Gadis yang berusia 21 tahun itu kini sedang berada di semester terakhir pengajian dalam bidang seni dan filem di Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Arau, Perlis.

Katanya, sepanjang pengajian, dia telah menghasilkan beberapa karya seperti filem pendek, iklan dan dokumentari.

“Minat terhadap filem dan seni semakin membuak-buak sejak saya sambung belajar di dalam bidang ini. Dari sini, saya belajar bagaimana melakukan pelbagai sudut penggambaran dan aspek lain yang penting untuk sebuah produksi,” katanya kepada S2.

Berasal dari Kuala Lumpur dan merupakan anak kedua daripada lima beradik, Norhidayah atau lebih mesra dipanggil Dayah tidak kekok berada di hadapan kamera kerana telah diajar pelbagai teknik lakonan, selain berdepan dengan khalayak.

“Sejak belajar, saya menjadi individu yang lebih yakin dengan diri sendiri. Saya selesa dengan cara lontaran suara saya dan mampu berada di hadapan audien dengan baik,” katanya.

Selain itu, Norhidayah pernah berlakon teater yang dihasilkan oleh fakultinya.

Menurutnya, minat terhadap bidang kesenian dan perfileman tidak akan terhenti selepas dia tamat pengajian kelak. Sebaliknya, dia akan berusaha merebut apa sahaja peluang dalam bidang kerjaya itu.

Norhidayah juga berkata, bidang tersebut mempunyai peluang yang cukup luas, bukan sahaja di dalam negara, malah bakat yang dimiliki anak tempatan ini mampu mencapai ke peringkat antarabangsa.