Bercakap berdegar-degar kononnya ‘tahu segala benda’. Padahal sehingga hari ini pun DAP masih belum mampu selesaikan isu pemilihan partinya yang tidak sah pada Disember 2012. Atau pemilihan semula yang juga tidak sah pada September 2013.

Paparan 10 siri oleh wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL menyorot tindak tanduk percaturan DAP melalui Kit Siang dan Guan Eng dalam kemelut politik lepas dan semasa negara.

 

DAP sebenarnya banyak terhutang budi pada Pas. Tetapi malangnya sumbangan dan jasa Pas tiada harga langsung di mata DAP. Yang peliknya, boleh pula Penasihat DAP, Lim Kit Siang membandingkan Pas versi Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pas versi Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Ini setelah dek geram dengan pendirian Abdul Hadi yang sukar melayan kehendak dan kerenah parti yang mengepalai Pakatan Harapan itu. 

Maka tulisan Kit Siang dalam sebuah akhbar pada 27 Februari lalu membuat perbandingan itu dengan katanya ‘banyak sekali perubahan terhadap Pas setelah kematian Nik Abdul Aziz pada Februari 2015’. Selain DAP-Pas pernah berganding dalam beberapa gabungan atau pakatan pembangkang sebelum ini, DAP barangkali lupa satu jasa besar Pas pada mereka.

Ketika Pilihan Raya Umum (PRU) 2013, semua calon DAP me­nuju ke pusat penamaan calon berserta dua surat watikah. Satu yang ditandatangani oleh DAP manakala satu lagi ditandatangani oleh Pas. Ini kerana DAP sendiri tidak pasti sama ada surat watikah parti itu sebagai sah memandangkan ia ditandatangani oleh Setiausaha Agung DAP yang tidak dilantik secara sah dalam pemilihan parti yang diisytiharkan dibatalkan.

Untuk rekod, pada Disember 2012, pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP diisytiharkan sebagai tidak sah oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kerana melibatkan keha­diran ratusan perwakilan pengundi haram. Malangnya, jasa Pas ini tidak membawa sebarang makna kepada DAP. ‘Hati kering’ DAP langsung tidak memberi sebarang ruang simpati kepada Pas.

Orang Pas tidak akan lupa insi­den-insiden yang dicetuskan DAP terhadap mereka sehingga dilihat seolah-olah melukut di tepi gantang dalam pakatan pembangkang. Antaranya pada 2015. Setelah pelbagai tindakan DAP untuk merasionalkan parti itu ­keluar Pakatan Rakyat, akhirnya DAP me­ngambil tindakan tersebut.

DAP memulakan usaha tersebut dengan menggunakan pendekatan memainkan sentimen keagamaan, melalui beberapa ahli parlimen mereka di Sarawak seperti isu kalimah Allah, dakwah Islam kepada masyarakat pribumi dan lain-lain.

Kemudian DAP Sarawak diberi autonomi untuk mengambil keputusan memutuskan hubungan bukan hanya dengan Pas malah dengan PKR di Sarawak yang diputuskan pada 27 Mac 2015. Tidak cukup de­ngan tindakan itu, DAP buat tindakan yang sama memutuskan hubungan dengan Pas di Sabah. Disebabkan Pas masih mengambil pendirian bersama dengan pakatan, DAP mencari ikhtiar lain pula untuk keluar dengan membuat provokasi melampau terhadap Presiden Pas (Abdul Hadi) dengan harapan Pas melayan provokasi itu dengan bertindak keluar dari pakatan.

Setelah usaha itu tidak berjaya, DAP buat keputusan yang agak pelik, memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi seorang sahaja tetapi masih mahu ada ikatan dengan Pas. Usaha itu diteruskan dengan berkempen secara tidak langsung supaya perwakilan Pas men­jatuhkan Presiden dalam Muktamar Pas ke-61.

Malah bukan itu sahaja. Pada 2015, kerajaan Pulau Pinang yang dikuasai DAP memecat semua ahli Pas yang memegang jawatan dalam Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di negeri itu. Dan lebih kurang ajar lagi, Ketua ­Menterinya, Lim Guan Eng menidakkan laporan sekumpulan ahli Pas di kawasan Parlimen Kepala Batas bahawa mereka sukarela meletak jawatan.

Mengulas perbandingan ‘dua versi Pas’ yang dibuat oleh Kit Siang itu, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah menyifatkan ia berpunca dari sikap angkuh dan tidak boleh bertolak ansur DAP.

DAP, kata Mohd Amar, se­benar­nya ‘lupa’ bahawa parti itu ‘berpengalaman’ memutuskan hubungan dengan Pas sewaktu keberadaan Allahyarham Nik Abdul Aziz sebelum ini.

“Kalau nak kata tok guru (Nik Aziz) terbuka dengan DAP, kita pun terbuka. Cuma kita putus ini sebab DAP ambil sikap yang bertentangan dengan perjuangan kita. Tok Guru sendiri pernah sebut masa DAP nak keluar (Barisan Alternatif), keluarlah, tidak ada masalah.

“Putusnya hubungan DAP de­ngan kita bukan hari ini sahaja, masa Tok Guru ada pun pernah putus dua kali. Jadi amat tidak betul kalau dia kata Pas yang ada kini berbeza dengan dulu,” kata Mohd. Amar, Februari lalu.

Kata Kit Siang, Allahyarham Nik Abdul Aziz tidak akan merelakan sebarang muslihat atau peng­khianatan politik, terutamanya oleh pemimpin Pas terhadap pakatan pembangkang. Namun berdasarkan rekod, Allahyarham Mursyidul Am Pas itu sendiri tidak pernah bersetuju dengan pendirian DAP yang menolak mentah-mentah ­usaha Pas mahu menegakkan perkara-perkara berkaitan Islam.

“Kita (Pas) lebih rela jika DAP keluar Pakatan Rakyat jika tidak setuju dengan pendirian mahu menegakkan hudud dan negara Islam. DAP pernah keluar sekali pada masa (gabungan pembangkang dalam) Angkatan Perpaduan Ummah (APU)…saya kata bye bye tak apa,” komen Allahyarham pada 22 September 2011.