Dalam bahasa mudah di negara kita, ada dua kelompok pembangkang iaitu Pakatan Rakyat dan Pakatan Harapan, tetapi yang mana satukah akan mentadbir Malaysia jika ditakdirkan mereka memenangi pilihan raya umum akan ­datang? Dasar pentadbiran manakah mahu dilaksanakan, acuan Pakatan Harapan atau cara Pakatan Rakyat?

Kalau Pakatan Harapan bermakna ia menggabungkan DAP, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan PAN manakala Pakatan Rakyat menggabungkan PKR, DAP dan Pas, tetapi Pas sudah menegaskan tidak akan bekerjasama dengan DAP dan PAN serta telah menolak untuk bersama PPBM dan memutuskan hubungan politik dengan PKR, maknanya Pas akan bersendirian.

Melalui keputusan itu, ertinya dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bakal menyaksikan pertembungan antara parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dengan Pakatan Harapan diketuai oleh DAP dan juga Pas.

Tetapi ketika apa yang kita saksikan, kerjasama mereka masih bercelaru. Soal siapa Perdana Menteri masih belum selesai manakala pembahagian kerusi belum muktamad. Pada mulanya mereka mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, selepas itu Tun Dr. Mahathir Mohamad pula menyatakan bersedia menjadi Perdana Menteri dan kemudiannya wujud pula nama Mohammad Azmin yang disifatkan ­pemimpin muda paling layak.

Namun begitu tidak kira apapun kehendak PKR, PPBM mahupun PAN, seperkara mereka perlu ingat segalanya tidak akan tercapai tanpa restu DAP. Kalaulah di Kelantan DAP sudah menyatakan siapa yang mereka mahu menjadi Menteri Besar kalau Pakatan Harapan menguasai negeri itu, apakah dalam soal siapa Perdana Menteri, DAP bersedia menyerahkan bulat-bulat kepada ketiga-tiga parti tersebut menentukan?

Lagipun setakat ini DAP belum menunjukkan sebarang tanda untuk menyerahkan mana-mana kerusi miliknya sama ada di peringkat Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada PAN atau PPBM - Dua parti serpihan yang memerlukan kawasan untuk bertanding.

DAP hanya membiarkan soal itu diuruskan oleh PKR,PPBM dan PAN, maknanya ketiga-tiga parti itu perlu berunding sesama sendiri untuk pembahagian kerusi manakala DAP akan terus kekal dengan kawasan yang ditandinginya.

Jika itu berlaku apakah PKR, PPBM atau PAN boleh menjadi salah sebuah parti yang memenangi paling banyak kerusi berbanding DAP. Sekadar mimpi mungkin boleh tetapi realitinya DAP sama sekali tidak akan membiarkan keadaan itu berlaku.

Oleh itu, tidak perlulah PKR,PPBM atau PAN beria-ia mahu menentukan siapa Perdana Menteri, segala-galanya akan ditentukan oleh DAP. Lagipun jangan terkejut kalau DAP meletakkan calon Melayu di kerusi milik mereka kerana kalau mereka memenangi kerusi lebih banyak berbanding ketiga-tiga parti berkenaan dan Pakatan Harapan menang PRU14 maka bolehlah wakil mereka menjadi Perdana Menteri!

Mungkin apa yang dikatakan ini nampak keterlaluan tetapi dalam politik segala kemungkinan. Kalau Dr. Mahathir yang suatu ketika dahulu pernah menegaskan: ‘’Saya mungkin ada silap sepanjang hidup saya tapi memecat Anwar bukan kesilapan’, tetapi kini menyokong Anwar untuk menjadi Perdana Menteri, apalah yang mahu dihairankan dengan teori calon DAP boleh menjadi Perdana Menteri.

Semua itu berlaku kerana Dr. Mahathir melalui PPBM hanya mahu melunaskan dendam peribadinya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak manakala PKR,DAP dan PAN pula ingin mencapai cita-cita politik mereka menamatkan pemerintahan BN. Sebab itulah mereka mengamalkan politik persepsi, pembohongan dan putar belit bagi mempengaruhi rakyat menyokong mereka.

Apapun terserah kepada rakyat untuk menentukannya, tetapi apa yang pasti tidak kira apapun nama pakatan dianggotai oleh parti-parti pembangkang dan pendekatannya, yang tetap akan berkuasa adalah DAP manakala parti-parti sekutu mereka hanyalah sekadar ‘pak turut’ dan ‘kuda tunggangan’. Tahniahlah!