Sebenarnya sejak awal lagi apabila PPBM memutuskan untuk menjalinkan hubungan politik dengan DAP, penulis sudah menjangkakan PPBM akan menjadi salah sebuah lagi parti yang perlu mendapat restu DAP dalam percaturan politiknya.

Perkara itu seharusnya dapat dibaca oleh Pas yang pasti sudah cukup berpengalaman berkawan dengan DAP ketika dalam pakatan pembangkang dahulu. Pas sendiri sudah melihat bagaimana parti-parti dalam pakatan berkenaan tidak mampu berbuat apa-apa selagi DAP tidak memberi restu.

Begitulah juga PPBM. Mereka juga tidak terlepas berada di bawah pengaruh DAP. Lagi pula sejak penubuhannya Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad sanggup merendahkan martabatnya sebagai negarawan dengan menghadiri persidangan kebangsaan DAP di Shah Alam dan secara terbuka menarik balik segala pandangan serta kritikan yang dibuat oleh beliau ke atas DAP sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

Dr. Mahathir yang begitu ghairah mahu mencapai dendam politiknya untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga memuji DAP yang dianggap jauh lebih baik daripada parti komponen Barisan Nasional (BN) seperti MCA dan Gerakan.

Penulis tidak menafikan mungkin dalam hati kecil Muhyiddin, beliau memang mahu menyokong RUU355, selain dikhabarkan tidak begitu selesa PPBM menjalin hubungan rapat dengan DAP, tetapi siapa Muhyiddin mahu membantah kehendak politik Dr. Mahathir?

Walaupun menjadi Presiden tetapi yang menentukan pelantikan Muhyiddin ialah Dr. Mahathir sebab itulah Muhyiddin tidak boleh bersuara apabila Dr. Mahathir melantik anaknya Datuk Seri Mukhriz sebagai Timbalan Presiden.

Muhyiddin terpaksa akur kerana apabila beliau bersetuju bergabung dalam gerakan politik Dr. Mahathir, ini bermakna beliau tidak mempunyai banyak kuasa dalam menentukan perjalanan politik PPBM. Segala-galanya Dr. Mahathir yang akan tentukan.

Begitulah juga dalam isu untuk menyokong RUU355 tersebut. Perlu diingat individu yang mengesahkan pendirian Muhyidin bukanlah calang-calang orang, beliau ialah Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man. Sebagai ulama, Tuan Ibrahim sudah tentulah tidak mahu 'mengutip dosa kering’ dengan mereka-reka perkara yang tidak wujud.

Keadaan itu menimbulkan persoalan, apa sebenarnya pendirian Muhyiddin, menyokong atau menentang? Apakah pendirian bekas Timbalan Perdana Menteri itu berubah selepas bertemu Dr. Mahathir?

Sentimen

Penulis membangkitkan persoalan itu kerana amat memahami sentimen Dr.Mahathir terhadap Pas dan pendirian bekas Perdana Menteri itu dalam soal-soal berkaitan perjuangan Islam Pas.

Sejak menjadi Pengerusi PPBM, rasanya belum pernah sekalipun Dr. Mahathir memuji dan menyatakan kebaikan Pas seperti mana beliau secara terbuka memuji DAP serta menarik balik segala kenyataannya berhubung parti itu.

Kalaulah Dr.Mahathir benar-benar jujur mahu PPBM bersahabat dengan Pas dan berhasrat ingin melihat Pas berada dalam pakatan pembangkang, beliau sepatutnya mencari jalan bagaimana mahu berbaik-baik dengan Pas. Jika beliau boleh bersikap hipokrit dengan DAP, kenapa sandiwara yang sama tidak boleh ditunjukkan dengan parti yang memperjuangkan Islam?

Senario ini mengesahkan lagi bahawa di dalam PPBM bukan sahaja wujud dua kem iaitu 'kem Mahathir’ dan 'kem Muhyiddin’, malah PPBM sebenarnya hanya mahu memperalatkan Pas. Sementara Dr.Mahathir pergi 'menyembah’ DAP, Muhyiddin pula yang merupakan anak seorang ulama cuba menarik Pas ke dalam pakatan.

Strategi politik PPBM ialah memastikan pengaruh DAP dapat digunakan untuk meraihkan sokongan kaum Cina manakala Pas akan 'diperalatkan’ bagi menarik pengundi Melayu dan pada masa yang sama mengeksploitasi jentera pilihan raya Pas semaksimum mungkin dalam pilihan raya umum akan datang.

Oleh itu Pas tidak boleh terperangkap dengan strategi PPBM tersebut kerana akhirnya yang akan untung ialah PPBM dan DAP manakala Pas seperti biasa 'menang sorak kampung tergadai’.

Keadaan itu sudah hampir pasti bagi Pas berikutan keputusan PPBM menjalinkan kerjasama dalam Pakatan Harapan yang dianggotai oleh sekutu sementara ketika ini, PKR dan dua musuh ketat Pas, DAP dan PAN.

Bayangkan apabila PPBM sudah berbuat demikian tanpa memikirkan kesannya dalam hubungan mereka dengan Pas, apakah Pas perlu terus bersikap bagaikan 'hidung tak muncung pipi tersorong-sorong’ untuk menjalin hubungan bersama PPBM?

Kesepakatan PPBM dalam pakatan pembangkang membuktikan bagi parti itu sama ada Pas menyertainya atau tidak, ia tidak akan mendatangkan apa-apa kesan, bak kata orang 'ada pun tak untung, tak ada pun tak rugi’.

Kalau PPBM benar-benar jujur mahu menjalinkan kerjasama dengan Pas sudah tentulah mereka akan menyelesaikan dulu kemelut antara Pas dengan DAP dan PAN atau membuat pilihan sama ada memilih Pas atau kedua-dua parti berkenaan.

Tetapi PPBM seolah-olah meletakkan Pas sebagai pilihan terakhir sebab itulah Dr. Mahathir tidak begitu memandang Pas sebagai sekutu yang penting. Yang aneh, jika dengan DAP, Dr. Mahathir boleh mencari jalan untuk berbaik-baik, kenapa dengan Pas, beliau dilihat tidak bersungguh-sungguh?

Apa yang menjadi persoalan, kalaulah dalam isu RUU355 pun PPBM berbelah bahagi, bagaimanakah orang Melayu dan umat Islam boleh mengharapkan parti itu untuk memperjuangkan nasib mereka dalam isu lain berkaitan dengan golongan tersebut.

Sebagai parti yang diasas dan ditubuhkan oleh pemimpin-pemimpin yang pernah menjadi Perdana Menteri, Timbalan Menteri dan Menteri Besar, PPBM pasti tahu bahawa tiada salahnya RUU355 disokong, tidak kira sama ada ia akan dibentang oleh Pas mahupun kerajaan.

Ini memandangkan pindaan RUU itu hanya bertujuan untuk memperkasa Mahkamah Syariah dan menambah hukuman dalam kes jenayah syariah serta paling penting ia sama sekali tidak melibatkan orang bukan Islam, tetapi kenapa PPBM dilihat seperti keberatan?

Hujah Muhyiddin bahawa parti itu akan tunggu dan lihat bentuk akhir yang akan dibentangkan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sukar diterima kerana sebagai bekas Timbalan Perdana Menteri, beliau pasti bijak untuk memahami apa juga rang undang-undang yang hendak dibentangkan.

Situasi sebenarnya ialah PPBM mahu menjaga hati DAP, selain memahami RUU355 turut ditentang oleh PKR dan PAN. Keutamaan PPBM ialah perasaan ketiga-tiga parti itu, bukannya Pas.

Justeru Pas tidak perlu terhengeh-hengeh untuk terus berharap dapat bekerjasama dengan PPBM kerana 'pakej kesepakatan’ PPBM turut merangkumi musuh politik Pas iaitu DAP dan PAN.

Soalnya adakah Pas juga akan membuat 'pusingan U’ yang kini menjadi amalan politik pemimpin-pemimpin PPBM? Sama-samalah kita tunggu!