Senario itu menyaksikan pemain ternama tempatan mampu menjana jutaan ringgit hasil kemenangan daripada kejohanan disertai bersama pasukan masing-masing yang rata-rata dibarisi oleh pemain profesional dunia.

Lebih menarik, beberapa pemain terkemuka tempatan yang memiliki ranking dunia turut ditawarkan kontrak yang membolehkan mereka menerima pendapatan bulanan selain hadiah kemenangan daripada pertandingan dan kejohanan disertai.

Bukan itu sahaja, bakat mereka turut mendapat pengiktirafan daripada syarikat korporat antarabangsa yang memberikan tajaan kepada pasukan ternama.

Berdasarkan, laman web www.esportsearnings.com, 10 pemain e-Sports utama negara mencatatkan hasil kemenangan terkumpul mencecah jutaan ringgit.

Buat masa ini, kedudukan pertama diterajui oleh Chai Yee Fung atau lebih dikenali sebagai ‘Mushi’ yang kini menduduki ranking ke-56 dunia.

Lelaki berusia 27 tahun itu meraih hadiah terkumpul sekitar RM3.3 juta (USD836,567) menerusi 72 pertandingan dan kini bermain dalam pasukan Mineski yang dibentuk di Filipina.

Selain Mushi, pemain lain seperti Cuan (Wong Hock Chuan), MidOne (Zheng Yeik Nai), 343 (Adam Shah), Ah-Fu (Chuan Tue), Ohaiyo (Chong Xin Khoo) serta ramai lagi antara yang menduduki ranking 10 terbaik negara.

Rata-rata kesemua mereka sudah meraih hadiah kemenangan terkumpul tidak kurang daripada RM1 juta.

Antara pasukan yang popular di Malaysia adalah Fnatic, WarriorsGaming Unity, Orange Taring, Panglima 5, Power Gaming dan Mineski-X.

Selain itu, pasukan luar negara yang disertai pemain tempatan adalah seperti Evil Geniuses dari Amerika Syarikat dan Wings Gaming, China.

Setakat ini,Dota 2 merupakan permainan video pilihan bagi pemain e-Sports memandangkan penawaran hadiahnya amat lumayan dan dimainkan secara berkumpulan melibatkan lima individu.

Sebagai rekod, hadiah tertinggi pernah ditawarkan menerusi Dota 2 adalah RM3.9 juta (USD1 juta) bagi satu pertandingan dengan mencatatkan 885 penganjuran pertandingan dan kejohanan yang menawarkan hadiah hampir RM525 juta.

Permainan tersebut dipopularkan oleh Valve Corporation pada 2009 selepas menaik taraf versi asalnya iaitu DotA yang dicipta oleh Ice Frog.

Selain Dota 2, Counter-Strike, League of Legends, Heroes of WarCraft dan FIFA Online 3 merupakan antara permainan yang turut dianjurkan pertandingan dan kejohanan dengan menawarkan hadiah lumayan.