Dalam PPBM, cuma beberapa kerat sahaja yang dikenali ramai - Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz dan siapa lagi ya?

Berapa jumlah keahlian PPBM? Berapa pula bilangan cawangan dan bahagiannya? Kalau dikenali sebagai ranting atau cabangpun, berapa ya?

Menoleh pula ke PAN iaitu parti serpihan Pas yang dike­tuai Mohamad Sabu atau Mat Sabu, berapa agaknya keahlian parti ini itu sejak dirasmikan setahun dua ini? Ada sehingga mencecah 100,000 orang? 50,000? Atau barangkali tak sampai pun 5,000?

Setelah Pas tidak lagi bersama pakatan harapan, DAP yang mengetuai pakatan harapan seolah-olah ‘mati akal’. Bagaimana hendak tarik sokongan Melayu?

Lantas parti itu dikatakan beralih menggunakan tokoh-tokoh dan pemimpin pembangkang Melayu terbabit.

Sasarannya kini lebih jauh. Untuk masuk dan menguasai kawasan Felda - yang memang ‘kebal serta kalis’ dengan tohmahan dan fitnah pembangkang.

Difahamkan, dalam satu me­syuarat DAP di Pulau Pi­nang awal Januari lalu, nama Felda turut disebut.

Dikatakan ia timbul setelah ada ahli jawatankuasa DAP negeri itu menyuarakan rasa sangsi terhadap keikhlasan Dr. Mahathir yang juga Pengerusi PPBM menjalin kerjasama de­ngan DAP.

Kesangsian itu tercetus apabila nama Dr. Mahathir dikaitkan sebagai individu yang membocorkan rahsia butiran yang dibincangkan dalam pertemuan dirinya dengan Penasihat parti itu, Lim Kit Siang.

Dikatakan kedua-dua pe­mimpin itu membuat perjanjian rahsia untuk melantik Mukhriz sebagai Perdana Menteri manakala Kit Siang sebagai Timbalan Perdana Menteri. (Setakat ini belum dipastikan kesahihannya).

Dan serentak itu, ada kalang­an ahli dalam mesyuarat DAP itu menggesa DAP tidak terlalu bertolak ansur dengan PPBM dalam soal pengagihan kerusi dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Bagaimanapun, kebimba­ngan itu diredakan dengan DAP Pusat merumuskan PPBM hanya akan dibenarkan ber­saing di kawasan Felda.

Undi masyarakat Felda diakui memainkan peranan besar untuk kemenangan parti-parti politik yang bertanding.

Kehadiran generasi baharu kelihatan sudah mengubah iklim politik peneroka. Ini menjadikan kawasan Felda tidak boleh dianggap hak mutlak mana-mana parti. Isu perumahan generasi kedua, himpitan kos sara hidup selain masalah penangguhan pembayaran pembelian sawit kepada peneroka dikatakan antara yang perlu ditangani segera.

Meskipun banyak pencapaian yang baik diraih Felda di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, pakatan pembangkang tidak akan berpuas hati atau mengakuinya sampai bila-bila.

Gerakan-gerakan mencemar reputasi Felda semakin giat diatur untuk menghancurkan perpaduan kalangan peneroka dan generasi muda Felda.

Apa pun, Felda masih ada harapan untuk BN khususnya UMNO mengekalkan pengaruh­nya. Beberapa perkembangan mutakhir ini ter­masuklah ­peralihan ­kepimpinan Felda meredakan kebimbangan ba­nyak pihak terutama peneroka dan ­generasi keduanya.

Kemenangan beberapa kes di mahkamah yang berpihak kepada Felda turut menaikkan kembali imej Felda.

Antaranya yang terbaharu pada 13 Februari lalu apabila Felda dan anak syarikatnya, Felda Global Ventures Holdings (FGVH) Sdn. Bhd. beroleh ganti rugi RM70,000 setelah memenangi kes saman mereka terhadap Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan dua lagi.

Kerana itu, bukan sahaja Dr. Mahathir dan Mohamad Sabu, malah PKR yang diketuai Wan Azizah pun dikatakan menjadi ‘sasaran’ DAP - menyelinap masuk Felda.

Dikatakan DAP memba­yangkan kali ini parti itu akan bertanding di kawasan separa bandar (selain bandar) dengan peruntukan kerusi lebih ba­nyak lagi.

Dan andaikata 23 kerusi Felda sahaja jatuh ke tangan pakatan yang dicampur 89 kerusi sedia ada, majoriti mudah 112 kerusi akan dilepasi.