Otak yang waras boleh mengandaikan bahawa tulisan itu adalah satu lagi propaganda DAP dalam misi mereka menawan Perak. Motifnya mudah – benak fikiran rakyat mesti ditanam dengan kepercayaan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) mesti ditumbangkan.

Minda rakyat diajak berhalusinasi dengan pandangan bahawa DAP adalah sebaik-baik parti sambil berulang-ulang memuji pentadbiran kerajaan DAP Pulau Pinang sebagai model terbaik. Namun, artikel Yew Yin sebenarnya sekadar menghidupkan semula isu-isu ciptaan DAP yang dikitar semula walaupun ia sudah berkali-kali dijawab.

Misalnya, Yew Yin mengulangi dakyah DAP kononnya ‘Perak negeri kedua termiskin’ sedangkan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) sudah menegaskan bahawa tidak pernah membuat kesimpulan sedemikian.

KRI menjelaskan adalah tidak mungkin mereka membuat laporan sedemikian kerana indikator kemiskinan sewajarnya mengambil kira pelbagai statistik seperti pertumbuhan keseluruhan ne­geri, agihan pendapatan (biasanya diukur dengan menggunakan ‘gini co-efficient’ atau ‘Pekali Gini’), kos hidup, pemilikan rumah dan akses kesihatan.

Malah, jika Yew Yin ambil sedikit masa untuk meneliti statistik terbaharu Jabatan Perangkaan, beliau akan sedar bahawa miskin tegar di Perak kini berada pada kadar 0.58 peratus - jauh lebih rendah berbanding 1.31 peratus yang direkodkan di Pulau Pinang.

Yew Yin meniup sentimen DAP kononnya lebih 122,000 rakyat Perak berpendapatan kurang RM2,380 sebulan untuk menggambarkan betapa daifnya rak­yat Perak, namun tidak sanggup mendedahkan fakta-fakta berikut.

Mengikut Jabatan Perangkaan, pertumbuhan purata pendapatan isi rumah di Perak dari 2009 hingga 2016 dengan kadar CAGR (compound annual growth rate) ialah 34.3 peratus di kedudukan ketujuh bagi seluruh negeri - ­lebih baik berbanding Pulau Pinang di kedudukan 14 dengan kadar 24 peratus.

Yew Yin juga pastinya tidak sanggup untuk menyebut statistik terbaharu mengenai kadar inflasi di Perak yang hanya berada pada angka 1.4 peratus berban­ding 2.47 peratus di Pulau Pinang.

Antara ‘kehebatan’ yang dimiliki DAP adalah kebolehan memanipulasi angka dan statistik - disampaikan pula dengan nada berapi-api - tetapi sebenarnya sarat dengan fitnah dan dakyah.

Begitu juga ketika Kor Ming mendakwa kononnya Bajet Perak menghadapi defisit jutaan ringgit setiap tahun sedangkan rekod menunjukkan belanjawan negeri berakhir dengan surplus atau lebihan selama lapan tahun berturut-turut sejak Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir menjadi Menteri Besar.

Yew Yin mungkin malu untuk bercerita bagaimana Kor Ming berbohong kononnya kerajaan DAP Pulau Pinang ada membentangkan laporan kewangan Chief Minister Inc. dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sedangkan ia tidak pernah berlaku.

Agak pelik apabila pembangkang masih mempersoalkan kenapa MB Inc. Perak tidak membentangkan laporan kewangan dalam sidang DUN sedangkan sudah dijelaskan berkali-kali bahawa enakmen perbadanan itu tidak memerlukan perkara itu dilakukan.

Malah, perbadanan sama yang terdapat di negeri-negeri yang diperintah pembangkang iaitu Pulau Pinang (Chief Minister Inc.), MB Inc. Selangor dan MB Inc. Kelantan juga tidak pernah berbuat demikian.

Di pentas ceramah, pemimpin DAP berapi-api menuduh rizab kerajaan negeri jatuh merudum sedangkan jumlah rizab negeri bukan sahaja meningkat saban tahun, malah jumlahnya yang hanya sekitar RM750 juta pada 2009, kini telah melonjak mencecah RM1.10 bilion tahun ini. Pendek kata, bagi DAP apa sahaja mengenai Perak, semuanya mesti kelihatan buruk dan hodoh.

Kor Ming yang sering memomokkan cerita kononnya Pe­rak ditadbir ‘tangan-tangan kotor’ sekadar mampu ternganga apabila Ketua Audit Negara mengiktiraf Perak sebagai negeri terbaik mengurus kewangannya. Sebanyak 15 daripada 18 jabatan di Perak pula menerima penarafan lima bintang dalam aspek akauntabiliti.

Yew Yin dalam artikelnya mendakwa pengangguran di Perak sangat teruk, namun statistik di atas kertas menunjukkan sebaliknya. Kadar pengangguran di Perak terus menurun pada angka 3.4 peratus berbanding 3.8 peratus pada 2009.

Pusat Kerjaya Amanjaya (PeKA) yang ditubuhkan pada 2011 untuk menangani masalah pengangguran, sudah berjaya membantu lebih 52,000 pencari kerja melalui program pemadanan pekerjaan.

DAP mungkin tidak gembira melihat angka pertumbuhan ekonomi Perak yang mencecah 8.1 peratus pada 2016, lebih baik berbanding 6.3 peratus di peringkat nasional – perkembangan yang diikuti dengan penuh minat oleh komuniti bisnes terutama­nya masyarakat Cina.

Pembangunan Koridor Wila­yah Perak Selatan dan pengumuman Pangkor sebagai pulau bebas cukai juga melengkapkan persediaan Perak untuk mengalami pertumbuhan ekonomi yang jauh lebih pesat pada tahun-tahun mendatang.

Yew Yin di hujung artikelnya menasihatkan agar pengundi yang masih tidak mahu me­ngubah kerajaan dalam pilihan raya umum kali ini perlu memeriksa otak mereka. Tanggapan sebegini sebenarnya me­remehkan pemikiran rakyat. Rakyat tidak naif untuk mudah diperbodohkan. Mereka tahu membezakan antara fakta dan auta.

Jika DAP masih percaya bahawa menipu rakyat dengan taktik menghidangkan pembohongan dan maki hamun akan membawa mereka ke tampuk kuasa, maka mereka boleh memadam cita-cita menawan Perak.

Rakyat tidak sedangkal itu. Lupakanlah!