Seorang lagi bertanyakan sama ada saya balik kampung bagi ‘memeriahkan’ hari penamaan calon seterusnya mengundi kerana se­kali lagi calon yang diturunkan BN adalah ‘orang kampung’. Begitu juga bekas wakil rakyat yang letak jawatan untuk memberi peluang kepada suami dan sekarang menjadi wakil rakyat Kajang kembali lagi menawarkan diri untuk ber­khidmat kepada rakyat di Permatang Pauh. Saya memberitahunya, sudah letih dengan sandiwara politik di Permatang Pauh dan ingin melupakan seketika bab politik Langkah Kajang ke Permatang Pauh ini.

Saya beritahunya, jika pulang pun sekadar menghadiri majlis kenduri kahwin anak sepupu saya, Hamzah Shaari di Taman Guar Perahu. Saya beritahunya, pada hari berkenaan saya berada di Sibu, Sarawak untuk sama-sama ‘memeriahkan’ Minggu Saham Amanah Malaysia 2015 (MSAM). Apa pun selamat bertanding kepada calon BN, Suhaimi Sabudin dan Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PKR). Saya kenal calon BN hanya kerana jawatannya sebagai Setiausaha UMNO Bahagian tetapi memang kenal bapa dan datuknya yang tinggal di Guar Jering, jiran kampung saya, Guar Perahu yang pernah menjadi pusat gerak kerja Anwar Ibrahim pada peringkat awal sebagai wakil rakyat UMNO.

Kembali ke tujuan asal Selak minggu ini. Saya berpeluang mengikuti MSAM 2015 selama tiga hari pada Khamis hingga Sabtu lalu di Dataran Bandar Sibu, Sibu, Sarawak. MSAM 2015 yang bermula pada 19 April lalu akan melabuhkan tirainya pukul 2 petang hari ini. Agak menghairankan kenapa Sibu yang majoriti penduduknya kaum Foo Chow menjadi pilihan. Mampukah ia mencatatkan kehadiran pengunjung? Jika dari Kuching, laluan darat ke Sibu memerlukan masa lapan jam sementara melalui Sungai Rajang pula mengambil masa enam jam. Sudah pasti MSAM bukan mahu menarik penduduk Kuching. Di sudut logistik, sudah tentu ia sesuatu yang menyukarkan Permodalan Nasional Berhad (PNB). Lokasi seperti itu melibatkan kos yang tinggi bagi pihak pe­nganjur. Apa pun demi mendekati masyarakat, kesungguhan PNB bertandang ke Sibu amat berbaloi. Kehadiran pengunjung boleh dianggap sebagai luar biasa kerana sehingga hari keenam, lebih 200,000 orang sudah mengunjunginya, mengatasi sasaran awal 150,000 orang pengunjung. Ternyata slogan Juh singgah MSAM 2015 rami-rami benar-benar menggamit pegunjung. Lebih mengejutkan, jumlah itu mengatasi kehadiran pengunjung MSAM 2010 di Kuching iaitu 187,000 orang. Tahniah kepada PNB serta seluruh tenaga kerja dan 13 syarikat kumpulan PNB serta pelbagai agensi, syarikat dan institusi lain yang menyertai MSAM kali ini.

Memang benar kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri supaya PNB tidak hanya memberi tumpuan kepada bandar-bandar besar sebaliknya menjelajah ke bandar lain di Sarawak bagi mendekati lebih ramai masyarakat setempat. Sibu yang khabarnya sepi menjelang petang terus sibuk. Seorang pemandu memberitahu, bandar Sibu tidak pernah sesak se­perti beberapa hari berlangsungnya MSAM. Walaupun hujan dan pada hari bekerja, jumlah pengunjung tidak mengecewakan. Kehadiran semakin meningkat menjelang wak­tu petang. Pada Khamis lalu, di pintu masuk utama dewan pa­meran MSAM, tertera kenyataan cenderamata beg dan payung sudah habis. Bagaimanapun PNB tidak mengecewakan para pe­ngunjung dengan mengganti cenderamata payung dengan minyak jenama Alif. Pada Jumaat, stok payung tiba walaupun tanpa logo PNB atau MSAM. Program yang diatur juga mendapat sambutan menggalakkan termasuklah peraduan mewarna. Ibu bapa bersama anak-anak sanggup beratur panjang di hadapan dewan dua jam sebelum acara bermula. Begitulah sambutan yang diberi. Bukan jumlah pengunjung atau nilai pelaburan yang diharapkan. Apa yang mahu dicapai adalah ilmu pelaburan dalam kalangan pengunjung terutama generasi muda. Biarlah MSAM ini dapat melahirkan masyarakat berilmu, celik pelaburan dan bijak merancang kewangan. Mereka boleh mendapatkan khidmat nasihat pelaburan daripada orang yang bertauliah supaya tidak terperangkap dengan pelaburan yang tidak diiktiraf. Melihat ramai pelajar yang datang, sudah tentu mereka dapat menambah ilmu mengenai produk amanah bukan sahaja melalui bahan pameran tetapi kuiz yang dianjurkan. Bagi yang sudah dewasa, melalui MSAM ini juga mereka dapat merancang kewangan de­ngan lebih baik menjelang hari persaraan. Pendidikan yang digunakan dalam acara MSAM ini juga pelbagai termasuk melalui hiburan, peraduan dan sukan. Sesuatu yang perlu diberi perhatian oleh masyarakat ialah produk pewarisan ASNB iaitu Hibah Amanah dan Pengisytiharan Amanah. PNB boleh mempromosikan lagi produk ini kerana ia melibatkan masa depan keluarga pelabur atau pewaris mereka. Sekali lagi tahniah kepada PNB kerana sejak tahun 2000, MSAM ini berjaya menarik lebih 2.8 juta pengunjung serta memperoleh pengiktirafan Longest Running Unit Trust Exhibition (2000-2014) daripada The Malaysia Book of Records.