Yang menarik tentang siri Star Wars ini ialah ia tiada watak hero tunggal. Bagi trilogi pertama iaitu Star Wars Episod IV: A New Hope terbitan 1977 disusuli Episode V: The Empire Strikes Back (1980) dan Star Wars: Episode VI – Return of The Jedi (1983), terdapat dua hero. Pertama ialah Luke Skywalker (lakonan Mark Hamill) dan Hans Solo (Harrison Ford).

Setelah 16 tahun dari Return of The Jedi, barulah muncul semula kesinambungan filem ini dengan Star Wars Episode 1: The Phantom Menace (1999), Star Wars Episode II: Attack of the Clones (2002) dan Star Wars Episode III: Revenge of the Sith (2005). Heronya ialah Ewan McGregor sebagai Obi-Wan-Kenobi semasa muda dan Hayden Christensen serta Jake Lloyd sebagai Anakin Skywalker.

Ada yang bertanya kenapa Lucas menerbitkan filem tanpa mengikut urutan iaitu bermula Episode IV, kemudian patah balik ke Episode 1? Jawapannya ialah ia dirancang oleh Yoda.

Star Wars Episode VII ini akan memaparkan kembali Hans Solo dengan pelakon asal, Harrison Ford dan ini menjadi tarikan kepada generasi yang mengikuti filem Star Wars ini sejak filem pertama pada 1977.

Jika watak hero berubah-ubah, apa yang ketara ialah watak penjahat Star Wars terus kekal dalam filem dan menjadi tarikan tersendiri bagi generasi penonton filem hari ini iaitu Darth Vader.

Berikut adalah beberapa fakta menarik tentang Darth Vader yang saya kumpul dan pilih daripada pelbagai penerbitan untuk pembaca merrepak hari ini:

Enam pelakon bawa watak Darth Vader/ Anakin Skywalker

David Prowse melakonkan Vader tetapi suara menggunakan James Earl Jones meliputi enam filem. Bagi watak Anakin, tiga pelakon membawanya iaitu Jake Lloyd (The Phantom Menace), Hayden Christensen (Attack of the Clones, Revenge of the Sith), Sebastian Shaw (dalam Return of the Jedi, semasa topeng Vader dibuka), dan Bob Anderson, yang membawa watak Darth Vader semasa babak pertarungan menggunakan Lightsabers.

Suara Darth Vader

Walaupun James Earl Jones menyumbangkan suara untuk watak ikonik itu, dia tidak mengambil penghargaan daripadanya. Dalam satu wawancara, Earl Jones berkata, dia sekadar meminjamkan suara maka tidak perlu namanya diletak pada filem. Hanya selepas filem ketiga, Return of Jedi baharulah namanya ada.

Pakaian Vader tampung hayat Anakin

Dalam babak akhir filem The Clone Wars, Anakin hampir hancur tubuh badannya kesan daripada lahar dan diselamatkan oleh Emperor Palpatine. Dari situ, dipaparkan Anakin dipakaikan dengan pakaian yang mempunyai sistem khas menampung nyawa Anakin, selain helmet Darth Vader yang mengeluarkan bunyi pernafasan akut. Hasil teknologi ini menjadikan Vader sebagai watak paling kejam dalam filem Star Wars.

Hanya muncul selama 12 minit

Dalam filem pertama A New Hope (1977), watak Vader hanya muncul selama 12 minit, termasuk adegan dia menghapuskan Obi-Wan Kenobi. Lebih menonjol dalam filem itu ialah Grand Moff Tarkin (lakonan Peter Cushing) sebagai komander Death Star. Bukan sahaja Tarkin bertanggungjawab memusnahkan planet Alderaan, tetapi jelas statusnya lebih tinggi. Tarkin beri arahan, dan Vader mematuhinya.

Rahsia siapa bapa Luke Skywalker

Ok. Yang ini generasi baru tidak akan faham tetapi selepas filem pertama, kami terperanjat bila babak pertarungan Lightsaber antara Luke dengan Darth Vader mendedahkan dialah bapa Luke dalam The Empire Strikes Back.

Lucas menyimpan rahsia filem ini walaupun semasa penggambaran iaitu pelakon David Prowse diarah menuturkan dialog "Obi-Wan bunuh bapa awak". Dalam filem sebenar, ia ditukar kepada "Tidak. Akulah bapa kamu" menggunakan suara Earl Jones.

Anak murid lawan guru

Mesej teladan paling terkesan dalam filem Star Wars ialah bagaimana anak murid akhirnya melawan guru. Anakin dilatih Obi-Wan Kenobi menjadi Jedi tetapi akhirnya beralih ke Kuasa Gelap dan bertukar menjadi Darth Vader.

Pengaruh Samurai dan Nazi

Pada asalnya, topeng Darth Vader bertujuan digunakan untuk dia terbang di angkasa lepas tetapi kemudiannya diputuskan oleh Lucas menjadi aksesori tetap. Topeng itu diilhamkan daripada helmet perang Samurai manakala pakaian tentera Empire berasaskan pakaian seragam Nazi Jerman.

Pengkormesialan besar-besaran

Lucasfilm mengakui Darth Vader adalah watak paling popular dan paling menguntungkan dalam galaksi Star Wars. Watak ini telah dijadikan ikon kepada pelbagai barangan daripada burger, pembesar suara dikuasakan bluetooth, patung timah sehinggalah jam mewah.

Namun, tiada siapa tahu berapa sebenarnya wang yang telah diraih menerusi watak Darth Vader. Lucasfilm tidak mendedahkanya tetapi keuntungan Star Wars dianggarkan bernilai lebih AS$27 bilion dan tentunya Darth Vader menjana bilion dolarnya sendiri.

Saya tidak pasti bagaimana reaksi anda tetapi secara peribadi saya pun tidak sabar mahu menonton filem ini, walaupun saya rasa akan menunggu selepas sambutan tahun baru untuk berbuat demikian kerana tidak suka bersesak di pawagam.