Namun, ada juga yang jadual tugasannya begitu padat, dan masa yang ada hanya membenarkan anda berjalan mengelilingi radius satu kilometer dari hotel sebelum berangkat pulang.

Kelebihan bekerja sambil merantau ini, membolehkan wartawan membuat tinjauan awal atau recce sesuatu destinasi, dengan matlamat akan datang semula semasa percutian.

Tetapi dalam kebanyakan kes, hasrat itu tinggal hasrat kerana definisi 'percutian’ dengan 'realiti kerja’ saling berkait dalam makna yang sangat nipis. Terjemahannya ialah kita akan bercuti ke destinasi yang mudah dan murah. Saya yakin anda juga bersetuju.

Mungkin ramai juga yang tidak bersetuju, apatah lagi ia dilakar daripada perspektif saya dari kelompok profesional yang tidak menentu masa kerja. Pastinya, ramai lagi yang berkeupayaan mencari masa untuk beriadah selepas waktu bekerja terutama hujung minggu.

Saya tidak mencemburui anda. Ada masanya definisi waktu rehat saya bermakna dapat menonton perlawanan bola sepak Liverpool hujung minggu atau bermula 2.45 pagi dan itulah nikmat kehidupan. Percutian ke luar poskod, adalah suatu cabaran dari segi masa, sebenarnya.

Pendapat saya di atas, seakan-akan menepati kaji selidik terbaharu oleh Hotels.com yang mendapati rakyat Malaysia mengutamakan kemampuan (antara lain) dalam membuat keputusan pelancongan.

Cuma yang saya faham kaji selidik bertajuk'Separuh Daripada Keseronokan Melancong’ ini menumpu kepada golongan milenial, bukan Gen. X seperti saya. Entahlah. Apakah saya dapat menemui persamaan, pun tidak pasti. Jadi saya teliti satu demi satu kaji selidik tersebut.

Antaranya ialah:

* Rakyat Malaysia meyakini ulasan dalam talian – 82 peratus dipengaruhi sedikit sebanyak oleh ulasan dalam talian apabila membuat keputusan melancong.

* Sebanyak 65 peratus pelancong milenial meluangkan masa lebih dua jam meninjau pilihan penginapan – 11 peratus meluangkan masa lebih 10 jam.

* Selera orang Malaysia tidak berubah di luar negara – 98 peratus pelancong meluangkan masa mencari restoran Asia.

* Pelancongan halal – 97 peratus pelancong Muslim meluangkan masa mencari pilihan menjamu selera yang halal sebelum perjalanan mereka.

Ya, betullah apa saya merrepak awal tadi. Kita semua mencari destinasi yang mudah dan murah. Mudah ialah mudah hendak cari makan. Fakta sahih ialah orang luar datang ke Malaysia, mereka sukarela mencuba juadah tempatan seperti nasi lemak. Kita pula bila ke luar negara pun cari nasi lemak!

Percutian halal juga popular dalam kalangan rakyat Malaysia, dengan 97 peratus daripada pelancong Melayu dalam kaji selidik ini meluangkan masa untuk mencari pilihan menjamu selera halal sebelum membuat keputusan kembara masing-masing.

Sebanyak 51 peratus meluangkan masa lebih daripada sejam berbuat demikian.

Kaji selidik itu turut merumuskan tiga punca tekanan utama bagi golongan milenial Malaysia semasa merancang perjalanan iaitu tidak pasti sama ada mendapat harga terbaik (55 peratus), perlu mengambil kira pilihan orang lain (54 peratus) dan terlalu banyak maklumat, tidak tahu apa yang terbaik (48 peratus).

Merancang

Pelancongan berkumpulan adalah sangat popular dalam kalangan 1,000 penduduk milenial Malaysia (lahir 1982 dan selepas itu) yang ditinjau selidik, dengan 91 peratus daripada responden memilih untuk melancong bersama rakan dan keluarga mereka.

Hanya lapan peratus yang meluangkan sebahagian besar masa untuk melancong secara solo. Mereka juga membuat perancangan awal, 66 peratus daripada responden melaporkan bahawa mereka merancang berminggu-minggu lebih awal, dan hanya lima peratus daripada responden merancang percutian mereka beberapa hari lebih awal.

Ini bermakna keseronokan bercuti bermula sebelum kita menjejakkan kaki di destinasi atau membuat tempahan tiket penerbangan. Keseronokan bermula dari detik kita mula membayangkan percutian dengan mencari tempat penginapan, tempat menarik untuk dilawati, aktiviti untuk dilakukan dan sajian menarik untuk dinikmati. Tidak hairanlah bahawa walaupun dengan cabaran yang dihadapi, 94 peratus daripada responden berkata mereka seronok dengan proses perancangan percutian.

Bagaimana pelancong Malaysia memilih destinasi mereka yang seterusnya? Untuk membolehkan sesuatu destinasi menarik kunjungan rakyat Malaysia, faktor kemampuan merupakan penentu utama, dengan 86 peratus daripada responden menganggap faktor ini sebagai satu daripada pertimbangan utama. Sebanyak 45 peratus lebih suka menuju ke destinasi yang kelihatan cantik di dalam gambar, atau dengan kata lain, Instagrammable.

Rakyat Malaysia adalah pengguna Instagram paling aktif di Asia Pasifik (Kantar TNS, 2016), dan mereka suka berkongsi gambar percutian dengan rakan-rakan dan keluarga menerusi platform media sosial. Sudah pasti cara terbaik untuk berbuat demikian ialah mengunjungi destinasi serba indah di mana mereka boleh mengambil gambar dan memuat naik gambar terbaik untuk Instagram, tanpa sebarang tapisan!

Jadi, sebanyak 86 peratus daripada golongan milenial akan mula merancang penginapan mereka selepas menentukan destinasi, berbanding 80 peratus bagi pengangkutan (penerbangan, bas, keretapi dan sebagainya, dan 50 peratus bagi jadual kembara.

Dalam kalangan mereka yang berbuat demikian, sebahagian besar meluangkan masa berjam-jam setiap hari mencari penginapan terbaik, – 54 peratus meluangkan masa antara dua hingga 10 jam, 35 peratus menghabiskan masa sehingga sejam dan 11 peratus meluangkan masa lebih 10 jam.

Minggu depan cuti Hari Kemerdekaan dan Hari Raya Aidiladha menjanjikan minggu percutian yang panjang. Silalah melancong ke destinasi dalam negara. Kenali Malaysia, cintailah Malaysia.