Pohon rendang itu selalunya akan mati kerana dedalu yang menumpang hidup itu. Dalam bahasa saintifik, dedalu ini adalah parasit.

Barangkali ada asasnya kebimbangan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh yang penerimaan Pakatan Harapan (PH) terhadap bekas-bekas ahli Parlimen UMNO ke dalam gabungan itu - andai kata berlaku - adalah suatu perkembangan berbahaya. Pengkhianatan besar kepada rakyat dan pengundi mereka?

UMNO di awal 9 Mei lalu ibarat pohon yang kuat. Tapi 54 kerusi Parlimen yang diraihnya kini tinggal 38.

Mana-mana nakhoda parti pun pasti cukup hampa kecewa apabila anak kapal menjadi si gunting dalam lipatan, si dedalu dan pengkhianat.

Padahal bukannya tidak disebut atau diingatkan oleh presiden - tidak ada pintu belakang untuk lompat ke parti lain. Apa sahaja tindakan yang dilakukan mestilah dilakukan bersama secara en bloc.

Itulah...mana-mana parti politik akan ada ‘Abu Jahal’nya. Yang tak dapat Tumpang baca sendiri perasaan Tumpang sama ada nak ‘tangkap’ sedih atau ‘tersenyum’ lihat adegan menangis teresak-esak seorang ahli parlimen selepas umum keluar UMNO tempoh hari. Citt, fiil orang macam ini pun ada.

Dan bila Tumpang semak balik rekod-rekod yang lepas, realitinya amat sukar sekali untuk mengekang tindak tanduk lompat parti ini.

Keputusan Mahkamah Agung 26 tahun lalu menyebabkan parti-parti politik hari ini sukar memaksa wakil rakyat mereka mengosongkan kerusi jika memilih meninggalkan parti.

Dalam kes pada 1992 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan lawan bekas wakil rakyat Pas, Nordin Salleh, Mahkamah Agung diketuai Tun Hamid Omar telah menegakkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Eusoffe Chin untuk membatalkan peruntukan Perlembagaan Kelantan yang mewajibkan pilihan raya kecil sekiranya seseorang ADUN meninggalkan parti.

Suatu ketika pada 1986, Parti Bersatu Sabah (PBS) pernah menggubal undang-undang anti lompat parti melarang mana-mana wakil rakyatnya daripada bertukar parti atau wajib mengosongkan kerusi bagi memberi laluan kepada pilihan raya kecil.

Tapi undang-undang yang dibuat oleh parti itu dicabar di mahkamah. Dan akhirnya Mahkamah Tinggi mengisytiharkan undang-undang itu melanggar Perlembagaan. Kesannya, amalan lompat parti kembali muncul dalam politik Sabah dengan PBS sendiri menjadi mangsanya.

Ini apabila kerajaan yang di­pimpinnya jatuh tidak lama selepas pilihan raya negeri 1994 setelah wakil rakyatnya keluar beramai-ramai yang kemudian menubuhkan parti-parti baharu dan menyertai Barisan Nasional (BN) akhirnya menyaksikan BN mengambil alih kerajaan PBS.

Di Sarawak pada 1966 dan Perak (2009), mandat rakyat juga tidak dihormati.

Justeru, kaedah untuk keluar daripada masalah lompat parti ini adalah menyemak semula keputusan Mahkamah Agung pada 1992 dan meyakinkan Mahkamah Persekutuan pada ketika ini bahawa keputusan tersebut tidak baik untuk kepentingan orang awam.

Satu cara lagi adalah dengan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menghukum seseorang yang lompat parti dengan mengosongkan kerusi itu secara automatik dan mengadakan pilihan raya kecil.

Lompat parti ber­erti berpaling tadah.

Ada hikmahnya bila mana UMNO sudah pun mencantas dedalu-dedalu ini. Cuma adakah dedalu-dedalu ini akan membesar dan merimbun pula di pokok baharu yang rendang?

Dan biasanya mana-mana pokok yang dihinggapi dedalu ini akan mati secara ‘natural’ akhirnya.

Cuma pandangan Tumpang yang berkongsi nada dengan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan kepada si dedalu-dedalu ini andai masih ada berlingkar dalam UMNO dan yang bakal berpindah ke PH: “Biar jatuh tapi misai jangan kena pasir.”

Pokok dedalu..ia menumpang

Menjadi parasit...ia jembalang

Dahan akan mati...ia perlu ditebang

Kalau terjumpa...ia perlu dibuang.

Pokok dedalu...jika dah dibuang,

Jangan ditanam semula...ia musuh utama malam dan siang.