. Ia juga bagi menjadikan organisasi ini sebagai sebuah pertubuhan yang halal.

Namun, apabila Pekida telah berkembang dengan pesat, ahli-ahlinya ramai seperti biasalah akan ada pihak-pihak yang mengambil kesempatan. Mereka menggunakan Pekida untuk menjalankan kegiatan-kegiatan haram, menjadi pelindung kepada kegiatan-kegiatan tidak bermoral bagi mendapatkan sokongan dalam politik dan sebagainya. Sebabnya Pekida mempunyai ramai ahli.

Oleh sebab itu, imej Pekida telah tercemar agak teruk pada hari ini. Apabila orang sebut sahaja nama Pekida, orang akan kaitkan dengan kegiatan samseng, kongsi gelap dan sebagainya. Ini tidak benar kerana Pekida tidak pernah sesekali merestui ahli-ahlinya terlibat kegiatan tidak bermoral.

Ini kerana moto dan prinsip Pekida adalah ‘amal maaruf, nahi mungkar’ atau memperjuangkan kebaikan dan menegah kemungkaran. Itu merupakan tujuan asal Pekida.

Boleh Datuk Seri jelaskan proses ‘pemutihan’ yang mahu dilakukan ke atas ahli-ahli Pekida?

ZAIENAL: Oleh sebab orang Melayu kini telah berpecah, jadi saya mahu jadikan Pekida sebagai ‘wadah’ bagi penyatuan orang Melayu supaya kembali bersatu bawah satu bumbung. Kita ada ahli-ahli yang terdiri daripada dua kategori.

Satu terdiri ahli-ahli Pekida berdaftar dan kedua mereka yang telah ‘berbai’ah’ tetapi tidak berdaftar. Kalau kita dapat satukan mereka ini bermakna ini adalah suatu penyatuan orang Melayu terbesar di bawah satu bumbung.

Oleh sebab nama atau imej Pekida tercemar teruk maka usaha yang perlu dilakukan adalah bagi membersihkan imej itu sendiri. Selian itu, kami juga mahu mengajak semua ahli Pekida supaya kembali bersatu padu.

Sekiranya ada ahli-ahli Pekida yang tersasar, tersesat atau tersalah langkah kita menyeru mereka kembali kepada perjuangan asal bagi menjaga bangsa, agama dan tanah air serta menjunjung raja-raja dan para pemimpin Melayu.

Bagi menuju ke arah itu, kita bercadang untuk mengadakan satu perhimpunan insya-Allah di PWTC (Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur) pada 26 Ogos ini.

Di situlah kita akan menerangkan tujuan kita dan mungkin juga kepada ahli-ahli yang baharu akan asal usul Pekida serta apa yang sedang berlaku pada hari ini. Jadi, semua ahli perlu sedar bahawa kita semua perlu kembali kepada tujuan asal sebelum penubuhan Pekida, demi agama, bangsa dan tanah air.

Mengapa mahu buat perhimpunan itu di PWTC?

ZAIENAL: Kita kalau hendak makan dan masuk dalam sebuah kedai kita tidak tanya pun tuan punya kedai itu orang Pas ke UMNO. Kita makan dan bayar selagi ia kedai orang Melayu dan halal.

Sebenarnya orang Melayu yang 'menubuhkan' PWTC. Semua rakyat Malaysia ada peranan dalam penubuhan PWTC. Apatah lagi bangunan itu telah dikomersialkan dan kita gunakannya dengan sebaik-baik mungkin demi orang Melayu. Kita juga bayar untuk menggunakan kemudahan di situ. Kita bayar sewa dan ia tidak jadi isu pun.

Dalam Pekida tidak boleh asingkan soal politik. Sebabnya dalam Pekida ada orang UMNO, Pas, PKR, Bersatu, Amanah dan sebagainya. Kita mahu menyatukan mereka semua tanpa mengira fahaman politik.

Mungkin selepas ini akan ada bertanya siapa Datuk dalam Pekida dan kenapa bertindak begini. Bagaimana nak jelaskan nanti?

ZAIENAL: Apabila saya yang mengumumkan perkara ini, maka ramailah yang tertanya-tanya dan ingin tahu, sebab itu saya mahu adakan siri penerangan ini. Tetapi sebelum ini pun sudah ada yang tanya siapa yang akan menganjurkannya?

Sebenarnya perbincangan tentang perkara ini telah lama berlaku dengan Presiden Pekida dan beberapa orang pemimpin tertinggi dalam pertubuhan itu. Mereka telah berjumpa saya. Kebetulan pada hari saya buat sidang akhbar pengumuman perhimpunan tersebut, presiden sakit dan beliau telah mewakilkan kepada saya untuk teruskan usaha ini.

Apabila kenyataan saya keluar di akhbar Utusan Malaysia keesokan harinya ramai yang telah faham dan semuanya menyokong penuh.

Bagaimana kedudukan Datuk dalam Pekida selepas ini, mungkin akan bertanding dalam jawatan seperti Presiden dan sebagainya?

ZAIENAL: Itu sensitif dan orang mesti kata saya akan bersaing merebut jawatan Presiden dan sebagainya. Bagi saya, Pekida bukannya hak sesiapa dan ia adalah hak orang Melayu. Sekiranya ada pemimpin atau individu yang berwibawa serta berkebolehan untuk menerajui Pekida, saya akan sokong 100 peratus. Jadi, saya alu-alukan untuk sesiapa bersama mengepalai Pekida.

Tanggapan yang mengatakan saya akan mengambil alih Pekida itu tidak dapat dielakkan. Ia sudah menjadi adat dalam mana-mana pertubuhan, parti politik, malah dalam sektor kerajaan sekali pun. Itu perkara biasa. Tetapi saya belum terfikir lagi, apa yang saya boleh katakan saya ingin membantu menuju ke arah hasrat menyatukan orang Melayu yang berpecah ini.

Dalam perhimpunan yang akan diadakan pada hujung bulan ini, saya bertindak sebagai Pengerusi Penganjur Perhimpunan. Sekarang saya lebih fokus kepada perhimpunan itu.

Ini penting kerana dalam perhimpunan tersebut kita dapat berbincang dan menerangkan apa langkah-langkah seterusnya yang akan Pekida lakukan. Era sekarang adalah berbeza tidak seperti sebelumnya. Era dulu UMNO yang memerintah tetapi sekarang Pakatan Harapan (PH). Ini perubahan yang berlaku dan kita perlu jelas walau apa pun kedudukan, penyatuan Melayu perlu dipertahankan.