Boleh dikatakan kawasan pembangunan itu sudah ba­nyak kali disebut-sebut. Sudah bertahun-tahun. Di media sosial apatah lagi.

Lebih bermakna, projek itu disempurnakan pelancarannya oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalul­lail pada 27 Mac lalu. Projek yang dikatakan bakal mengubah landskap ekonomi rakyat Perlis, melonjakkan taraf hidup mereka, kini di depan mata.

Persoalannya, bersediakah rakyat Perlis? Adakah mereka mampu mengisi peluang-peluang pekerjaan mahir dan separuh mahir yang ditawarkan di situ nanti? Bagaimana pula dengan peluang kontraktor tempatan dari negeri itu? Mampukah mereka bersaing merebut kontrak seperti kelas F yang 'terhidang'? Begitu juga kesan limpahan ekonomi buat penduduk setempat. Daripada kedai-kedai makan sehinggalah kepada perkhidmatan bengkel kenderaan?

Maka sebab itu, sesuatu perlu dilakukan jika rakyat Perlis tidak mahu ketinggalan menikmati manfaatnya. Untuk mengisi ruang kekosongan tenaga kerja misalnya, mereka perlu disediakan pusat-pusat latihan yang bersesuaian dengan sektor pembangunan ekonomi di situ.

Remaja negeri ini yang sekarang berusia 15 tahun wajar segera didedahkan dengan bidang ilmu bertepatan. Mereka ini patut 'mencorakkan' CVIA.

Meningkatkan keperluan asas juga harus menjadi perkara utama. Contohnya, Hospital Padang Besar yang sehingga kini belum menjadi nyata.

Begitu juga jaringan jalan raya yang menghubungkan CVIA dan kawasan-kawasan lain selain bekalan elektrik dan air yang di beberapa kawasan masih kadang-kala terputus.

Perkara lain adalah isu perbankan. Memang benar perniagaan kini menuju perbankan internet tetapi keperluan mewujudkan premis juga tidak boleh dinafikan. Sehingga kini, tiada bank beroperasi di Padang Besar setelah sebuah bank utama menutup operasinya baru-baru ini.

Ketika bertemu Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man secara santai baru-baru ini, beliau melahirkan harapan menggunung untuk melihat CVIA menjadi nadi penggerak ekonomi Perlis, khususnya dalam soal penawaran pekerjaan.

"Apatah lagi negeri ini mempunyai sumber hasil yang amat terhad khususnya pertanian dengan anggaran pendapatan tahunan sebanyak RM80 juta.

"Separuh daripada penduduk (keseluruhan 280,000 orang) pula tidak mempunyai pekerjaan dan bergantung kepada ibu dan bapa," katanya.

Bagi sesetengah negeri, CVIA mungkin tidak dianggap sebagai projek mega, namun bagi Perlis ia sudah cukup memberi impak buat penduduknya.

Kelebihan sebagai negeri di bahagian paling utara Semenanjung itu dan bersempadanan dengan Thailand, memberi kelebihan untuk projek berkenaan mencapai sasarannya.

Kelebihan itu bagaimanapun perlu direbut generasi muda sebagai warga pengisi era Transformasi Nasional 2050 (TN50) untuk menentukan hala tuju CVIA.

Bak kata Azlan, sebagai Menteri Besar, beliau hanya boleh merencana program pembangunan tetapi rakyatlah yang perlu berubah untuk memastikan kejayaan CVIA.