Keadaan itu sudah tentulah memberikan kelebihan kepada DAP yang merupakan ‘taiko besar’ dalam Pakatan Harapan. Ini memandangkan DAP tetap dominan kerana di dalam pakatan itu sendiri terdapat sekurang-kurangnya tiga parti yang memerlukan undi orang Melayu.

Bagaimanapun mereka tidak boleh diletakkan harapan membela nasib orang Melayu dan umat Islam kerana DAP sudah pasti tidak membenarkannya. Atas sebab itulah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak memberi peringatan hanya UMNO sahaja yang mampu membela nasib mereka.

Apa yang dinyatakan oleh Salleh bukanlah untuk menakut-nakutkan orang Melayu tetapi inilah hakikatnya kerana PPBM, PKR mahupun PAN bukanlah parti paling berkuasa dalam Pakatan Harapan. Tetapi malangnya, Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah memanipulasikan kenyataan tersebut.

Kit Siang sengaja buat-buat tidak faham bahawa ke­nyataan Salleh adalah peringatan dan amaran yang selama ini sudah acap kali dizahirkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO. Sememangnya orang Melayu berhadapan dengan bahaya jika mereka terus berpecah kerana mahu tidak mahu ia memberi kesan kepada kemenangan UMNO dalam pilihan raya.

UMNO mahukan kemenangan bukan semata-mata mahu berkuasa seperti mana Pakatan Harapan yang sanggup melakukan apa sahaja demi meraih kuasa, tetapi ingin memastikan nasib orang Melayu terus terbela manakala nasib kaum lain tidak dipinggirkan.

Hakikatnya, penulis­ melihat Kit Siang semakin menggelabah kerana walaupun dalam Pakatan Harapan sudah ada PPBM, PAN dan PKR namun mereka masih di­lihat tidak begitu berjaya menarik sokongan orang Melayu kepada pakatan tersebut. DAP mahu undi orang Melayu kerana me­lalui cara itu sahaja ia akan mampu menutupi muslihat parti sebagai parti berkuasa dalam Pakatan Harapan.

Jika orang Melayu menyebelahi Pakatan Harapan, DAP akan memberi hujah bahawa pakatan itu disokong oleh semua kaum sedangkan orang tahu yang tetap berkuasa dan menentukan segala-galanya jika Pakatan Harapan menang dalam pilihan raya adalah DAP.

Bagaimanapun setakat ini harapan DAP belum tercapai, sebab itulah sudah ada gerakan mahu menarik kembali Pas ke dalam Pakatan Harapan. Keadaan itu berlaku kerana biarpun pelbagai usaha dilakukan oleh pakatan pembangkang termasuk memainkan isu 1MDB namun orang Melayu dilihat masih lagi bersama UMNO.

Kemenangan Barisan Nasional di dua pilihan raya kecil iaitu Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar sudah menjadi bukti bahawa orang Melayu terus menyokong UMNO.

Keadaan inilah yang meresahkan DAP apatah lagi mereka sudah berusaha segala-galanya termasuk sanggup berbaik-baik dengan musuh ketat mereka iaitu Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Kewujudan PPBM tidak banyak memberi kesan dari segi sokongan kepada Pakatan Harapan, biarpun ada segelintir ahli-ahli UMNO melompat ke dalam parti tersebut.

Sebenarnya, penulis melihat kenyataan Kit Siang itu adalah sebagai strategi politik selamat DAP, untuk menutupi agenda mereka memecahbelahkan orang Melayu demi melemahkan kuasa politik bangsa tersebut.

Melalui kenyataan beliau, penulis melihat beliau cuba meletakkan kesalahan terhadap UMNO apabila berlakunya perpecahan dalam kalangan orang Melayu, sedangkan hakikatnya, DAP lah yang memainkan pe­ranan di belakang tabir untuk menghasut dan melakukan adu domba untuk memecahbelahkan kuasa politik orang Melayu.

Atas sebab itulah Kit Siang ‘melompat’ apabila Salleh memberi peringatan kepada orang Melayu kerana Kit Siang tidak mahu kenyataan tersebut akan menyedarkan orang Melayu mengenai politik pecah perintah yang diamalkan oleh DAP.

Maka sebab itulah, beliau cepat-cepat membuat kenyataan menyalahkan UMNO berhubung isu perpecahan Melayu ini, sedangkan hakikatnya merekalah yang menjadi tangan-tangan ghaib yang melakukan provokasi bertujuan memecahkan kekuatan politik bangsa Me­layu di negara ini.

Bagaimanapun saya yakin pengundi-pengundi di negara ini, khususnya orang Melayu tidak berfikiran singkat membuat keputusan untuk melakukan peralihan undi secara total daripada BN kepada Pakatan Harapan. Ini memandangkan mereka semakin sedar dan faham serangan yang dilakukan oleh pakatan tersebut ke atas kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanyalah satu tuduhan semata-mata, tanpa bukti kukuh.

Apatah lagi, Pakatan Harapan sendiri bagaikan satu sekelompok yang hanya bijak mencari kesalahan orang lain sedangkan mereka sendiri menghadapi banyak masalah termasuklah dari segi struktur organisasi yang cacamarba dan membuktikan kerakusan mereka untuk memburu kuasa semata-mata.

Oleh itu, tidak perlu Kit Siang atau pemimpin-pe­mimpin DAP cuba memutarbelitkan fakta kerana dari semasa ke semasa, rakyat semakin memahami bahawa Pakatan Harapan bukanlah sebuah kelompok yang boleh memberi harapan, sebaliknya satu golongan yang boleh memusnahkan harapan mereka untuk mewujudkan sebuah negara yang aman dan sejahtera.

DATUK ZEIN ISMA ISMAIL ialah Ketua Penerangan UMNO

Selangor.