Soalan yang sama diajukan kepada sekelompok pelajar di universiti ini. Rata- rata antara mereka menjawab: “Cutikah kalau tak sampai 10 hari?” Sebenarnya, dalam 14 minggu waktu kuliah yang diperuntukkan, sembilan hari bercuti sepatutnya dikira agak lumayan di pertengahan sesi kuliah. Sekiranya mahasiswa ini tergolong dalam jenis yang merancang masa, pastinya mereka tahu betapa berharganya sembilan hari itu jika dimanfaatkan sepenuhnya.

Ada segelintir mahasiswa yang dibekalkan tugasan oleh pensyarah masing-masing. Tugasan ini biasanya diberikan secara berkumpulan dan jika pengagihan tugas dan masa yang diperuntukkan digunakan dengan baik, tugasan ini mengambil masa sehari sahaja untuk menyiapkannya. Walau bagaimanapun, jika dilakukan dengan begitu santai, pastilah tugasan ini siap sehari sebelum cuti pertengahan semester tamat.

Terdapat juga mahasiswa yang mengambil peluang berharga ini untuk merapatkan silaturahim bersama rakan-rakan sekolah dahulu kerana inilah peluang mereka bertemu kembali dan masing-masing membicarakan perkembangan semasa.

Ada yang telah mengumpul duit untuk bercuti bersama-sama bagi merancakkan sesi perjumpaan tersebut. Hal ini dipandang dari sudut positif kerana kita gemarkan mahasiswa yang aktif dan ada sifat cakna mengenai perkembangan belia lain. Di sini mereka dapat bertukar fikiran dan berkongsi pengalaman seterusnya melaksanakan maklumat baharu itu di universiti masing-masing.

Selain itu, ada kalangan mahasiswa yang merancang untuk mengambil kursus jangka masa pendek bagi melengkapkan diri dengan ilmu-ilmu tambahan yang tidak terdapat dalam sesi kuliah. Kursus-kursus ini boleh didapati daripada takwim kolej-kolej komuniti di seluruh Malaysia, institusi pengajian tinggi awam serta dari media sosial dan kawasan setempat. Yuran yang berpatutan dan sijil-sijil yang ditawarkan menarik minat mahasiswa.

Kursus seperti pemantapan penggunaan aplikasi dan perisian komputer penting untuk membantu menyelesaikan tugasan dengan pantas dan memantapkan resume pelajar apabila memohon pekerjaan kelak.

Kursus menjahit, bakeri dan pastri, teknik menggunting rambut, teknik-teknik pertanian, pendawaian elektrik dan penyelenggaraan sistem transmisi kenderaan penting sebagai asas melahirkan sifat keusahawanan dalam diri pelajar ­seterusnya menjana pendapatan tambahan bagi menampung kos pengajian universiti dan sara hidup mahasiswa.

Sesungguhnya pembelajaran sepanjang hayat ini penting untuk memantapkan ilmu pengetahuan, peningkatan kemahiran kerja seterusnya melonjakkan pembangunan modal insan untuk negara maju. Ini selaras dengan hala tuju Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2020) Bidang Fokus C iaitu memperkukuh pembelajaran sepanjang hayat untuk peningkatan kemahiran.

Walau apa juga perancangan dan pengisian cuti mahasiswa, diharapkan cuti ini biarlah menjadi cuti yang produktif kerana sebagai mahasiswa, sepatutnya golongan ini tidak mensia-siakan nikmat masa dan memanfaatkan hidup dengan perkara kebaikan.

Ini sejajar dengan tafsir Surah Al Ashr: “Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam keadaan kerugian kecuali orang yang beriman, beramal salih, saling menasihati dalam kebenaran, dan saling menasihati dalam kesabaran.” (Al ‘Ashr: 1-3).

PENULIS ialah Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.