* Faris, Melaka.

UKE: Kalau anda buat perkara macam itu depan orang ramai memang haramlah. Haram sebab mendedahkan aurat. Tetapi kalau anda duduk seorang diri dan tiada siapa pun nampak, tidaklah haram anda mendedahkan aurat anda.

Adapun berzikir, beristighfar dan berselawat dengan mendedahkan aurat iaitu anda duduk seorang diri sahaja, maka berpakaian sopan itulah sebaik-baiknya. Biarlah kalimah yang baik dan mulia dilafazkan dengan adab dan sopan.

Bagi wanita taklah sampai perlu hendak bertelekung setiap kali hendak berzikir tetapi memadailah dengan pakaian yang sopan jika anda hendak berzikir seorang diri di rumah.
 

Suami berkawan dengan isteri orang

Suami saya berkawan baik dengan isteri orang lain tanpa pengetahuan pasangan masing-masing. Apakah hukumnya?

Kak Tipah Tertipu, Klang.

UKE: Apakah yang dikatakan berkawan baik itu? Sila nyatakan sepenuhnya dan bukan boleh tanya separuh sahaja. Adakah mereka bercinta, berkasih atau sekadar berkenalan dan bersahabat baik tanpa ada sebarang kecurangan? Barulah boleh saya jawab.

Berkawan dengan siapa pun wajib menjaga agama dan hukum hakam. Itulah jawapan umum saya atas soalan umum anda.


Kencing tak lawas

Ibu saya sekarang amat jarang solat tak seperti dahulu. Ini disebabkan ibu kerap batuk dan terkeluar air kencing setiap kali selepas ambil wuduk. Ibu selalu membaca al-Quran dan rajin bersedekah. Ibu sudah berusia 83 tahun dan berkerusi roda. Apa perlu ibu lakukan?

Dr. Al-Udani, Alor Setar.

UKE: Ibu anda dikategorikan sebagai orang uzur. Uzur ini ada macam-macam. Bukan setakat sakit lutut dan sembahyang di atas kerusi sahaja. Kedua, walau kerap batuk dan akibatnya keluar air kencing, tidaklah menjadikan dia hilang kewajiban untuk solat selagi mana mempunyai akal yang sempurna.

Ketiga, disebabkan keuzurannya maka wuduknya pun istimewa sedikit iaitu ketika ingin berwuduk maka ditutuplah kemaluannya dengan sesuatu yang boleh menghalang air kencingnya daripada menitis. Kemudian bersegeralah berwuduk dan bersolat. Andai batuknya datang sehingga keluar air kencing yang tidak lawas tadi maka ia dimaafkan.

Keempat, ibu anda sudah berumur tetapi masih mampu membaca al-Quran, itu sesuatu yang bagus. Saya rasa perlu ada seseorang yang mengajarnya tentang kencing tidak lawas dan membantunya ketika dia berwuduk andai dia lemah.


Lutut sakit, macam mana cara solat?

Saya bersolat secara sujud di atas bangku selepas melakukan pembedahan pada kedua-dua lutut saya. Sebelum ini, semasa sujud saya duduk di atas kerusi. Tetapi setelah menonton video seorang ustaz mengatakan batal solat kalau buat begitu, saya telah mengikut cara yang diajarkan oleh ustaz itu iaitu semasa sujud hendaklah seperti rukuk juga. Sebenarnya cara mana yang betul?

Nur Aisyah, Pulau Pinang.

UKE: Pesakit yang mampu berdiri untuk solat fardu (solat wajib) hendaklah memulakan solat dalam keadaan berdiri. Contohnya, mungkin ada yang sakit lutut dan tidak boleh melipat kaki semasa duduk antara dua sujud tetapi orang itu masih boleh berdiri dengan sempurna. Maka perlu menggunakan kerusi dan mulakan solat dalam keadaan berdiri. Jika langsung tidak mampu berdiri untuk solat, barulah boleh duduk. Justeru, kita tidak boleh memulakan solat dalam keadaan duduk bagi yang mampu berdiri.

Kedua, kalau mampu berdiri tetapi ketika takbiratul ihram iaitu ketika memulakan solat dengan terus duduk maka sudah pastilah tidak sah solat tersebut sebagaimana menurut mazhab Syafie.

Ketiga, sujud dan rukuklah mengikut kemampuan anda. Nama pun uzur dan sakit, takkanlah solat orang uzur dengan orang sihat adalah sama. Mesti ada rukhsahnya.


Cara bantu ibu di alam barzakh

Bagaimana kami sebagai anak-anak yang masih hidup dapat membantu ibu yang berada di alam barzakh bagi meringankan azab Allah?

Abdul Mubin Mat Isa, Jerantut.

UKE: Pertama, janganlah anda berfikir sesuatu yang buruk tentang ibu anda. Cara soalan anda itu macam sudah tahu pula keadaan ibu anda di alam barzakh. Kedua, selalu berdoa memohon supaya Allah SWT merahmati roh ibu anda dan diampunkan dosa-dosanya. Ketiga, banyakkan bersedekah atau berwakaf atas nama arwah. Keempat, boleh melakukan badal haji atau umrah atas nama arwah. Kelima, jagalah silaturahim sesama ahli keluarga adik-beradik. Keenam, teruskan hubungan dengan rakan-rakan atau saudara ibu anda yang masih hidup. Ketujuh, selalulah berada di dalam majlis ilmu atau apa-apa program yang baik dan berdoalah anda – ada pahalanya maka panjangkanlah pahala itu kepada arwah.