Masyarakat turut simpati dengan apa yang berlaku ke atas Thaqif. Ibu Allahyarham, Felda Wani Ahmad, 40, mendakwa anak ketiga daripada lima beradik itu beberapa kali dipukul dengan paip getah oleh seorang pembantu warden pusat madrasah tahfiz berkenaan. Mudah-mudahan Allah kurniakan kesabaran kepada ibu bapa dan keluarga Allahyarham. Semoga anak ini menjadi pendahulu yang menanti ibu bapanya di syurga.

Susulan laporan yang dibuat ibu mangsa di Balai Polis Ulu Tiram pada 18 April lalu, polis menahan lelaki berusia 29 tahun itu bagi membantu siasatan. Biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan untuk mencari kebenaran dan keadilan dalam insiden ini.

Kepada ibu bapa, janganlah hendaknya kes ini dijadikan sebab kita membatalkan niat memiliki anak-anak yang bergelar hafiz dan hafizah. Ja­ngan kita hilang pertimbangan dan ‘pukul rata’ orientasi ‘dera’ atau merotan itu berlaku di semua pusat tahfiz. Bayangkan hasil yang bakal diperoleh apabila kita mempunyai anak yang hafal al-Quran.

Allah SWT juga memberi jaminan ganjaran kepada ahli keluarga bagi hafiz al-Quran sebagaimana Rasulullah SAW sendiri pernah menyatakan bahawa ibu bapa bagi penghafaz al-Quran akan dimuliakan di akhirat termasuk 10 orang ahli keluarga yang turut menum­pang syafaat memasuki syurga.

Berkenaan ibu bapa yang kematian anak Nabi SAW ber­sabda yang maksudnya: “Tidak ada manusia dalam kalangan muslim yang kematian tiga anak kecil yang belum sampai had baligh, me­lainkan dimasukkan oleh Allah ke dalam syurga dengan limpah kurnia dan rahmat kepada mereka.” (Riwayat Bukhari)

Dalam hadis tersebut, amat jelas di mana ibu bapa yang kematian tiga orang anak di masa kecilnya akan di­masukkan ke dalam syurga dengan syarat mereka ­menerima qada’ Allah dengan penuh ke­relaan dan kesabaran. Hadis tersebut juga menjadi dalil bahawa kanak-kanak yang mati sebelum baligh adalah ahli syurga dan termasuk juga kanak-kanak orang kafir. Begitulah pendapat Imam Nawawi dan disokong oleh ulama yang lain.

Sebagai pengajaran, para pengendali dan mereka yang terlibat dalam pusat tahfiz hendaklah mengambil pendekatan psikologi dalam berhadapan dengan anak-anak yang nakal. Memanglah bukan semua pelajar pusat tahfiz terdiri daripada anak-anak yang baik tetapi itu bukan lesen untuk memukul atau merotan sesuka hati.

Sejarah juga membuktikan Rasulullah SAW tidak pernah menggunakan kekasaran dalam mendidik walaupun kesalah­an yang dilakukan sebahagian sahabat bercanggah dengan syariat Islam. Baginda menjelaskan terlebih dahulu kesalahan yang dilakukan mereka di samping memberi jalan keluar dan penyelesaian kepada kesalahan itu. Jika ada yang masih ingkar, barulah kaedah rotan digunakan seperti disarankan oleh al-Quran dalam isu solat, zina dan sebagainya.

Ini dijelaskan menerusi hadis Nabi SAW: “Didiklah anak kamu solat pada usia tujuh tahun dan rotanlah mereka apabila usia mereka menjangkau 10 tahun (jika masih meninggalkan solat).” (Riwayat Abu Daud)

Para ustaz dan pengendali pusat-pusat tahfiz diharap dapat mencontohi kaedah yang ditunjukkan Nabi SAW dalam mendidik anak-anak menjadi generasi huffaz negara. Jangan merotan ketika sedang marah. Bukankah ada hadis yang menyebut orang yang kuat adalah yang mampu mengawal kemarahannya?