Dua insiden itulah yang menjadi antara elemen penting Kajian Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) di kawasan sempadan termasuk di Padang Besar, Perlis selama beberapa bulan lalu.

Mana mungkin puluhan guni daun ketum yang dibawa tidak boleh dilihat pasukan penguat kuasa yang berkawal di pos-pos kawalan. Mustahil pula penyeludup menggunakan ‘laluan tikus’ kerana muatan yang dibawa itu terlalu besar, apatah lagi jika ia diangkut dari ‘ladang-ladang’ di Kedah.

Difahamkan, daun-daun ketum terpaksa dibawa masuk dari negeri jiran itu kerana Perlis tidak mampu menampung permintaan yang begitu hebat dari Thailand. Penyeludup pula memilih untuk menyeludup keluar ke negara jiran tersebut menggunakan Padang Besar dan bukannya sempadan di Kedah disebabkan keadaan fizikal di situ yang lebih mudah.

Kedua-dua penemuan ber­kenaan sekali gus merumuskan bahawa isu integriti membabitkan pasukan penguat kuasa di sempadan negara yang masih perlu diberi perhatian. Ironinya, bukanlah tiada mana-mana agensi yang tidak pernah memantau atau mengambil tindakan dalam isu berkenaan.

Contohnya, Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang pernah menahan berbelas-belas anggota penguat kuasa di sempadan pada 2015. Begitu juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sering kali membuat pertukaran sebilangan anggotanya di sempadan, malah ada antaranya yang dibuang.

Bukan sahaja terhadap anggota dalamannya, PDRM turut mengambil tindakan agresif menahan anggota kumpulan penyeludup ketum di Padang Besar Mei lalu.

Melalui Op Bersepadu melibatkan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman, tiga kumpulan utama penyeludup ketum dilumpuhkan dan beberapa orang turut didakwa di mahkamah. Itu pun bukanlah sesuatu yang mudah kerana perancangan teliti terpaksa dilakukan pihak atasan lantaran beberapa siri operasi gagal kerana kebocoran maklumat.

Begitulah situasi terpaksa dihadapi PDRM bagi berhadapan dengan kumpulan penyeludup ketum yang ada kalanya lebih sukar kerana perlu berhadapan dengan orang dalaman sendiri.

Walau bagaimanapun situasi di situ menjadi berbeza apabila pasukan Orang Asli, Senoi Praaq datang dan ditugaskan mengawal sempadan selama sebulan, bermula April lalu.

Berdasarkan maklumat, dikatakan pada ketika itu kegiatan di kawasan sempadan di negeri ini tiba-tiba menjadi senyap sunyi selama sebulan. Tiada yang berani melakukan aktiviti penyeludupan secara sembunyi. apatah lagi terang-terangan.

Perkara itu bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana pasukan Orang Asli ini sememangnya diketahui memiliki tahap integriti yang tinggi. Inilah yang patut dicontohi kerana meskipun sebahagian besarnya bukanlah beragama Islam tetapi mereka mempunyai jati diri yang teguh.

Jati diri yang seperti itulah walaupun ditawarkan habuan yang lumayan sekali pun oleh penyeludup, mereka mampu menolaknya. Berkemungkinan kita boleh mempelajari cara Senoi Praaq bekerja yang begitu ter­kenal dengan kejujuran dan integriti mereka.