Pendirian itu yang diumumkan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir perlu dicontohi BN di negeri-negeri lain ­kerana ia akan memastikan parti tersebut tidak ditolak rakyat dalam pilihan raya umum akan datang.

Sudah pastilah sama ada suka atau tidak, kita perlu mengakui masalah mahu bertanding walaupun sudah kalah dua kali atau menang tetapi tidak buat kerja adalah ‘penyakit’ yang sudah lama melumuri pemimpin-­pe­mimpin UMNO khususnya di ­peringkat bahagian.

Walaupun ada antara mereka sudah jelas tidak lagi mendapat sokongan rakyat melalui isyarat yang dihantar dalam pilihan raya tetapi oleh kerana mempunyai jawatan di peringkat bahagian maka mereka berpendapat `mesti dipilih sebagai calon’.

Jika pucuk pimpinan parti membuat keputusan memilih orang lain sebagai calon, ketua-ketua bahagian ini akan melakukan perbuatan sabotaj untuk memastikan calon tersebut kalah.

Mereka sengaja melakukan ‘pengkhianatan’ itu walaupun memahami yang akan kalah bukan calon berkenaan atas kapasiti peribadi tetapi parti.

Namun bagi puak-puak yang kononnya berjuang untuk parti tetapi sebenarnya lebih memen­tingkan politik peribadi mereka tidak peduli itu semua, apa yang penting ‘kalau aku tak dapat, orang lain pun tak dapat’.

Keadaan itu berlaku kerana sesetengah ketua bahagian melihat kemunculan calon lain untuk bertanding adalah ancaman kepada kedudukan politiknya.

Inilah ‘penyakit’ politik yang masih ada dalam UMNO. Walaupun di hadapan pucuk pimpinan mereka berikrar dan berjanji akan menyokong sesiapa sahaja diputuskan sebagai calon, tetapi percayalah ia hanyalah mainan lidah semata-mata.

Beberapa keputusan dalam pilihan raya lalu sudah menjadi bukti, ada ketua bahagian UMNO, kalau boleh mahu bertanding selagi tidak dijemput Allah SWT ke liang lahad. Sepatutnya mereka bermuhasabah dan belajar untuk menerima erti memberi laluan kepada calon lebih berwibawa.

Begitu juga dengan sesete­ngah wakil rakyat UMNO termasuk di Perak yang menang tetapi tidak berkhidmat kepada rakyat sehingga sudah ada riak-riak mereka akan kalah kalau dipilih bertanding lagi.

Tetapi apa yang anehnya apabila ada pemimpin-pemimpin Pemuda atau calon berpotensi turun padang melakukan khidmat bakti kepada rakyat, mereka bagaikan ‘cacing kepanasan’.

Mereka melihat apa yang dilakukan oleh individu tersebut sebagai satu ancaman politik bukannya demi kepentingan parti. Justeru mulalah mereka menjalankan ge­rakan-gerakan untuk melemahkan bakal calon berkenaan.

Apa yang penulis katakan ini bukanlah satu tohmahan tetapi realiti. Ini sudah berlaku di ba­nyak negeri termasuklah di Pe­rak. Kelompok yang tidak tahu bermuhasabah ini, tidak ­meletakkan parti sebagai keutamaan, sebaliknya lebih memikirkan apa akan jadi kepada karier politiknya jika ada orang lain menjadi calon.

Walaupun sudah beberapa kali UMNO menyatakan bahawa menjadi ketua bahagian bukan bermakna automatik menjadi calon, tetapi di sesetengah negeri ia sukar dilaksanakan kerana ‘pera­ngai buruk’ ketua bahagian.

Bagaimanapun kali ini, UMNO dan BN perlu tegas. Apa yang akan dilaksanakan oleh Zambry di Perak perlu diikuti oleh negeri-negeri lain jika parti itu ber­hasrat untuk mencatatkan kejayaan cemerlang dalam pilihan raya umum akan datang.

Dengan senario politik semasa, pucuk pimpinan tidak boleh lagi bersimpati dengan mana-mana ketua bahagian yang sah-sah bak kata orang sebut nama pun sudah kalah.

Pilihan raya bukanlah platform untuk mana-mana ketua bahagian diberi peluang bergelar ‘Yang Berhormat’ tetapi bagi memastikan BN terus berkuasa.

Apa yang perlu diberi ke­utamaan selain kemenangan parti adalah kehendak rakyat. Kalau awal-awal lagi mereka sudah memberi isyarat akan menolak individu-individu tertentu jika dicalonkan, maka perlu ada keberanian pucuk pimpinan parti di peringkat ­negeri untuk membuat keputusan. Janganlah kerana mahu menjaga hati atau bimbang berlaku tindak balas maka mereka sanggup menggadaikan peluang BN sehingga akhirnya parti itu tewas dalam pilihan raya.

Dalam menyenaraikan calon, apa yang penting adalah kemenangan parti bukannya mahu menjaga hati mana-mana ketua bahagian. Kalau betul mereka masuk politik demi berkhidmat kepada parti, maka mereka perlu bersedia menghormati apa juga keputusan parti, bukannya mengkhianati parti.