MOHD. NOOR ABDULLAH

Saya memohon maaf kepada pembaca setia saya yang bertanyakan ke mana perginya tulisan ini. Saya hanya sekadar berkata “berehat seketika...”

ADA juga yang membuat pelbagai spekulasi dan andaian. Itu semua tak betul. Namun, sebagai penulis apatah lagi sebagai seorang wartawan yang lama, saya mengakui kita lain daripada lain.

Kita memasuki ke alam dunia pekerjaan ini bukan untuk suka-suka, atau sekadar mencari makan yang tak seberapa, tetapi mempunyai satu bentuk pemikiran dan aliran falsafah yang tersendiri.

Tugas ini memerlukan satu pembentukan pemikiran dan semangat yang kental. Dalam situasi politik dan negara sekarang, peranan media sepatutnya dihormati, bukan ditakuti atau dicemuh.

Ia adalah pencetus kepada pelbagai masa depan yang baharu, sama ada yang kita suka atau tidak. Tugas saya bukan sekadar pencatat tetapi pelopor pemikiran - yang disukai atau tidak.

Peranan media arus perdana mahu pun media baharu, ternyata cukup berbisa.

Benarlah kata-kata sarjana, medialah yang mengangkat seseorang pemimpin itu dan juga boleh menurunkan sesiapa sahaja. Kuasa penanya lebih tajam daripada mata pedang.

Dalam dunia hari ini ia boleh menerjah ke seluruh pelosok alam dengan sekelip mata -- hanya melalui satu tekan di hujung jari telefon pintar ini. Teruslah mengikuti tulisan ini menerusi akhbar ini atau melalui versi portal: cuitzainihassan.wordpress.com.

Selagi hayat dikandung badan, selagi kalam Utusan ini terus berdiri teguh, insya-Allah Cuit akan mencuit. Maaf, Zahir dan Batin. Selamat Hari Raya Aidilfitri 2015.

YANG ARIF MOHD. NOOR DAN 
PERISTIWA 13 JULAI LOW YAT

PAGI-PAGI semalam saya mene­rima panggilan daripada seorang sahabat saya. “Lama kita tak jumpa ya. Ada lima tahun?” katanya lembut dalam loghat pekat Negeri Sembilan.

Mendengarkan suaranya dan namanya di skrin telefon, saya menyampuk “apa khabar Yang Arif Datuk.” Dia menjawab “Alhamdullah masih ingat lagi kat saya.”

Saya kata lagi “akhir sekali kita jumpa tahun lepas.” Ternyata masa berlalu terlalu pantas.

Yang Arif Datuk Mohd. Noor Abdullah ialah bekas Hakim Mahkamah Rayuan yang banyak saya terima nasihat. Sebagai bekas hakim beliau ialah pendokong Perlembagaan Negara, yang semakin dipinggirkan oleh rakyat negara ini.

Tanyalah sesiapa pun waima anak-anak kita sekali pun mengenai asas hak-haknya sebagai warganegara tanah air ini, mereka akan terkapa-kapa.

Sistem pendidikan kita semakin menjauhkan mereka kepada asas kenegaraan itu.

“Saya masih melihat sistem pendidikan kita akan terus menjurangkan kita semua. Apa yang berlaku di Plaza Low Yat sudah terbukti. Ia mungkin kecil hari ini tetapi gelombangnya boleh membesar kelak,” kata Yang Arif Mohd. Noor.

Bagi saya peluang membuat satu kenyataan akhbar. Saya mahu bercakap mengenai Perlembagaan dan sistem persekolahan kita.

Sejak beberapa tahun ini, Yang Arif menjadi pejuang kepada asas-asas kenegaraan ini. Beliau terlibat dalam banyak forum dan perbincangan awam. Sistem sekolah satu aliran menjadi perjuangannya.

“Saya tidak mahu melihat peristiwa 13 Julai Low Yat itu berlaku lagi. Tetapi selama ini saya dicap sebagai rasis apabila membangkitkan soal itu.”

Sebagai bekas anggota badan pengadilan, beliau tahu apa yang diperkatakannya. Beliau sanggup mencemar dirinya yang arif demi kebenaran perjuangannya. Saya juga cukup sebati dengan falsafah perjuangannya. Sebagai wartawan itulah juga perjuangan saya.

Beliau dan saya pernah sama-sama digelar rasis atau perkauman dan ultra Melayu hanya kerana mahu mencari satu titik-tolak kepada kesejahteraan negara tercinta ini.

Kami bukan mahu mencari sesuatu yang mutlak, tetapi sekadar satu asas tolak-ansur untuk faedah anak cucu kita semua kelak.

Yang nyata, kita tidak boleh lagi melihat pemisahan tiga kaum ini yang jurang ekonomi dan penguasaan perniagaannya semakin meluas. Kita tidak boleh lagi kelihatan mana-mana kaum merasa terlalu hebat dan memandang rendah kaum yang lain.

Kita tidak mahu melihat kaum di negara kita ini memperlekehkan bahasa kebangsaan negaranya sendiri. Oleh itu yang pasti, Malaysia tidak boleh lagi mempunyai tiga ideologi insan yang diasuh oleh kepelbagaian pendidikan dominan yang berbeza. Melayu-Melayu, Cina-Cina dan India-India.

Jika anda kononnya perjuangkan sikap sama rata, sama ratakan dahulu pendidikan kita. Terimalah kenyataan. Itulah hakikat.

Elakkan angka 13 itu lagi.