Dalam usaha merapatkan jurang ekonomi, pendekatan pemba­ngunan termasuk membangunkan prasarana yang dapat merangsang pertumbuhan ekonomi. Pastinya dalam melaksanakan pendekatan itu turut mewujudkan banyak peluang kemajuan ekonomi kepada mereka yang mampu mengambil kesempatan dan iktibar. Pada zaman itu, majoriti mereka ini adalah syarikat-syarikat multinasional asing (MNC) dan tempatan yang pada masa itu kebanyakannya dimiliki dan diterajui oleh bukan bumiputera.

Bagi mengimbangi situasi ini untuk Komuniti Ekonomi Bumiputera (KEB) tidak terus tercicir, kerajaan tidak punyai banyak pilihan. Antara pilihan yang ada pada masa itu dan dilaksanakan dengan penuh bijaksana ialah menubuhkan agensi-agensi pelaksana dan perbadanan bagi mengisi kekosongan. Untuk menerajui agensi-agensi ini kerajaan sekali lagi menggunakan kebijaksanaannya dengan menjelmakan ramai penjawat awam menjadi tokoh korporat.

Bayangkan, pada masa itu tiada rujukan yang mereka ini dapat gunakan bagaimana hendak berperanan sebagai tokoh korporat. Semalam mereka adalah penjawat awam, hari ini, dalam sekelip mata mereka dijelmakan menjadi pe­ngurus entiti perniagaan milik kerajaan. Pandai-pandai merekalah bagaimana nak menjalankan ama­nah dan tanggungjawab itu. Tidak ada Standard Operating Procedure (SOP) yang menyamai Perintah Am (General Order) yang boleh mereka guna pakai sebagai rujukan.

Itulah antara keberanian Allahyarham Tun Razak dalam menterjemah DEB menghasilkan pelan tindakan lima tahun, bermula de­ngan Rancangan Malaysia Ke­dua (RMK2), 1971-1975. RMK2 ini sama sekali berbeza dengan RMK1 yang mahukan Malaysia menjadi negara yang mengamalkan dasar pasaran terbuka, yang pastinya jika dilaksanakan akan melebarkan lagi jurang ekonomi yang ada.

Maka wujudlah Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri (PKEN) di semua negeri. Agensi-agensi pelaksana pula diberi hak me­nubuhkan syarikat milik penuhnya atau menguasai syarikat-syarikat berkepentingan. Dari inisiatif ini juga lahirlah ramai tokoh korporat jelmaan yang dimaksudkan, seperti Allahyarham Tan Sri Taib Andak, Raja Tan Sri Alias, Allahyarham Tan Sri Basir Ismail, Allahyarham Tan Sri Ani Arope, Allahyarham Tan Sri Azizan Zainul Abidin, Tan Sri Abdul Aziz Rahman, Tan Sri Dr. Rashdan Baba, Allahyarham Tan Sri Tengku Shahriman dan ramai lagi. Hal ini mengingatkan kita semua akan keberanian, jiwa, roh, sema­ngat, jati diri dan passion mereka itu dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab memajukan ekonomi negara, terutama­nya ekonomi bumiputera, agar jurang ekonomi itu dapat dikuncupkan.

Bukan setakat mampu menjelma menjadi tokoh korporat tersohor, mereka juga mampu melahirkan ramai generasi pelapis, ada antaranya memang kompeten untuk terus menyuburkan kemajuan ekonomi agensi-agensi pelaksana yang mereka terajui. Raja Tan Sri Alias misalnya, mampu melahirkan ramai generasi kedua dalam Felda menjadi tokoh korporat tersohor, seperti Datuk Aladin Hashim. Allahyarham Basir membawa masuk Tan Sri Hasan Merican ke dalam Petronas dan akhirnya bergan­dingan dengan Allahyarham Azizan memajukan Petronas menjadi kebanggaan kita semua. Tan Sri Aziz yang mengambil alih teraju ke­pimpinan MAS dengan Allahyarham Raja Tun Mohar ketika syarikat penerbangan itu mengalami kerugian. Gandingan mereka berdua mampu turn around MAS yang akhirnya dapat disenaraikan di Bursa Saham serta menjadi antara entiti penerbangan bertaraf dunia.

Pun begitu, dalam kita berbangga meraih kejayaan hasil tangan tokoh-tokoh korporat jelmaan ini, kita lupa untuk menjadikan mereka itu ikon dan guru korporat Melayu. Di tangan mereka sepatutnya tokoh-tokoh korporat pelapis zaman kini wajib berguru. Mereka wajib berguru de­ngan mereka itu untuk memastikan legasi dari aspek jati diri, roh, sema­ngat, keberanian, kebijaksanaan dan passion dapat diteruskan dan tidak terputus, jauh sekali berubah arah.

Pastinya ramai di antara kita terkilan apabila DEB dikuburkan tanpa batu nisan. Digubal pula Dasar Pembangunan Negara (DPN, 1991-2010) dan lepas itu Model Baru Ekonomi (MBE, 2011-2020). Maka, terputuslah hikayat kehebatan tokoh-tokoh korporat jelmaan itu yang kita banggakan selama ini. Turut terputus ialah legasi mereka, sebab tiada siapa sudi berguru de­ngan mereka. Le­bih malang lagi ialah belum pun ke mana sangat kejayaan DEB dapat dikecapi, terjelma pula tangan-tangan baharu yang menghitamkan keputihan hasil DEB itu.

Agaknya jika Allahyarham Tun Razak masih ada pastinya beliau akan menangis melihat malapetaka ini berlaku menimpa bangsanya yang ingin beliau majukan. Tidak hairanlah apabila GLC tumbuh macam cendawan selepas era itu, kiblat mereka juga adalah kepada membina empayar dan membina kekayaan untuk negara, lebih utama daripada hasrat membangunkan IKS bumiputera.

Alasannya ialah kerana GLC adalah milik nasional, maka ia milik semua. Berbeza dengan Mara yang enakmen penubuhannya jelas me­nyatakan tanggungjawabnya memajukan KEB. Semuanya berkaitan agensi pelaksana, perbadanan dan GLC adalah berdasarkan kepada meritokrasi. Meritokrasi itu bagus sebab adil. Agenda bumiputera adalah satu agenda lain, seperti mana yang digariskan dalam RMK-10 de­ngan penubuhan MTAB, Ekuinas dan TalentCorp. Soal sama ada dakwah ekonomi untuk bumiputera sudah cukup atau belum untuk KEB berdikari, juga satu isu lain.

Hari ini sudah ramai KEB yang berjaya, termasuk IKS bumiputera. Akan tetapi, bilangan mereka yang masih terkapai-kapai juga amat besar. Mereka ini masih perlukan bimbingan secara hand-holding untuk berjaya. Terlalu awal untuk dilaungkan bahawa kononnya bumiputera tidak lagi perlukan Artikel 153 untuk berjaya, misalnya.

Hakikatnya, bukan KEB atau IKS bumiputera yang lemah. Yang lemah ialah mereka yang me­mimpin, kerana mata mereka itu gagal melihat, telinga mereka gagal mendengar dan hati mereka gagal menerima hakikat bahawa itulah bangsa mereka yang wajib mereka bimbing untuk ‘ke seberang’.

Apabila berbicara mengenai kesediaan, teringat saya akan perbualan kami suatu ketika dulu dengan CEO Lembaga Zakat Se­langor (LZS) yang menyatakan bahawa mereka pernah memohon restu Sultan Selangor untuk pe­nguatkuasaan Enakmen Kutipan Zakat Selangor yang telah pun diluluskan tetapi belum dikuatkuasakan penggunaannya. Jawab baginda cukup mudah, adakah kamu sudah cukup berdakwah mempromosikan peranan dan tanggungjawab setiap Muslim di Selangor untuk menunaikan zakat? Jawab LZS, rasanya belum cukup meluas Tuanku. Maka titah baginda; “Jika begitu, teruskan usaha berdakwah itu hingga kita semua cukup pasti masanya sesuai untuk enakmen itu dikuatkuasakan.”

Maka saya ingin bertanya kepada diri saya sendiri, adakah pemimpin kita sudah cukup menjalankan dakwah ekonomi dan amat pasti KEB sudah cukup bersedia untuk kita liberalisiasikan ekonomi untuk laksanakan pendekatan meritokrasi? Saya tahu jawapannya. Anda pembaca bagaimana?

DATUK DR. HASAN MAD ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM).