Pada 3 Mac 2003, BHI diperbadankan dan dikenali sebagai Perbadanan Harta Intelek Malaysia (PHIM) dan singkatan itu ditukar kepada MyIPO sempena pelancaran Hari Harta Intelek Negara yang pertama pada 3 Mac 2005.

Semalam, MyIPO yang berada di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), menyambut ulang tahun ke-15 sejak dikorporatkan. 
Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, DATUK SERI HAMZAH ZAINUDIN, MyIPO akan menggiatkan usaha memupuk budaya menghormati harta intelek dalam kalangan rakyat bagi melahirkan generasi berinovasi dan kaya teknologi menuju Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Bercakap kepada wartawan Mingguan Malaysia, ABD. AZIZ ITAR dan AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI serta jurufoto, MUHAMAD HAFIZ, beliau berkata, usaha itu adalah selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu pengkomersialan sumber intelektual menjadi sumber kekayaan baharu negara.

“Hasrat Perdana Menteri itu adalah satu pandangan yang jauh ke hadapan, di mana perkembangan ekonomi dunia melihat penjanaan kekayaan tidak lagi didasarkan pada hasil bumi seperti petroleum, tetapi beralih ke arah mengkomersialkan harta intelek,” ujarnya.


MINGGUAN: Dalam tempoh 15 tahun, sejauh mana usaha kerajaan melalui agensi ini telah berjaya meningkatkan kemajuan landskap harta intelek dan menyumbang kepada ekonomi negara?

HAMZAH:
Apabila kerajaan mengkorporatkan MyIPO, ia banyak memberikan manfaat kepada rakyat keseluruhannya terutama dari segi pemahaman isu-isu berkaitan harta intelek dalam negara kita.

Kita telah melakukan pelbagai cara terutama melalui pengiklanan melalui media untuk rakyat keseluruhannya memahami tanggungjawab MyIPO.  Kita juga turun ke bawah berjumpa dengan para pelajar dan mahasiswa.

Daripada pendekatan yang kita lakukan ini, sudah ada penambahan dari segi aktiviti-aktiviti penghasilan harta intelek. Ia dapat dilihat dari segi peningkatan jumlah permohonan harta intelek daripada 20,000 setahun pada awal pengkorporatan kepada lebih 40,000 permohonan setahun sejak enam tahun kebelakangan ini iaitu peningkatan lebih 100 peratus. 

Ini menunjukkan pemahaman dan penerimaan rakyat untuk mendaftar dengan MyIPO sudah bertambah baik.

Apabila kita mewujudkan Dasar Harta Intelek Negara (DHIN), kerajaan berjaya meningkatkan kepercayaan pelabur asing untuk masuk ke Malaysia dan mendaftar harta intelek dengan MyIPO, seterusnya membantu
serta menyumbang ke arah peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) dan hasil negara.

Menerusi DHIN, kerajaan juga memajukan pembangunan sumber manusia bagi membentuk kumpulan pakar yang besar untuk pengurusan harta intelek di semua peringkat rangkaian aktiviti-aktiviti harta intelek.

Usaha kerajaan dalam memperkasakan harta intelek di negara ini adalah sangat baik tetapi kenapa masyarakat masih beranggapan pendaftaran harta intelek ini kurang penting?

HAMZAH:
Secara umumnya, tahap kesedaran masyarakat tentang kepentingan perlindungan harta intelek ini telah banyak meningkat jika dibandingkan dengan tempoh sebelum pengkorporatan MyIPO dan pewujudan
DHIN. Ini dapat dilihat melalui peningkatan konsisten permohonan pendaftaran harta intelek tempatan setiap tahun. 

Tidak dinafikan masih wujud persepsi ‘tidak apa’ dalam kalangan usahawan tempatan dalam mendaftarkan harta intelek mereka kerana ia tidak diwajibkan, tidak seperti pendaftaran perniagaan.

Namun begitu saya menyarankan rakyat mengambil langkah ke hadapan dengan mengkomersialkan serta melindungi harta intelek mereka seterusnya menjana pendapatan atas hasil rekaan mereka.

KPDNKK melalui MyIPO dan kerjasama agensi-agensi di bawah kementerian termasuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) sedang giat bagi meningkatkan kesedaran

masyarakat terutama usahawan termasuk  perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan peniaga atas talian mengenai kepentingan mendaftarkan cap dagangan atau jenama mereka.

Ramai rakyat kita menjalankan perniagaan, namun perniagaan mereka sebenarnya terdedah kepada risiko kehilangan hak eksklusif terhadap produk dan jenama mereka ekoran kegagalan mendaftar harta intelek mereka.

Perdana Menteri ada menyebut bahawa harta intelek adalah sumber kekayaan baharu negara dan mampu memastikan Malaysia kekal berdaya saing. Bagaimana rakyat harus mengambil peluang ini untuk meningkatkan pendapatan mereka menerusi sumber harta intelek?
HAMZAH:
Perdana Menteri mahu melihat melalui kreativiti dan inovasi ini boleh membawa satu lagi keuntungan kepada negara apabila segala kreativiti yang didaftarkan itu boleh dikomersialkan.  Kita tidak mahu berlaku kreativiti dan idea kita diambil oleh orang lain.

Sekiranya kita daftar dahulu sebelum kita buat sesuatu, kreativiti boleh membawa keuntungan kepada mereka yang kreatif dan mempunyai idea-idea yang boleh diketengahkan bukan hanya di dalam negara tetapi juga di seluruh dunia.

Sebab itulah kita hendak supaya pengkomersialan harta intelek menjadi imej negara yang boleh diterima pakai bukan hanya di dalam negara tetapi di seluruh dunia apabila kita dari awal memberikan penekanan dengan mengkorporatkan MyIPO.

Jadi, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia terutamanya yang terlibat dengan perniagaan agar manfaatkanlah agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk membantu memajukan perniagaan mereka. 

Kita perlu berdaya saing ke arah negara berpendapatan tinggi untuk mencapai tahap yang baru dengan tidak bergantung kepada sumber fizikal tetapi hendaklah berasas sumber kekayaan seperti sumber intelektual.  

Dalam memastikan rakyat Malaysia dan pelabur asing amnya terus aktif dalam pengkormersialan harta intelek dan menjadikan Malaysia sebagai hab harta intelek, apakah jaminan kerajaan bahawa tahap sistem perlindungan harta intelek berada dalam keadaan terbaik?

HAMZAH:
Matlamat kerajaan adalah memberi perlindungan terbaik untuk harta intelek di negara ini. Ia adalah antara tujuan di sebalik pengkorporatan MyIPO pada 2003, dan penggubalan DHIN yang dilancarkan pada 2007.

Melalui pengkorporatan MyIPO, kerajaan ingin mengorak langkah supaya usaha memperkasakan dan memajukan harta intelek di negara ini dijalankan secara lebih serius dan berterusan. 

Ini kerana MyIPO bukan sahaja berfungsi sebagai custodian (penjaga) dan agensi yang mendaftar harta intelek di Malaysia, tetapi juga sebagai sebuah badan yang menjalankan kajian berterusan serta menjalinkan hubungan dengan organisasi harta intelek di seluruh dunia dalam memastikan polisi harta intelek di negara ini sentiasa berkembang seiring kemajuan dunia. 

Salah satu matlamat DHIN adalah untuk membangunkan Malaysia sebagai hab harta intelek terkemuka, di mana penghasilan nilai ekonomi daripada aktiviti-aktiviti perniagaan berasaskan harta intelek memperkukuhkan keseluruhan prestasi ekonomi Malaysia.    

Misi penubuhan MyIPO juga adalah untuk menyediakan infrastruktur undang-undang yang kukuh dan rejim pengurusan efektif harta intelek bagi memajukan kreativiti dan eksploitasi harta intelek di negara ini.

Secara amnya, perundangan sedia ada di negara kita adalah mematuhi kehendak Perjanjian Trade Related-Aspects of Intellectual Property Rights (TRIPs) yang ditandatangani pada 1995 oleh negara-negara ahli
Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO). Oleh itu, perundangan harta intelek Malaysia adalah mencukupi bagi menangani perlanggaran hak harta intelek. 

Walau bagaimanapun, landskap harta intelek adalah dinamik dan kerajaan sentiasa siap siaga untuk menambah baik perundangan harta intelek sedia ada berdasarkan keperluan bagi memastikan undang-undang kita sentiasa up-to-date dengan perubahan zaman. 

Apakah usaha-usaha kerajaan yang telah, sedang dan akan dilakukan dalam memajukan aktiviti-aktiviti penghasilan serta pengeksploitan komersial harta intelek?

HAMZAH:
Bagi mewujudkan persekitaran harta intelek yang kondusif, kerajaan telah menyediakan peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 untuk membantu belia, pelajar dan komuniti setempat memfailkan harta intelek mereka.

Di bawah strategi untuk menggalakkan eksploitasi komersial harta intelek, kerajaan juga telah mengenal pasti dan mengambil langkah melindungi pereka harta intelek (IP creators) melalui sambutan Hari Harta Intelek Kebangsaan setiap tahun.

Pada tahun 2006, kerajaan memperkenalkan Anugerah Harta Intelek Negara sebagai satu bentuk pengiktirafan kepada pereka, penginovasi dan pereka cipta tempatan di Malaysia.

Satu lagi strategi adalah dengan menggalakkan valuation methods  (kaedah penilaian) bagi membantu eksploitasi komersial harta intelek, dan bagi merealisasikan potensi aset bukan fizikal sebagai satu sumber kekayaan baharu, kerajaan telah memberi tanggungjawab kepada MyIPO untuk mengetuai IP Valuation Initiatives (inisiatif penilaian).

Kerajaan juga mempunyai rancangan untuk melihat semula dan menambah baik DHIN bagi tempoh lima tahun akan datang untuk memantapkan ekosistem harta intelek Malaysia yang merangkumi aspek lebih luas sejajar dengan perkembangan teknologi dan landskap perlindungan harta intelek dunia amnya dan Malaysia khasnya.

Ini termasuk mengambil kira Revolusi Industri 4.0 dan persediaan untuk menyokong pelaksanaan TN50.  Dalam hal ini, Pertubuhan Badan Harta Intelek Sedunia (WIPO) telah memberi persetujuan secara prinsip untuk memberi bantuan teknikal bagi menambah baik DHIN.

Kerajaan juga merancang untuk menyertai Marrakesh Treaty iaitu perjanjian antarabangsa berkaitan hak cipta yang akan bagi memberi kemudahan kepada golongan kurang upaya visual (penglihatan) untuk mendapatkan akses kepada bahan bacaan dalam format yang khusus.

Dalam ekonomi dunia tanpa sempadan serta perubahan landskap perniagaan global yang semakin kompetitif, adakah kita bersedia mengurus harta intelek dengan lebih cekap dan berkesan setanding pasaran ekonomi dunia lain?

HAMZAH:
Sudah tentu kita bersedia. Kerajaan sentiasa mengamalkan sikap terbuka dalam pembangunan dan kemajuan, dan mengambil langkah terbaik demi masa depan negara.
Dalam konteks harta intelek, seperti saranan Perdana Menteri, kita mesti menjadikan harta intelek sebagai sumber kekayaan baharu negara. Hasrat Perdana Menteri itu adalah satu pandangan yang jauh ke hadapan, di mana perkembangan ekonomi dunia melihat penjanaan kekayaan tidak lagi didasarkan pada hasil bumi seperti petroleum, tetapi beralih ke arah mengkomersialkan harta intelek.

Sejajar dengan visi ini, kerajaan menyediakan infrastruktur dan polisi bagi membawa negara kita ke hadapan dalam pengurusan harta intelek dan penjanaan ekonomi melalui inovasi.

Pada pandangan Datuk Seri, di manakah peranan harta intelek dalam memacu negara ke arah aspirasi TN50?
HAMZAH
: KPDNKK akan mengadakan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkan topik mengenai harta intelek di dalam silibus sekolah bagi mendidik pelajar supaya celik harta intelek dan memupuk budaya menghormati hak harta intelek.

Kita juga telah mengambil langkah ke hadapan dengan mengadakan program bersama Kementerian Pendidikan bagi menerapkan minat generasi muda terhadap harta intelek, seperti IP Funtastic dan IP Summer Camp.

Saya sudah melihat program IP Funtastic yang dilakukan di kawasan saya. Orang kampung pun sudah boleh buat macam-macam program menggunakan robot dan mempunyai idea-idea baharu untuk mereka melahirkan produk lebih canggih daripada sebelum ini.

Kerajaan berhasrat melahirkan generasi berinovasi dan kaya teknologi menjelang negara mencapai TN50. Dalam tempoh tersebut, kita juga mahu harta intelek ini menjadi satu budaya di Malaysia seperti di negara-negara maju. Kini, China juga sudah jauh meninggalkan negara-negara lain dalam melindungi harta intelek. 

Kita yakin rakyat Malaysia lebih inovatif dan kreatif. Kalau mereka sudah mempunyai budaya ini, segala apa yang mereka lahirkan nanti boleh memberikan pendapatan yang besar kepada negara.

Apakah inisiatif yang perlu MyIPO fokuskan bagi memastikan sistem harta intelek negara mapan untuk tempoh 15 tahun akan datang dan seterusnya menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berinovasi tinggi?

HAMZAH:
 Pertama,  kajian perundangan perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan perlindungan hak harta intelek sentiasa berada di tahap yang sewajarnya dan menepati standard antarabangsa.
MyIPO juga perlu memperhebatkan program-program kesedaran di setiap peringkat masyarakat dan lapisan umur bagi memastikan budaya menghormati hak harta intelek ini dapat diterapkan sebagai jati diri setiap warga Malaysia. 

Di samping itu, kursus dan latihan dalam bidang harta intelek perlu dipelbagaikan supaya dapat mewujudkan lebih ramai pakar harta intelek tempatan yang lebih profesional dan berpengetahuan luas. 

Kepelbagaian bidang harta intelek dan kemunculan isu-isu baharu memerlukan penglibatan lebih ramai pakar yang dapat menyumbang kepada pengukuhan ekosistem harta intelek negara serta dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam komuniti harta intelek di peringkat antarabangsa.        

Sungguhpun MyIPO adalah pentadbir harta intelek, namun pembangunan harta intelek adalah agenda negara dan sewajarnya kerjasama dengan pelbagai kementerian, agensi, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan perlu  ditingkatkan.

Ini penting supaya pengetahuan mengenai harta intelek dan kepentingan perlindungan hak harta intelek ini dapat disebar luas secara berkesan.