Kehidupan kita ini sebenarnya dikawal oleh minda yang merupakan akal fikiran berfungsi mengawal tindak-tanduk kita dan hati yang mengawal perasaan kita.

Sebab itulah, pada zaman Rasulullah, apabila Hasan al-Hudaibi dipenjarakan, beliau berkata, “Penjara bukanlah tembok tebal atau jeriji besi. Penjara yang sebenarnya adalah belenggu dalam perasaan dan fikiran”.

Maksudnya, biarpun pada fizikalnya beliau diberkas dengan tali yang tidak mampu ditetas, tetapi mindanya masih bebas untuk beribadah kepada Allah. Maka itu, marilah sama-sama kita, set semula (reset) minda, ubah cara berfikir, dengan berprasangka baik kepada Allah, dan kepada orang sekeliling.

Hapuskan semua pemikiran negatif yang bersarang dalam minda. Berfikir secara positif dan bertindak secara positif – Insya-Allah kita akan berjaya, kerana kejayaan ada di mana-mana selagi berusaha, berdoa dan bertawakal kepada Tuhan Yang Satu.

Sebagai pakar mata, saban hari saya merawat pesakit yang ingin memulihkan penglihatan dan berusaha untuk ‘celik mata fizikal’.

Walaupun kos rawatannya sangat tinggi, masih ramai sanggup mengorbankan wang ringgit, demi mencapai kesempurnaan dan keselesaan hidup daripada segi lahiriah.

Amatlah kita harapkan sebagaimana kita mahukan kesempurnaan ‘mata fizikal’, begitu jualah kita harapkan dalam usaha kita untuk merawat hati “celikkan mata hati”, yang tidak melibatkan kos yang tinggi, tetapi hanya perlu memperuntukkan masa mendidik hati dengan ilmu dan iman.

Ingatlah dalam diri kita ada seketul daging yang dinamakan hati – jika baik hatinya baiklah peribadinya dan begitulah sebaliknya. Hati bagai telaga, peribahasa Melayu mengatakan; “Dari telaga yang jernih, tak akan mengalir air yang keruh”. Betulkan hati betullah sanubari, betulkan fikiran betullah kehidupan.

Penilaian imej diri kita ini bergantung kepada nilaian daripada segi ‘dalaman’ (hati nurani/jiwa/roh) dan nilaian daripada segi ‘luaran’ (fizikal/jasad) kita. Segala yang kita perlihatkan tentang diri kita kepada orang lain, itulah imej diri kita. Penampilan imej diri amat bergantung kepada emosi yang ada dalam hati atau jiwa kita.

Jika dalaman kita, iaitu jiwa tidak elok, secara tidak sedar, kita juga akan mempamerkan hanya yang tidak elok kepada sifat luaran kita dan penampilan diri kita.

Lazimnya, orang yang kacau jiwanya akan mempamerkan penampilan diri yang negatif; pakaiannya tidak terurus, rambut kusut-masai, berwajah masam muram dan susah hendak senyum.

Pada wajahnya sahaja sudah dapat kita baca isi hatinya – “Dari mata turun ke hati”. Jika akhlak kita buruk; mulut kita jahat, suka mengata atau mengumpat orang, asyik melihat dan mencari kesalahan dan kekurangan orang, kita sentiasa hendak menang apabila bercakap, bermakna kita memiliki imej diri negatif.

Mungkin buat pertama kali orang berjumpa dengan kita, orang suka akan kita, kerana orang belum dapat mengesan perangai kita yang sebenar. Tetapi, setelah mengenali kita dengan lebih lama, orang tidak akan menyukai kita, kerana hanya memiliki kecantikan luaran, dan tidak kecantikan dalaman.

Sebab itulah amat penting kita menjaga imej diri kita dan membina imej diri positif, agar kita dapat membina keyakinan orang lain terhadap kita.

Mengubah

Bahkan dengan imej diri positif dalam masa yang sama, kita juga yakin untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja pada bila-bila masa dan pada mana-mana situasi sekali pun.Bagi mengelakkan kegagalan dalam kehidupan, elakkan perkara negatif berikut. Jangan mengeluh, merungut, menyalahkan orang lain dan membuat alasan, dan mengumpat.

Apa-apa yang kita perlihatkan kepada orang tentang diri dan sikap kita itulah gambaran hati atau kalbu kita. Kalau kita asyik nampak orang tidak elok bermakna dalaman pun tidak elok.

Bagi mengawal imej diri agar sentiasa positif, kita perlu mengawal diri kita dua perkara, iaitu ‘sistem kepercayaan’ kita dan ‘sistem nilai’ hidup kita. Apa yang kita fokus itulah yang akan terhasil.

Kalau ‘sistem kepercayaan’ kita mempercayai, untuk tingkatkan imej diri sebagai seorang ketua misalnya, kita mesti membataskan hubungan kita dengan orang bawahan, mesti memiliki kereta besar dan mewah, berpakaian mahal, dan seumpamanya bagi menunjukkan perbezaan status kita, maka kita akan membawa penampilan diri yang demikian.

Jika ‘sistem nilai’ kita pula contohnya, berfokus kepada kecantikan sebagai lambang kehebatan imej diri, maka kita akan menjadi orang yang sentiasa menjaga kecantikan dan takut hilang kecantikan. Kita akan takut kepada peningkatan usia, dan kita akan sibuk fokus mencari cara bagaimana hendak mengekalkan kecantikan.

Sesungguhnya kecantikan luaran itu tidak kekal, kalau hari ini kita disukai kerana kita cantik, 40 tahun akan datang kecantikan luaran kita (jasad) sudah hilang dimakan usia. Kecantikan yang kekal adalah kecantikan dalaman (jiwa/roh) kita, yang akan kita bawa nanti menghadap Ilahi ke alam abadi.

Cara membina imej diri, pertama lakukan transformasi diri, dari segi dalaman secara peningkatan spiritual dan luaran dengan menjaga kesihatan dan penampilan fizikal. Kedua, tulis visi hidup dengan menggunakan jurnal kehidupan.

Ketiga, sayang diri sendiri dengan cara bersyukur dengan pemberian dan kejadian Allah, dan bina kasih sayang Allah. Sebab hanya orang yang sayang Allah akan sayang dirinya.

Keempat, bina ketenangan diri dan hati dengan cara mengetahui tujuan hidup; orang yang tenang akan menang. Apabila memulakan sesuatu tindakan dengan ketenangan akan bermulanya kebijaksanaan.

Kalau kita mengubah dunia dalaman kita, yakni kita mengubah fikiran dan emosi kita, maka dunia luaran kita juga berubah. Kesannya, hasil kehidupan kita berubah.

Kita akan mendapat ketenangan, kebahagiaan, kesihatan kekayaan yang maksimum. “Jom setiap hari kita fikirkan perkara bermanfaat dan berniat untuk memberi sebanyak mungkin manfaat kepada orang sekeliling kita.

Ingat formula FIKIR BAIK – EMOSI BAIK – TINDAKAN BAIK – HASIL KEHIDUPAN BAIK.” “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Penulis adalah Pengarah Pusat Mata dan Lasik Prof. Muhaya.