Memang benar kata-kata Aveling . Puisi hanya digunakan dalam acara tertentu. Pantun misalnya, digunakan dalam majlis pertunangan, majlis perpisahan, atau dijadikan lirik lagu. Pantun tidak digunakan ketika kita mengajak kawan pergi minum, atau pergi menonton.

Sajak, atau puisi moden juga demikian, lebih tera­sing. Keterasingan sajak amat dirasai, hinggakan dalam majlis peminangan zaman moden, sajak tidak pernah muncul. Terdapat sejumlah sajak dijadikan lirik lagu, dan perkembangan ini berlegar di sekitar lagu puisi.

Bicara saya ini bukan sekadar mahu mengatakan ke­terasingan puisi setakat yang dimaksudkan oleh Harry Aveling. Keterasingan bahasa puisi dalam konteks Aveling ialah keterasingan dalam perbandingan. Ertinya, berbanding bahasa prosa, bahasa puisi terasing kerana penggunaannya memilih tempat dan suasana. Di Indonesia terdapat istilah ‘puisi kamar’, iaitu puisi yang memerlukan tafsiran yang mendalam, hingga pembacanya perlu tekun sendirian di dalam kamar. ‘Puisi kamar’ dipertentangkan ‘puisi auditorium’ iaitu puisi yang dibacakan di khalayak.

Jelaslah bahawa keterasingan bahasa puisi yang dimaksudkan oleh Aveling ialah keterasingan yang memang merupakan hakikat puisi. Ambillah mana-mana puisi, sama ada puisi lama seperti pantun, mahupun puisi moden iaitu sajak. Tiada satu pun pernah dijadikan bahasa perhubungan antara suami isteri, atau saudara mara.

Adakah keterasingan yang sedemikian menyebabkan puisi tidak popular? Di hadapan saya ada kira-kira 100 judul buku kumpulan sajak. Saya dapati, tiada sebuah pun yang dianggap popular atau akrab dengan pembaca. Saya menyimpulkan bahawa buku-buku ini terasing da­ripada masyarakat pembaca.

Jadi, berbeza daripada keterangan puisi yang dimaksudkan oleh Aveling, saya bermaksud menyatakan kea­daan lembab pasaran buku puisi. Puisi kini terasing daripada khalayak, mungkin kerana khalayak sudah berubah selera. Khalayak kini tidak dapat menghayati puisi. Jika demikian halnya, maka usaha untuk mendekatkan puisi kepada khalayak adalah teralu rumit. Maksud saya, jika ‘secara umumnya’ pada zaman ini orang ramai tidak menyukai puisi, kita kehilangan ikhtiar.

Namun, ada kemungkinan kedua, dan kemungkinan ini lebih kuat. Khalayak tidak menggemari puisi, kerana puisi yang dihasilkan akhir-akhir ini tidak dekat dengan hati atau kecenderungan mereka. Ertinya, hati dan kecen­derungan khalayak untuk membaca puisi masih ada, cuma puisi yang dihasilkan itu tidak menepati kehendak mereka. Apabila mereka membuka buku puisi (atau memulakan pembacaan puisi di akhbar dan majalah), mereka merasakan bahawa karya itu bukan untuk mereka.

Puisi yang banyak dihasilkan kini tidak sama dengan puisi yang dihasilkan dalam dekad 1950an hingga 1970an. Dalam dekad 1980an, kemudian 1990an, keakraban puisi dengan peminat kian menipis.

Sebenarnya tiada zaman atau dekad yang betul-betul tebal dengan minat terhadap puisi. Apabila saya sebu­tkan dekad-dekad yang lalu, maksud saya ialah penerimaan peminat puisi ketika itu dapat dianggap memuaskan. Puisi-puisi yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara Datuk Dr. Usman Awang antaranya, Pak Utih dan Ke Makam Bonda, disebut-sebut dalam jangka masa yang panjang, dari dulu hingga kini.

Puisi karya penyair dalam dekad yang terkemudian juga ada yang terkenal. Namun, perkembangan dalam masa kira-kira 10 tahun terakhir ini kurang menyenangkan.

Keadaan ini masih dapat dibaiki. Maksud saya, jika puisi yang terhasil kini tidak dekat dengan hati dan kecenderungan masyarakat mutakhir, penyair hendaklah menyesuaikan diri. Saranan ini bukanlah satu paksaan, tetapi pilihan. Penyair terkemuka yang mencipta nama dan memiliki stail yang mantap, pasti akan terus dengan cara gayanya. Saya bermaksud mencari alternatif untuk membawa puisi ke arah kecenderungan pembaca kini. Jika seseorang penyair mendapati karyanya tidak digemari kerana bahasanya tidak meresap ke hati pembaca, dia elok memikirkan anjakan gaya.

Apabila saya menjudulkan buku puisi saya Penunggang Kenyataan, seorang penyair muda, Wacana Minda namanya, bertanya dalam satu majlis, di Kuala Lumpur. Katanya, “Sebelum ini, karya penyair ini agak simbolik dan metaforikal. Kenapakah dalam Penunggang Kenyataan sajak-sajaknya langsung pada makna (direct to the point)?”

Pengerusi majlis terus meminta saya menjawab soalan tersebut. Memang kita tidak gemar menjawab soalan tentang isi atau kandungan sajak kita sendiri. Itu kebiasaan penyair. Tetapi, soalan yang umum, iaitu tentang sikap dan alasan penghasilan sajak dengan pendekatan tertentu, dapat saya jawab. Judul Penunggang Kenya­taan itu sendiri mengisyaratkan jenis puisi. Ertinya, saya mahu menunggang kenyataan, iaitu menghadapi dan menghayati sesuatu yang nyata. Saya mengungkapkan sesuatu kenyataan dengan hasrat mahu menjadikan yang nyata itu lebih nyata. Jika dalam bahasa yang bersifat penyembunyian makna, perkara yang nyata menjadi kabur.

Seorang peminat sastera bertanya; “Adakah perkataan ‘penunggang’ yang menjadi sebahagian daripada judul itu merupakan hasil pengaruh sajak Baha Zain?” Saya jawab, “Ya. Saya memang menghafal sajak-sajak Baha Zain, dan baris yang berbunyi “Lelaki penunggang sia-sia” melekat kuat di fikiran saya.”

Bahasa dalam sajak-sajak Baha Zain, Latiff Mohidin, Muhammad Haji Salleh, Firdaus Abdullah, Zurinah Hassan, Hashim Yaacob dan beberapa lagi, adalah kukuh dan dapat menarik minat pembaca. Penyair-penyair yang berwibawa ini hendaklah diketengahkan dalam kursus dan kegiatan kesusasteraan, bagi mengembalikan keakraban khalayak dengan puisi. Usaha ini dapat dilaksanakan oleh persatuan-persatuan penulis dan juga institusi kebahasaan dan kesusasteraan.

PROFESOR RAHMAN SHAARI ialah tokoh pendidikan dan sastera.