Ya, mana-mana bekas pemimpin UMNO yang diterima memasuki Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak boleh memegang sebarang jawatan sehingga Pilihan Raya Umum Ke-15.

Baguslah. Kita tabik pendirian Bersatu ini seperti mana ditegaskan oleh Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam ucapan dasar perhimpunan agung kedua parti itu di Putrajaya Sabtu lepas.

Itulah dos terbaik untuk menguji kesetiaan dalam arus gelojak politik Malaysia Baharu meskipun bila mana kamu sudah lompat parti, ‘kesetiaan’ itu hakikatnya sudah melayang - politik korup.

Demikianlah konflik politik Melayu terjadi disebabkan soal kuasa. Ia barangkali banyak berkisar senario politik di Malaysia yang lebih bersifat menyerang atau menjatuhkan seseorang untuk memastikan kedudukan terpelihara.

Begitupun sehingga kini politik Melayu masih menjadi sendi dan tiang seri kepada politik negara.

Cuma nak pegang ketat-ketat pepatah ‘terapung sama hanyut, terendam sama basah’ kepada parti yang pernah meletakkan seseorang ke puncak kuasa bukannya semudah kata-kata.

Bercakap pasal kesetiaan, teringat Tumpang kepada mendiang Karpal Singh yang pernah suatu ketika serentak menjadi sahabat dan lawan Tumpang dalam satu kes di mahkamah.

Bagi Tumpang, mendiang (yang meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya pada 2014) adalah demokrat tulen yang meletakkan Perlembagaan sebagai dokumen paling tinggi dalam politik negara ini. Apa sahaja yang bercanggah dengan Perlembagaan akan dilawannya.

Dan bila mendengar ada saja ahli politik lompat parti akan berdesinglah telinga Karpal. Ini sehinggakan Lim Guan Eng pun disergahnya.

Apabila Guan Eng pada 2009 yang semasa itu masih Setiausaha Agung DAP mengalu-alukan penyertaan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bota, Datuk Nasarudin Hashim ke dalam Parti Keadilan Rakyat (sebelum kembali semula menyertai UMNO), Karpal pantas menyanggahnya.

Karpal, prinsipnya jangan buat main. Lompat parti bagi mendiang, merosakkan demokrasi kerana suatu pengkhianatan terhadap rakyat. Ini sehingga mendorong Karpal cuba memperjuangkan penggubalan undang-undang anti-lompat parti atau kod etika untuk ahli politik - bagi memastikan wakil rakyat yang keluar parti mengosongkan kerusi yang dimenangi.

Namun, keputusan Mahkamah Agung 26 tahun lalu menyebabkan parti-parti politik (sehingga sekarang pun) sukar memaksa wakil rakyat mereka mengosongkan kerusi jika memilih meninggalkan parti.

Dalam kes pada 1992 menyaksikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan lawan bekas wakil rakyat Pas, Nordin Salleh, Mahkamah Agung membatalkan peruntukan Perlembagaan Kelantan yang mewajibkan pilihan raya kecil sekiranya seseorang ADUN meninggalkan parti.

Faktor kesetiaan masih menjadi cabaran dalam politik Malaysia.

Bagaimanapun semua pihak harus akur amalan dan praktis parti-parti politik tidak sama. Pernah ada parti sanggup mensyaratkan baiah atau sumpah taat setia cerai talak tiga ke atas wakil rakyatnya yang keluar parti.

Apa pun, keperluan untuk mendapatkan sokongan dua pertiga di Parlimen bagi meminda perlembagaan mengekang gejala lompat parti masih menjadi penghalang utama.

Dengan 119 ahli Parlimen, kerajaan Pakatan Harapan tidak mempunyai suara dua pertiga di Dewan Rakyat. Jika sokongan daripada sekutunya dari Sabah diambil kira, ia masih memerlukan kira-kira 20 sokongan lagi sebelum dapat membuat pindaan perlembagaan

Dan walaupun Pulau Pinang mempunyai undang-undang mencegah lompat parti yang digubal oleh DUN pada 2012, namun ia bercanggah dengan perlembagaan.

Pada masa ini Perlembagaan Persekutuan membenarkan hak untuk berpersatuan - yang membolehkan ahli politik berpindah kepada parti yang mereka sukai.