Lelaki yang suka bising-bising, yang mengaku kononnya dia mempunyai girl friend keliling pinggang dan ramai peminat, orang seperti inilah yang sebenarnya paling setia atau mungkin juga takut pada isterinya?

Akak cun sudah biasa dengar statement macam ini. Cakap-cakap ini bukan saja keluar daripada mulut orang perempuan tetapi orang lelaki sendiri pun ramai yang mengakuinya.

Kadang-kadang bila bergurau dengan kawan-kawan di pejabat pasal kahwin lebih daripada seorang ini pun, yang paling suka komen ialah lelaki yang tergolong dalam ­kategori yang ‘nakal’, banyak cakap dan suka bergurau tahap melampau, tetapi biasanya mereka ini tak berani pun ada girl friend.

Sebabnya, akak cun tengok apabila isteri menelefon cepat-cepat dia siapkan kerja dan balik ke rumah. Kalau isteri dia tak bagi keluar rumah pada waktu malam, dia bagi macam-macam alasan pada kawan. Inilah yang di­katakan sembang saja lebih.

Kalau kita perhatikan di sekeliling yang berani kahwin sampai empat itu pun, bukanlah lelaki yang dicop play boy atau hensem setaraf Anuar Zain atau pemain kelab bola sepak Paris Saint Germain (PSG), Neymar tetapi muka ­biasa-biasa saja dan pendiam, tak berapa hendak bercakap dengan orang dan nampak pemalu.

Tetapi itulah dalam diam-diam dan ‘malu-malu ­biawak’ dia pasang macam-macam strategi. Tapi kalau dah jodoh, apa nak dikatakan ya tak?

Bukan masalah ini yang akak cun hendak cerita. Hensem atau tidak itu bukan jaminan perangai pun se­kacak orangnya. Bab poligami pula itu ketentuan Tuhan. Siapalah kita yang mahu mempersoalkan dan membangkang jodoh yang Tuhan sudah aturkan.

Yang akak cun hendak cakap, sikap suami selepas beristeri dua atau lebih daripada itu. Akak cun perhatikan, bila sudah berpoligami, ramai suami yang melebihkan isteri kedua atau isteri muda dan ada pula sanggup menceraikan isteri pertama.

Dalam keadaan ini yang kena tempiasnya tentulah isteri kedua. Sudahlah awal-awal lagi dikutuk dan digelar perampas suami orang, selepas berkahwin dituduh buruk perangai pula mahu menguasai semuanya, walhal isteri kedua tak suruh pun cerai isteri pertama tetapi itulah bila si suamilah bertindak keterlaluan, isteri kedua pula dapat nama busuk. Dicemuh orang.

Akak cun rasa, orang lelakilah yang memainkan pe­ranan penting di sini. Kalau mahu berpoligami, sudah jodoh, berlaku adillah. Janganlah bila sudah ada yang baharu, tiba-tiba timbul pula isu sudah tidak ada hati de­ngan isteri pertama, sudah hilang rasa sayang dan lain-lain pera­saan yang ada masa bercinta dulu. Semua hal buruk yang tak seberapa diungkit menenggelamkan banyak perkara baik yang dilakukan oleh isteri pertama.

Walhal ada sesetengahnya isteri pertama tidak buat perangai pun. Dialah orangnya yang dulu bersusah se­nang hidup bersama. Ada yang sudah elok-elok bekerja, sanggup berhenti kerana hendak menumpukan perhatian pada rumah tangga.

Fikirlah balik, masa bercinta dulu, bukan main lagi. ­Kalau minta ‘bintang’, ‘bintang’ pun dia kata boleh bawa turun dari langit. Tapi bila sudah lama kahwin, isteri minta ‘bintang’ terus kena ‘sembur’ dikata hilang akal.

Yang paling menyedihkan berlaku perceraian semasa anak-anak masih kecil. Sepatutnya bila sudah menjadi seorang bapa, keutamaan adalah pada anak-anak. Fokus pada keluarga. Sudah-sudahlah nak bercinta lagi. Dari zaman sekolah, masuk universiti (itu pun kalau pandai), bekerja, asyik bercinta saja. Tak cukup-cukup lagikah?

Eh, akak cun macam pernah baca saja kisah lelaki mahu cerai isteri pertama selepas berkahwin lagi seorang. Tapi di mana ya? Mungkin cerita ini sama tapi tak serupa. Bukan dia. Bukan.

Bila akak cun cakap lelaki ini mudah berubah hati, cepat jatuh cinta dan pantang nampak perempuan yang le­bih cantik, nanti ramai pula orang lelaki kecam akak cun. Kata akak cun cemburu tengok perempuan cantik. Tetapi hakikatnya begitulah perangai lelaki. Contoh ­paling dekat, lihat saja akaun media sosial lelaki di Facebook atau Instagram (IG).

Tak kiralah yang bujang atau sudah berkahwin anak lima. Kebanyakan penuh dia add friend, akaun ­perempuan-perempuan cantik tak kiralah dari Malaysia atau negara luar yang suka berselfie seksi untuk menarik ramai followers. Padahal kita memang kenal dia seorang lelaki yang tak tinggal solat dan akaun media sosialnya selalu post sunah-sunah Rasul tetapi bukan main lagi dia stalk gambar perempuan sebegini.

Yang paling dia suka, add friend yang IG private, supaya orang lain atau mungkin isterinya tidak nampak aktiviti dia like atau komen gambar-gambar seksi itu. Tak ada ­kerja lainkah orang lelaki? Lebih baik pergi tolong ­isteri lipat baju yang berbakul-bakul itu atau tolong sapu daun-daun kering depan rumah dapat juga meringankan kerja orang perempuan.

Cukup-cukuplah asyik ‘mengayat’ perempuan di media sosial, ‘hai sana, hai sini’. Cukup-cukuplah mengadu masalah rumah tangga kepada perempuan lain, walhal sebenarnya tiada masalah pun. Okay saja. Sajalah nak tarik simpati dan perhatian. Cukuplah beristeri seorang saja kalau, ini akak cun tekankan ‘kalau’ ya ... tak boleh kasi keluarga cukup makan dan cukup pakai. Cukuplah!