Kesimpulan mudah yang dapat dibuat dengan kemerosoton ini adalah pasti ada sesuatu yang tidak kena dengan segala usaha dan dasar membanteras gejala rasuah terutama sekali yang di­terajui oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

CPI yang dikeluarkan oleh pertubuhan Transparency Inter­national (TI) setiap tahun ber­mula 1995 bertujuan untuk me­ng­ukur tahap persepsi rasuah dalam kalangan kerajaan dan juga penjawat awam. TI juga se­ring memberi penekanan bahawa CPI hanya bersandarkan persepsi dan tidak semestinya menggambarkan senario sebenar keadaan rasuah sesebuah negara kerana bimbang akan timbul salah faham ketika membuat kesimpulan mengenai CPI sesebuah negara.

Tetapi paling kritikal TI juga menegaskan indeks tersebut di­peroleh bukan dari tinjauan pen­­dapat yang mereka lakukan tetapi diperoleh dari hasil tinjauan organisasi lain. CPI 2017 menyaksikan TI mengguna pakai tinjauan yang dilaksanakan oleh 13 orga­nisasi berlainan dan setiap 180 negara mempunyai gabungan data yang berlainan.

Bagi Malaysia umpamanya data dari organisasi seperti Global Insights, Institut Pembangunan Pengurusan (IMD), Forum Ekonomi Dunia (WEF) dan juga Bertelsmann Stiftung yang berpangkalan di Gutersloh, Jerman telah digunakan.

Perlu ditekankan juga tinjauan yang dilakukan oleh organisasi tersebut kebanyakannya tidak berkait secara langsung dengan ungkapan rasuah tetapi lebih menjurus kepada faktor tadbir urus sebuah kerajaan.

Umpamanya data Bertelsmann Stiftung yang digunakan oleh TI berkait dengan proses transformasi yang berlaku dalam sebuah negara dan dikaitkan dengan tadbir urus kerajaan dan ­proses demokrasi negara tersebut. Dalam hal ini, hanya dua soalan sahaja yang berkait secara langsung dengan ungkapan rasuah. Malaysia berada di tangga 48 dari sejumlah 129 negara yang ditinjau organisasi ini dan perlu ditekankan tinjauan ini hanya melibatkan negara membangun dan yang sedang membangun.

TI pula mengguna pakai data WEF yang membuat tinjauan terhadap seramai 12,775 eksekutif perniagaan dari 133 negara me­ngenai pengalaman mereka semasa berurusan dengan kerajaan dan penjawat awam dalam urusan perniagaan. Dari 150 soalan yang dikemukakan, hanya satu soalan sahaja yang berkait secara langsung dengan faktor rasuah.

Sebab itu, apabila Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ah­mad meluahkan rasa terkejut yang menjurus kepada kekeliruan terhadap kedudukan Malaysia dalam CPI 2017, ia menggambarkan bahawa indeks tersebut tidak menggambarkan senario sebenar gejala rasuah yang berlaku di Malaysia walaupun TI berkali-kali memberi penekanan bahawa CPI hanyalah persepsi semata-mata.

Masalahnya adalah walaupun dalam akronim CPI itu terkan­dung ungkapan persepsi tetapi ia juga mengandungi ungkapan rasuah. Dari 13 tinjauan organi­sasi berlainan yang telah digunakan oleh TI untuk membentuk CPI 2017, tidak keterlaluan jika diandaikan hanya 10 peratus dari soalan yang diutarakan berkait secara langsung dengan unsur rasuah.

Sebab itu juga negara Eropah terutama sekali di barat dan utara dan begitu juga Amerika Utara iaitu negara mempunyai status maju akan sentiasa berada dalam kedudukan yang terbaik dalam setiap CPI kerana bentuk soalan yang digunakan memberi kelebihan kepada mereka berbanding dengan negara membangun dan sedang membangun seperti di benua Afrika atau timur Eropah.

Tidak menghairankan kelompok atas CPI dikuasai oleh negara seperti Denmark, Finland, Norway dan Switzerland. Sementara itu Iraq, Venezuela, Syria, Korea Utara dan Sudan berada dalam negara kelompok bawah kerana keadaan negara tersebut yang sedang bergolak.

Ini bukan membawa makna kita tidak mempedulikan ke­dudukan Malaysia dalam CPI ke­rana mahu tidak mahu indeks ini sedikit sebanyak digunakan oleh pelabur asing umpamanya dalam membuat keputusan pelaburan. Ji­ka hanya CPI digunakan sebagai panduan, maka sudah pasti kedudukan Malaysia di arena antarabangsa adalah tidak baik walaupun gambaran sebenar ada­lah jauh berbeza dengan apa yang cuba ditonjolkan oleh angka dalam CPI tersebut.

Untuk mengharapkan TI me­ngubah atau memperbaiki cara mereka membangunkan CPI adalah sukar kerana itu di luar bidang kuasa pihak yang berkaitan di Malaysia. Walaupun kaedah yang digunakan oleh TI diakui mempunyai banyak kelemahan tetapi hakikatnya adalah pengaruh dan persepsi yang terbit dari CPI adalah begitu menonjol sekali.

Sebab itu dihujahkan juga bahawa sudah agak pasti isu kedudukan Malaysia dalam CPI 2017 akan digunakan sebagai bahan kempen pilihan raya umum (PRU) tidak lama lagi. Begitu agak mudah jika hendak dimanipulasi tahap senario gejala rasuah di Malaysia jika dikaitkan dengan CPI kerana asasnya TI adalah sebuah organisasi yang dihormati masyarakat antarabangsa.

Walaupun Malaysia mencatat pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2017 sebanyak 5.9 peratus namun bagi mereka yang ingin meraih manfaat politik menjelang PRU nanti, data CPI agak mudah boleh dimanipulasi dengan mendakwa ada sesuatu yang tidak kena dengan asas ekonomi Malaysia.

Agak pasti juga kumpulan ini akan menggunakan contoh Cuba yang memperoleh markah CPI yang sama dengan Malaysia de­ngan pertumbuhan KDNK 2017 hanyalah sekitar 2.0 peratus sahaja. Rakyat Malaysia perlu bersedia awal dalam menghadapi kempen persepsi terutama sekali apabila statistik dan data dari organisasi antarabangsa digunakan.