Sementelah lagi kalau premis tersebut menjadi tempat lepak menonton siaran langsung bola sepak pada malam minggu, asap bertali arus naik ke udara, tidak ubah seperti kemenyan dibakar. Setiap pelanggan yang menjamu selera di situ terpaksa menghidu dan menyedut asap rokok yang berkepul-kepul muncul dari semua arah, meja sebelah depan, tepi atau belakang.

Suasana dan pemandangan seumpama ini bagaimanapun akan berubah menjelang Disember ini apabila Kementerian Kesihatan bercadang memperluaskan kawasan larangan merokok terma­suk restoran terbuka. Sebelum ini di bawah Peraturan 11, Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2017, terdapat 23 tempat yang diwartakan sebagai kawasan larangan merokok.

Antaranya pusat hiburan, teater (kecuali pub, disko, kelab malam dan kasino), dalam lif atau tandas awam, tempat makan berhawa dingin, dalam kenderaan awam atau hentian awam, lapangan terbang, kawasan premis kerajaan dan kawasan yang digunakan untuk apa-apa aktiviti perhimpunan.

Inisiatif Kementerian Kesihatan ini adalah satu pengumuman yang sangat ditunggu-tunggu oleh orang ramai yang tidak merokok atau digelar perokok pasif. Perokok pasif ialah mereka yang menghidu atau menyedut asap rokok daripada perokok aktif.

Sudah lama kumpulan ini ‘menderita’ menelan asap daripada rokok, vape dan shisha ketika makan di restoran-restoran se­perti itu. Mereka tidak boleh berbuat apa-apa. Hak mereka untuk menjamu selera dalam persekitaran bebas pencemaran udara te­lah lama dinafikan. Perokok hanya memikirkan hak mereka sebagai perokok sahaja.

Jika ditegur si perokok ter­utama budak-budak muda, silap-silap boleh berkelahi. Jika diadu kepada tauke restoran atau kedai makan pun, tidak banyak yang boleh dilakukan. Sebagai orang berniaga, mereka sekadar boleh senyum sahaja kerana tidak sanggup kehilangan pelanggan.

Mengenali tabiat si perokok juga, jika berkumpul, mereka tak akan beransur selagi tidak habis sekotak rokok. Mahu tak mahu, hadap dan hadam sahajalah.

Peraturan ini mungkin tidak begitu menyeronokkan bagi kebanyakan pengusaha kedai makan atau restoran. Bila diumumkan dua tiga hari lalu, sudah ada keluhan dan rungutan kedengaran. Mereka mendakwa hampir 70 peratus pelanggan adalah pe­rokok.

Sejauh mana kebenaran dakwaan bahawa majoriti pelanggan mereka adalah perokok tidak dapat dipastikan. Yang jelasnya, jika semua restoran sudah diisytiharkan sebagai kawasan bebas rokok nanti, mahu tidak mahu pelanggan akan bertandang juga untuk makan. Mereka tidak ada pilihan lain.

Larangan sedemikian sebenarnya telah lama diguna pakai di negara-negara luar dan terbukti tidak menjejaskan perniagaan. Malah pelanggan merasa lebih selesa berkunjung ke premis bebas merokok.

Kalaupun mahu merokok, keluar sahaja dari premis tersebut dan carilah tempat yang sesuai untuk merokok. Di negara-negara Barat, si perokok sanggup keluar daripada restoran atau kedai makan pada musim sejuk semata-mata mahu merokok. Tidak ada tempat khas merokok disediakan.

Cuma persoalannya bagai­manakah mahu memastikan setiap restoran terbuka ini benar-benar bebas merokok setelah peraturan itu dikuatkuasakan? Tidak ada guna satu sen pun jika sekadar ada peraturan tetapi tiada penguatkuasaan.

Inilah situasi yang sedang berlaku sekarang. Masih ramai yang berani merokok secara terbuka di kawasan-kawasan yang diwartakan sebagai tempat larangan merokok seperti kawasan pejabat kerajaan, kawasan rehat dan rawat, tandas awam, lapangan terbang, sekolah, hospital serta tempat awam lain.

Lebih menarik lagi walaupun merokok sudah difatwakan sebagai haram, masih ramai yang secara terang-terangan tergamak merokok di kawasan masjid tanpa rasa berdosa sedikitpun! Bukan itu sahaja, di kawasan berisiko tinggi seperti stesen minyak pun masih ada yang merokok secara terbuka tanpa memikirkan perbuatan itu boleh membahayakan nyawa orang lain.

Si perokok menjadi begitu berani kerana tidak ada penguatkuasaan. Dulu ada juga berita pasukan penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendenda pesalah merokok di beberapa kawasan pusat beli-belah. Itu lama dulu, sekarang ada lagikah?

Dengan kata lain, hanya ada peraturan bertulis sahaja, penguatkuasaan jarang berlaku. Da­lam hal ini Kementerian Kesihatan wajar memikirkan mekanisme dan pendekatan terbaik demi memastikan penguatkuasaan peraturan ini mencapai matlamat.

Salah satu cara ialah mengadakan kerjasama bersepadu de­ngan kementerian, jabatan dan agensi penguatkuasaan lain serta pihak berkuasa tempatan (PBT). Pada masa yang sama pengusaha restoran terlibat juga perlu tegas melarang sama sekali aktiviti merokok dalam kawasan premis mereka. Bukan apa, mereka sendiri boleh disaman atau dikompaun jika bersikap sambil lewa atau acuh tidak acuh terhadap peraturan ini.

Dengan jumlah kematian akibat penyakit berkaitan asap rokok meningkat setiap tahun selain kerugian besar kepada ekonomi keluarga dan negara, kerajaan tidak boleh lagi berkompromi mahupun bersimpati dengan perokok. Walaupun masih ada sedikit sangsi sama ada langkah mewartakan lebih banyak kawasan bebas asap rokok akan berjaya, penulis percaya kesungguhan dan keazaman politik setiap pihak boleh membantu usaha ini.