Hari ini, ada pelbagai syarikat penerbangan berulang-alik ke Kuching, malah ada dari luar negara. Ini perkara pertama saya sebagai anak Sarawak cukup hargai kerana dengan kewujudan pilihan yang banyak, ia juga bermakna tiket semakin murah. Keperitan pada 1990-an kini tinggal sejarah.

Oleh kerana tempoh saya bermastautin di Semenanjung sudah mengatasi tempoh saya membesar di Sarawak, ada sahabat rapat yang mengejek bahawa 'kesejatian Sarawak saya sudah menipis’. Saya tidak gelak. Pernyataan itu datang daripada sahabat lama sejak di bangku sekolah.

Tetapi saya terima dengan tenang sebab dia menilai pendirian saya yang didakwanya 'tidak lagi ultra Sarawak’. Apakah kerana sekian lama di Semenanjung, saya sudah dianggap hilang punca dengan asal usul sendiri? Saya soal dia semula.

Perkara ini timbul semasa berbicara hal tuntutan segelintir puak yang mahu Sarawak dikeluarkan dari Malaysia. Mereka menggunakan slogan Sarawak for Sarawakian. Sahabat saya itu tidak menyokong kumpulan tersebut kerana bagi dia, ia langsung tidak menguntungkan bangsa, agama dan negara.

Sesi randau itu sebenarnya, menyaksikan saya lebih banyak bertanya tetapi mungkin soalan saya mula dianggap 'soalan maut’, maka saya pula jadi sasaran. Beberapa kali saya ingatkan sahabat-sahabat bahawa perhimpunan kami di Kuching ketika itu, tidak sama dengan perbualan semasa waktu rehat sekolah dulu-dulu, berbahas mengenai Michael Jackson dan Scorpion, siapa lebih popular.

Sebagai lelaki-lelaki dewasa yang kini mempunyai anak remaja, masing-masing ada pendirian politik tersendiri walaupun kebanyakannya anggota Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB).

Saya disoal juga tentang hal ini. Apakah saya ahli UMNO? Tidak. Saya adalah ahli PBB tetapi dorman sebab yuran keahlian seumur hidup saya dijelaskan oleh bapa suatu waktu dahulu dan saya belum berkesempatan menyertai mana-mana mesyuarat peringkat cawangan atau bahagian.

Inti pati perbualan kami berkisar mengenai 'layanan’ Kerajaan Pusat terhadap Sarawak, khususnya. Keunikan sesi randau itu ialah ia mempertemukan dua perspektif iaitu anak Sarawak yang duduk di negeri itu, dengan saya, anak Sarawak bermastautin di Semenanjung.

Royalti

Keluh-kesah selama ini, terutama musim pilihan raya mengatakan pembangunan di Sarawak tidak seiring dengan Semenanjung, dan royalti minyak tidak dinikmati sepenuhnya di dalam negeri terus bergema.

Saya tidak menafikan atau menyanggah pernyataan itu. Ada kebenarannya tetapi peralihan pentadbiran Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri telah mengubah situasi itu.

Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak memegang jawatan Perdana Menteri, beliau bukan sekadar 'tahu cakap sahaja’ mengenai betapa pentingnya Sabah dan Sarawak dalam dasar politik pembangunannya, tetapi juga merealisasikan dasar-dasarnya.

Langkah Najib itu semakin konkrit dengan gandingan pragmatik Pehin Sri Adenan Satem yang menjadi Ketua Menteri Sarawak kelima pada 2014, telah membawa suatu bentuk pembangunan yang tidak pernah disangka dapat dilaksanakan.

Projek Lebuh Raya Pan Borneo dari Sematan di Bahagian Kuching hingga ke Sabah, merupakan suatu kemudahan yang diminta dan dinanti berpuluh tahun lamanya. Najib dan Adenan merealisasikannya.

Mengenai royalti minyak, sekian lama kerajaan Pusat enggan melayan tuntutan tersebut telah berubah pada era Najib dan Adenan. Yang paling mengejutkan, kerajaan Sarawak yang kini diterajui Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menubuhkan syarikat minyak, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai peranan Petronas di Sarawak selepas ini.

Bab Petronas ini, saya kemukakan serba sedikit maklumat yang saya tahu. Dasar mengutamakan anak negeri menjadi pengurusan kanan, ada sudut positif dan juga negatif.

Contohnya, loji Petronas di Sipitang yang sebelum ini, diterajui oleh orang Sarawak. Oleh kerana, orang Sabah menuntut orang dia sendiri menguruskan Sipitang, maka orang Sarawak itu dipindahkan balik ke Bintulu.

Bunyi mudah. Memang mudah. Tetapi sila teliti lebih mendalam. Struktur pengurusan di dalam Petronas melantik orang Sarawak di Sipitang itu berdasarkan merit iaitu kepakaran dan pengalaman. Tetapi orang itu dipindahkan ke Bintulu, bukan atas dasar merit tapi kerana dasar utamakan anak negeri.

Senarionya ialah memang negeri masing-masing seronok sebab 'anak negeri’ memimpin loji masing-masing. Anak Sabah di Sabah dan anak Sarawak di Sarawak.

Tetapi keseluruhan operasi Petronas, bagaimana? Tidakkah ia menjejaskan operasi Petronas yang merupakan satu-satunya syarikat Malaysia tersenarai dalam Forbes 500, bermakna pengurusan syarikat mesti mematuhi standard global. Bersorakkah kita sebagai rakyat Malaysia dalam isu utamakan anak negeri?

Setelah senyap seketika, sejurus itulah saya dilabel oleh sahabat randau sebagai 'sudah hilang nilai ultra Sarawak’. Tidak wahai sahabat. Provokasi seumpamanya tidak akan menaikkan kemarahan.

Tetapi provokasi mengatakan orang Brunei tergelak melihat nasib orang Sabah dan Sarawak setelah membentuk Malaysia bersama Tanah Melayu, itu memang cari pasal dan memang akan disanggah.

Manusia tidak matang seumpamanya, seolah-olah mengatakan orang Sabah dan Sarawak bodoh membentuk Malaysia. Itu tidak benar.

Banyak kelebihan dinikmati bersama sejak pembentukan Malaysia 54 tahun lalu. Memang ada kelemahan tetapi cara berhemah yang diamalkan kedua-dua kerajaan negeri dengan kerajaan Pusat, menjamin suatu bentuk penyelesaian positif pasti dapat diraih.

Dan berdasarkan situasi sekarang, hubungan yang wujud adalah di tahap terbaik. Merrepak hari ini bukan berkempen pilihan raya tetapi mengajak anda menyelami situasi makna Hari Malaysia dari perspektif kami anak Sarawak yang bermastautin di Semenanjung ini.

Hargainya. Jagalah Malaysia kita ini sebaik-baiknya.