Perbuatan itu pula hendaklah berhasil yang manfaatnya pula buta warna agama, bangsa, warna kulit dan warna orientasi pemikiran. Semua penerima manfaat itu merasai rahmat hasil perbuatan orang bisu orang bisu tersebut sehingga kehidupan mereka menjadi selesa.

Golongan bisu ini mungkin terdiri daripada karyawan birokrat, teknokrat, usahawan atau karyawan sains Melayu.  Kumpulan birokrat dengan rela/redha membisukan diri kerana larangan paksa Perintah Am hendaklah bekerja dengan tekun menghasilkan buah tangan perlaksanaan pelbagai dasar negara dengan setia lalu hidup rakyat jelata menjadi selesa.  Mereka bersedia menjadi 'punching bag' kepada sesiapa sahaja tanpa ada nafsu melawan, sebaliknya begitu bernafsu melaksanakan karya karya kebajikan dalam pelbagai bidang bagi memberi keselesaan hidup manusia lain.  

Panggil saja mereka apa pun seperti 'hamba kerajaan'  (civil servant), hamba birokrasi dan yang lainnya, yang penting mereka berkhidmat di pelbagai sektor dengan bisu tanpa perlu cahaya yang diperlukan oleh aktivis/ahli politik bahasa atau agama.  Oleh kerana mereka itu berbahasa Melayu dan Islam, yang memberi khidmat kepada semua manusia, maka syiar bahasa Melayu dan agama Islam akan ditinggikan darjatnya oleh perbuatan mereka.

Golongan bisu kedua mungkin mereka yang merancang dan membuat lebuhraya, membuat saliran di bandar dan desa, membuat lebuhraya maya, memanfaatkan genyian fiber, membuat robot, membuat kapal terbang, membuat kereta kebal.  Mereka juga bisu kata-kata sebaliknya rancak bekerja.  Hasil tangan mereka dirasai.  Hasil tangan mereka pula dilabel dengan istilah istilah bahasa Melayu.  Mungkin mereka dipanggil teknokrat Melayu, yang kerana perbuatan mereka manusia dapat hidup maju, pantas dan aman.  Melalui mereka bangsa Melayu bersekali dengan bahasa dan agamanya dihormati.  Tidak akan ada sesiapa takut, tersindir atau rasa diprovokasi oleh mereka seperti yang sentiasa dilakukan oleh pendakwah lisan dan tulisan.

Sekumpulan lagi bisu bekerja dimakmal makmal bagi mencari kebenaran baru atau ilmu baru.  Pelbagai hasil ditemui yang menjadikan manusia dari seluruh dunia berbondong datang untuk mempelahari ilmi baru tersebut.  Ilmu baru itu pula dilabel dan disusun dalam formula-formula dengan penerangannya dalam bahasa Melayu.  Sesiapa yang ingin mempelajarinya wajib terlebih dahulu belajar bahasa Melayu.

Kumpulan selanjutnya juga bisu.  Mereka bekerja siang dan malam mencari harta.  Mereka tuli dengan umpatan mereka itu materialistik, lupa akhirat, hubbuddunya.  Silakan kata mereka!  Panggillah apa saja.  Cita-cita mereka ingin membeli kembali Singapura, ingin membeli kembali Pulau Pinang, ingin membeli kembali Kuala Lumpur, Petaling Jaya bahkan ingin membeli dunia.  Mereka ingin membayar zakat sebanyak-banyaknya dan berinfak tanpa ketakutan.  Bayangkan.

Ya silakan beraktivisme, silakan berpolitik, silakan menjadi pelobi bahasa dan agama, silakan berceramah hingga hilang suara, silakan sesekali dapat cahaya dijulang sebagai hero bahasa atau dianugerah tokoh maal hijrah namun hendaklah ada segolongan kamu yang bisu namun menyebar rahmatan lil alamin yang manfaatnya tanpa batas dan sempadan.

Hubaya hubaya bangsa ku.  Hubaya hubaya agamaku.  Ohhhh aku merinduimu.