Oleh itu, tidak salah jika ada pepatah mengatakan bahawa “Pendidikan adalah pelita bangsa”. Pendidikan memainkan peranan penting sebagai penentu kemajuan negara.

Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 yang diumumkan 14 Mac lalu menyaksikan pencapaian cemerlang lapan pelajar Orang Asli di Sekolah Berasrama Penuh (SBP) seluruh Semenanjung.

Mereka ialah Fatin Solehah Isa, 10A; Azmiza A/P Anuar, 9A; Dizureen Bellyana Hamlan dan Azean A/P Hairol, 8A; Nisaharyina A/P Husni, 7A; Suimie Cornelius dan Ayati A/P Akit 5A serta Muhammad Luqman Hakim Mohd Junit, 4A. Sekalung tahniah diucapkan kepada pelajar-pelajar ini.

Kejayaan itu adalah hasil usaha mereka yang tidak jemu berusaha bagi memperbaiki tahap pendidikan mereka dan mengimpikan untuk mengubah nasib keluarga mereka.

Pada 2018, satu inisiatif kerjasama strategik oleh enam pakar dari Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Bahagian Pengurusan SBP dan Sekolah Kecemerlangan, KPM, pihak sekolah, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Gerbang Alaf Restaurants Sdn. Bhd (Licensee of MacDonald’s) telah diadakan melalui Program Pemerkasaan Murid Orang Asli Sekolah Berasrama Penuh 2018.

Program berkenaan menyokong kecemerlangan pelajar Orang Asli. Program mendapat kelulusan universiti di bawah peruntukan Skim Geran Pemindahan Ilmu (KTGS) dikawal selia oleh Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPM.

Program secara komprehensif itu menumpukan kepada sesi NLP dan Coaching, pembentukan sikap dan personaliti, gaya pembelajaran, penghayatan nilai, budaya dan kenegaraan, gaya hidup sihat, pengucapan awam dan komunikasi.

Modul-modul tersebut bertujuan memastikan pelajar mempunyai matlamat yang jelas dan keyakinan yang tinggi bagi menempah kejayaan dalam pendidikan dan hidup. Seramai 44 orang pelajar Tingkatan 1 hingga tingkatan 5 terlibat dalam program.

Impak daripada program ini juga pada tahun ini seramai 17 pelajar tingkatan 1 berjaya terpilih memasuki SBP berbanding 16 orang pada 2018. Peningkatan pengambilan ini hasil kerja keras pelajar-pelajar Orang Asli di SBP yang telah dilatih sebagai mentor menerusi slogan “1 Pelajar Tingkatan 1, 1 Pelajar Baharu Tingkatan 1”.

Kejayaan juga didukung dari usaha dan kegigihan Sektor Pengurusan Akademik SBP mempromosikan SBP dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

Bagi melakar masa depan anak Orang Asli yang baik kita perlu meramaikan lagi dan memberi peluang kepada anak-anak Orang Asli untuk belajar di SBP. Peluang dididik oleh guru-guru cemerlang di SBP mampu memberikan pendedahan dan bimbingan yang jitu dan penuh perhatian.

Berlatarbelakangkan keluarga yang serba sederhana dan sosio-ekonomi yang rendah, anak-anak Orang Asli perlu diberi peluang untuk belajar di sekolah yang berprestij ini.

Kepada agensi tertentu seperti Mara, Petronas, Permodalan Nasional Berhad, Bank Negara dan agensi-agensi lain yang berkaitan, diharapkan dapat memberi tajaan kepada pelajar cemerlang Orang Asli SPM 2018 ini.

Walaupun keputusan mereka tidaklah setanding dengan yang lain, namun apa yang mereka capai hari ini adalah satu pencapaian yang boleh dibanggakan.

Mereka juga diberikan laluan khas untuk masuk ke IPT seperti yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik. Kita semua perlu berganding bahu dan punya rasa tanggungjawab dalam melakar masa depan anak Orang Asli yang cemerlang dan gemilang.

Dengan ruang dan peluang yang diberikan kepada mereka, diharapkan anak-anak ini mampu mengubah masa depan keluarga mereka dan mampu berbakti semula kepada masyarakat dan negara. Aristotle pernah menyatakan “Akar dari pendidikan memang pahit, tapi buahnya manis”.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).