Dalam era lambakan maklumat kini, membaca karya asal adalah cukup payah terutama apabila banyak masa terpaksa dihabiskan terhadap perkara-perkara lain. Terdapat ungkapan yang cukup popular, tempoh 24 jam sehari terasa tidak cukup untuk melakukan segala-galanya.

Oleh itu, tujuan kolum ini diwujudkan adalah sebagai transformasi kepada ruangan Ulasan Buku sebelum ini yang hanya terhad kepada buku-buku sedangkan banyak lagi karya bermanfaat dihasilkan dalam bentuk lain.

Tumpuan adalah bagi mendedahkan teknologi yang digelar Profesor Harvard Business School, Clayton M. Christensen sebagai disruptive technology (teknologi yang menimbulkan gangguan).

Teknologi seperti ini akan menggantikan perkhidmatan dan peralatan yang telah digunakan sejak sekian lama atau mewujudkan satu industri baharu dengan peralatan dan perkhidmatan serba baharu. Aplikasi e-hailing seperti yang digunakan oleh Uber dan Grab adalah contoh teknologi sedemikian.

Berikutan usaha kerajaan untuk membawa Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) ke Malaysia, sudah pasti banyak lagi teknologi sedemikian yang akan diperkenalkan.

Teknologi Internet Saling Berhubung (IoT), kecerdasan buatan (AI), analisis data besar, penggunaan robot, pencetak 3D dan teknologi perkomputeran awan adalah disruptive technology yang tidak dapat dielakkan.

Perubahan itu bukan sahaja akan dirasai oleh sektor perindustrian semata-mata kerana Malaysia juga merancang untuk memperkenalkan gagasan masyarakat sangat pintar, Society 5.0 yang menekankan kepada penggunaan teknologi sama dalam segenap aspek kehidupan masyarakat termasuk di kediaman.

Dalam pada itu, tumpuan juga akan diberikan bagi mendedahkan ilmu pengetahuan yang digelar sebagai disruptive knowledge yang mencabar budaya dan status quo dipegang oleh masyarakat.

Keyakinan bahawa bumi ini bulat dan mengelilingi matahari yang dipercayai ahli astronomi Itali, Galileo Galilei (1564-1642) adalah contoh ilmu sedemikian. Kerana pendirian yang bertentangan dengan pandangan rasmi gereja Roman Katolik, beliau telah dihukum penjara.

Apabila menulis mengenai disruptive knowledge, satu perkara yang tidak dapat dielakkan adalah menyentuh mengenai sains kerohanian yang dipelopori oleh ahli sains yang mahu membuktikan kewujudan Tuhan dan alam bukan fizikal menerusi kaedah penyelidikan sains.

Sains kerohanian adalah satu cabang kajian di Barat yang sebenarnya telah lama berjalan tetapi tidak dianggap dominan kerana rata-rata ahli sains di sana lebih memberi tumpuan kepada fizikal. Mereka menafikan kewujudan alam bukan fizikal.

Pendukung sains kerohanian berpandangan masyarakat tidak boleh maju jika teknologi dan ilmu hanya memberi tumpuan kepada pengamatan berbentuk fizikal.

Mungkin apa yang akan didedahkan dalam kolum ini bersifat kontroversi dan sukar diterima sesetengah pihak. Walaupun diyakini benar oleh ahli sains terbabit, maklumat itu tidak harus disebarkan jika masyarakat belum bersedia untuk menerimanya. Ada juga pihak yang menentang kerana maklumat yang didedahkan itu akan mengancam periuk nasi mereka.

Ungkapan yang cukup popular adalah seperti dalam filem A Few Good Men yang diterbitkan pada 1992 apabila peguam mahkamah tentera, Daniel Kaffee (dibintangi Tom Cruise) mendedahkan Kolonel Nathan R. Jessup (Jack Nicholson) menipu dalam kes kematian seorang anggota marin.

Apabila didesak oleh Kaffee supaya bercakap benar, Jessup menjerit “You can’t handle the truth!” atau jika diterjemahkan adalah kamu tidak mampu mengendalikan kebenaran.

Oleh itu, dalam memberikan ulasan, penulis akan menggunakan formula Rule of 10 Percent atau hanya memberi maklumat sebanyak 10 peratus.

Walaupun hanya 10 peratus maklumat yang didedahkan, jangan terkejut jika hidup anda selepas ini tidak lagi sama seperti dahulu. Selamat membaca.