Oleh kerana cuaca ekstrem biasanya dikaitkan dengan fenomena cuaca yang mempunyai intensiti yang tinggi atau tempoh berlaku yang panjang, maka seringlah mendatangkan impak serius.

Contohnya, peristiwa hujan lebat yang berlaku di Kelantan dan Terengganu pada Disember 2014 menyebabkan banjir besar.

FREDOLIN TANGANG
FREDOLIN TANGANG 

Cuaca kering dan kemarau semasa fenomena El Nino pada 2015 pula menyebabkan keadaan cukup kering dan kebakaran hutan besar.

Kejadian cuaca ekstrem sebahagian daripada sistem iklim dunia yang mempunyai ciri-ciri keragaman pada pelbagai skala masa.

Misalnya, hujan lebat di Pantai Timur pada musim monsun barat daya disebabkan tiupan angin luluran sejuk dari Siberia yang merentasi Laut China Selatan dan membawa lembapan yang banyak ke kawasan Malaysia terutama negeri-negeri Pantai Timur.

Bagaimanapun ada faktor lain yang boleh menyumbang dan meningkatkan tempoh hujan lebat ini, misalnya kesan tindanan Ayunan Madden-Julian dan Pusaran Borneo.

Bagaimanapun perubahan iklim yang dikaitkan dengan aktiviti-aktiviti manusia yang meningkatkan kepekatan gas-gas rumah hijau di atmosfera dikatakan telah merubah pola cuaca ekstrem dari segi kekerapan dan juga tempoh masa berlakunya sesuatu fenomena cuaca ekstrem tersebut.

“Semua ini berkait dengan peningkatan jumlah haba dalam sistem iklim dunia. Setiap satu darjah Celsius peningkatan suhu dunia akan meningkatkan tujuh peratus jumlah kandungan kelembapan dalam udara.

“Kelembapan yang tinggi akan menjadikan cuaca ekstrem lebih kerap, lebih kuat dan lebih panjang durasinya,” kata Pengerusi Pusat Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Fredolin Tangang.

Beliau memberitahu, sebarang fenomena cuaca ekstrem sukar diramal dengan ketepatan masa dan lokasi misalnya pada tempoh seminggu lebih awal.

Ini kerana katanya, ia berkait dengan dinamik cuaca itu sendiri yang bersifat tidak linear.

Sehubungan itu, kata beliau, orang ramai dan masyarakat berperanan dalam mengurangkan pembebasan gas-gas rumah hijau dan mengurangkan jejak karbon masing-masing.

“Jika ini dipraktikkan, bukannya mengurangkan bil bayaran elektrik tetapi juga mengurangkan pembebasan gas-gas rumah hijau dalam penjanaan tenaga.

“Di kawasan bandar yang mempunyai akses kepada pengangkutan awam yang efisien, penggunaan pengangkutan awam mestilah diutamakan,” katanya.

Penanaman pokok-pokok di rumah membantu menyerap karbon dioksida yang ada di atmosfera, tambahnya, selain orang ramai mengubah gaya hidup mereka ke arah lebih mampan.

Bukan hanya orang ramai dan masyarakat, beliau menjelaskan, pihak kerajaan dan sektor swasta turut perlu lebih aktif ke arah itu.

Penjanaan tenaga menggunakan sumber tenaga yang boleh diperbaharui dan secara gradual ujarnya, mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.