Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah seorang politikus yang licik sekali. Beliau sentiasa timbul dan mencapai keuntungan dalam semua krisis sebagai pemenang.

Dalam percaturan politik, beliau tiada tandingannya selama ini kecuali Datuk Seri Najib Tun Razak yang dapat membaca dan menangkis setiap langkah dan strateginya.

Kepetahan Dr. Mahathir dalam penyusunan politiknya dapat disenaraikan seperti berikut :

* Menyemarakkan kebencian terhadap Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj yang mempunyai imej sederhana dan toleran terhadap rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Hobi Tunku Abdul Rahman dalam sukan lumba kuda juga dijadikan sasaran dan isu untuk menyemarakkan api emosi kemarahan dalam kalangan masyarakat Melayu.

Dalam krisis perkauman 13 Mei 1969, Dr. Mahathir berjaya menonjolkan diri sebagai pelampau Melayu atau Ultra Malay yang seterusnya mencelupkan dirinya sebagai Melayu sejati. Dalam segenap mata, Dr. Mahathir sudah menjelmakan diri sebagai pejuang Melayu yang patriotik dan Tunku Abdul Rahman sebagai penggadai maruah bangsa.

Permusuhan Tunku Abdul Rahman dengan Dr. Mahathir berterusan hingga ke hayatnya tetapi Almarhum seorang gentleman yang tidak kasar atau karut. Itulah Bapa Malaysia kita yang tidak diberi penghormatan sepatutnya dalam menjadi jambatan yang menyambung jurang-jurang perbezaan kaum Melayu, Cina, India dan kemudiannya pribumi Sabah dan Sarawak.

* Dalam krisis Perlembagaan 1983 yang melibatkan pindaan menyekat kuasa dan peranan Raja-Raja Melayu, Dr. Mahathir sekali lagi menonjolkan diri sebagai pejuang yang memihak pada rakyat dan bukannya raja, sekali gus beliau meminda Perkara 150 dalam Perlembagaan dan memindahkan kuasa pengumuman darurat dari Yang di-Pertuan Agong kepada dirinya sebagai Perdana Menteri.

* Dalam krisis kehakiman tahun 1988 , sekali lagi Dr. Mahathir berjaya menangkis gandingan kuasa bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam dan pencabarnya Tengku Razaleigh Hamzah dengan memecat Ketua Hakim, Tun Salleh Abbas dan beberapa hakim yang tidak mengikut hala atau telunjuk politiknya.

* Dalam krisis ekonomi mata wang yang memuncak pada 1998, Dr. Mahathir mengambil kesempatan memecat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menuduh beliau sebagai pengamal seks sumbang di luar tabii.

Kemelut ini telah memuncak dengan pergerakan reformasi yang menuduh Dr. Mahathir sebagai seorang pemimpin boros, suka pada projek-projek mega serta pengamal kronisme dan rasuah yang berleluasa.

Penentangan Anwar terhadap pemerintahan Dr. Mahathir melibatkan demonstrasi jalanan secara besar-besaran yang telah melumpuhkan jentera pentadbiran serta pertembungan polis dengan rakyat umum.

Ramai penyokong dan pe­mimpin Anwar termasuk Timbalan Perdana Menteri kita hari ini Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan Ketua Pemuda UMNO pada masa itu telah ditahan dan dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan (ISA) yang menyebabkan kesengsaraan dan penderitaan ramai.

Dr. Mahathir telah dijenamakan sebagai ‘Maha Zalim’, ‘Maha Firaun’ dan Sasterawan Negara, Allahyarham Shahnon Ahmad telah menulis sebuah novel bertajuk SHIT atau najis untuk menjijikkan dan mencemuh pemerintahan kuku besi Dr. Mahathir.

Setelah itu Dr. Mahathir telah berjaya menjatuhkan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Perdana Menteri dengan senang sekali. Hari ini dalam kegawatan politik dan ekonomi, beliau sekali lagi menunjukkan taring politik dan kuku besinya untuk menjatuhkan Najib sebagai Perdana Menteri. Percaturan demi percaturan melibatkan kelicikan politik yang merugikan rakyat dan negara telah berterusan dan berkesinambungan.

Akhirnya Pakatan Rakyat dicelupkan menjadi Pakatan Harapan. Tiba-tiba Dr. Mahathir yang merupakan pemimpin negara paling dibenci dan digeruni menjadi pilihan Pakatan Harapan untuk menyelamatkan negara ini daripada angkara rasuah.

Harapan negara sekali lagi di­letak pada tangan Dr. Mahathir dengan direstui musuh ketat beliau, Anwar dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Mengapa dahulu dicerca, tiba-tiba kini ‘dipuja’?

DATUK SERI TI LIAN KER ialah Jurucakap Publisiti MCA yang juga Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA.