Sudah diserah lebih awal lagikah?

Selepas prosiding kes ditutup 19 September lalu, sebanyak 25 saksi telah memberi keterangan di Mahkamah Rayuan 6, Istana Kehakiman, Putrajaya.

Sebanyak 42 dokumen dimasukkan sebagai kete­rangan sepanjang sembilan hari pendengaran mulai 21 Ogos lalu. Yang menariknya sepanjang prosiding yang berlangsung memperdengarkan kenyataan-kenyataan mengejutkan daripada keterangan saksi-saksi terbabit.

Perdana Menteri semasa skandal itu berlaku, Tun Dr. Mahathir Mohamad merangkap saksi ke-24 semasa memberi keterangan memberitahu, beliau tidak me­n­ge­tahui jumlah kerugian sebenar yang dialami BNM akibat urus niaga mata itu.

Kata Pengerusi Pakatan Harapan yang diketuai DAP itu, dalam pertemuan dengan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Clifford Francis Herbert di Pejabat Perdana Menteri pada lewat 1993, nilai kerugian yang dilaporkan secara lisan adalah sekitar RM5 bilion.

Beliau juga tidak dapat mengingati sama ada nilai kerugian RM30 bilion disebut dalam pertemuan itu.

Bahkan, Dr. Mahathir me­ngatakan beliau juga tidak dapat mengingati sama ada pernah mengungkapkan sometimes we make profit and sometimes we make losses (kadang-kadang kita untung, kadang-kadang kita rugi) dalam pertemuan berkenaan seperti yang didakwa oleh Clifford dalam prosiding RCI sebelum ini.

Hairan juga bagaimana Dr. Mahathir boleh tiba-tiba jadi pelupa?

Semasa tidak lagi menjadi Perdana Menteri, boleh pula beliau tahu tentang laporan 1MDB. Masa berkuasa dan menjadi Perdana Menteri, boleh lupa pula.

Tambah menghairankan lagi, Tun Daim Zainuddin yang menjadi menteri kewangan semasa skandal itu memberitahu, dia juga tidak tahu menahu BNM menjalankan urus niaga pertukaran mata wang asing itu. Daim menjadi Menteri Kewangan sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1984-1991 dan 1999-2001.

RCI diberitahu, perkara tersebut bukan sahaja tidak dimaklumkan kepada Daim oleh BNM malah beliau sendiri tidak berta­nyakan hal itu daripada pengurusan tertinggi bank pusat itu.

Daim juga tidak mengetahui bahawa BNM melakukan perubahan dasar dengan terlibat dalam urus niaga pertukaran mata wang asing.

Sungguh pelik bagi seorang Menteri Kewangan untuk tidak tahu apa yang sedang berlaku di BNM waktu itu.

Kalau perkara berkaitan 1MDB dengan hanya melalui laporan Sarawak Report (SR) sahaja, Dr. Mahathir sudah tahu serba serbi. Sanggup jumpa Claire Brown lagi di London lagi pasal 1MDB.

Dan tiba-tiba sahaja, Dr. Mahathir sebut 1MDB hilang RM42 bilion entah dari mana angka itu datang. Tetapi setelah dipanggil sebagai saksi berhubung kerugian urus niaga forex oleh BNM yang dipercayai mencecah RM32 bilion, Dr. Mahathir boleh kata dia ‘tidak tahu. Apakah motif sebenar beliau?

Selain Dr. Mahathir dan Daim, berikut dipaparkan intipati ke­terangan daripada empat saksi berprofil tinggi di hadapan RCI tempoh hari:

DATUK SERI ANWAR 
IBRAHIM

Bekas Menteri Kewangan

Saksi ke-21 RCI

* Pernah mengarahkan Penasihat BNM semasa skandal itu berlaku, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dipecat sekiranya tidak meletak jawatan.

* Tidak mendedahkan siapa yang memberi mandat kepada Nor Mohamed.

* Melaporkan kepada Kabinet dalam mesyuarat pada 30 Mac 1994 bahawa kerugian BNM akibat urus niaga mata wang asing cuma sebanyak RM5.7 bilion, sedangkan jumlah sebenar adalah RM15.291 bilion.

* Beliau dan Dr. Mahathir tahu tentang kerugian BNM tetapi bekas Perdana Menteri itu tidak memberikan sebarang arahan lanjut.


TAN SRI AHMAD MOHD. DON

Bekas Gabenor BNM

Saksi ke-20 RCI

* Anwar pernah dimaklumkan bahawa BNM tidak akan terlibat dalam aktiviti yang berbentuk spekulasi semata-mata, sebalik­nya tumpuan kepada pelaburan yang dapat memelihara nilai rizab dan mengoptimumkan pulangan pelaburan.

* Mesyuarat Lembaga Pengarah BNM pada 15 Februari 1995 berhubung Akaun Tahunan 1994 mengambil maklum jumlah keseluruhan kerugian dialami adalah RM10.6 bilion termasuk RM2.7 bilion daripada aktiviti perdaga­ngan mata wang asing.


TAN SRI NOR 
MOHAMED YAKCOP

Bekas Penasihat BNM

Saksi ke-17 RCI

* Menafikan semua keputusan berkaitan urus niaga mata wang asing oleh BNM sekitar 1990-an ditentukan oleh beliau secara bersendirian.

* Tidak pernah melapor kepada Menteri Kewangan atau Perdana Menteri tentang sebarang isu berkaitan pengurusan rizab luar BNM.

* Mengakui pihaknya melakukan kesilapan ketika ‘membaca’ situasi pasaran dunia sehingga menyebabkan BNM mengalami kerugian.


TAN SRI DR. ZETI AKHTAR AZIZ

Bekas Gabenor BNM

Saksi ke-16 RCI

* Mula mengetahui mengenai kerugian besar dialami BNM dalam urus niaga mata wang asing ketika menjadi Ketua Pejabat Perwakilan BNM di London selepas dimaklumkan seorang pegawai kanan bank pusat ber­kenaan pada Januari 1994.

* Timbul kebimbangan serius terhadap pengurusan rizab BNM ekoran kerugian dalam urus niaga mata wang asing sepanjang 1988 dan 1994.

* BNM mengalami kerugian kira-kira RM32 bilion sepanjang 1988 hingga 1994, jumlah itu turut mengambil kira keuntungan sebanyak RM2.473 bilion pada 1990.

Sehingga hari ini, masih belum jelas apakah motif di sebalik keputusan BNM untuk terlibat secara langsung dalam urus niaga mata wang asing itu.

Bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid ke­tika memberi keterangan mendakwa kerugian dialami BNM akibat kegiatan perdaga­ngan mata wang asing itu sebagai yang terbesar dalam sejarah perbankan dunia.

Dan sekiranya didedahkan kepada umum pada masa itu boleh memalukan kerajaan Malaysia di mata dunia.

“Kerajaan waktu itu takut untuk dedahkan kepada umum.
Sekiranya didedahkan, Menteri Kewangan dan Perdana Menteri akan dipertanggungjawabkan,” katanya.

Rakyat Malaysia menanti kan­dungan penuh laporan RCI itu.