Apabila tuntutan yang dianggap tidak logik itu dicabar oleh Taiwan, Filipina, Vietnam, Brunei dan juga Malaysia, Beijing bertindak menggunakan kekuatan ketenteraan dan ekonomi yang di miliki sehingga memaksa Kuala Lumpur bertindak secara pintar menghadapi percaturan terutama sekali apabila Amerika Syarikat (AS) turut campur tangan.

Tetapi kadang kala perlakuan Beijing dalam mempertahankan hak mereka perlu dicontohi dan diambil iktibar kerana pada prinsipnya kedaulatan yang dicabar perlu dipertahankan dengan apa jua sekali pun.

Ketika pertemuan di antara Presiden Donald J. Trump dan Presiden Xi Jinping di persidangan Kumpulan G20 di Hamburg, Jerman beberapa hari lalu, White House telah mengeluarkan kenyataan tetapi tersilap menggunakan nama China sebagai ‘Republic of China’ iaitu gelaran rasmi untuk Taiwan. Gelaran rasmi China yang sepatutnya digunakan adalah “Peoples Republic of China”.

Kealpaan tersebut walaupun dianggap remeh dan besar kemungkinan berlaku kerana sikap kurang teliti pegawai White House telah mengundang kemarahan Beijing kerana Taiwan dianggap oleh China sebagai sebahagian wilayah mereka atau pun lebih dikenali sebagai Dasar Satu China. Perlu juga ditekankan senario ini berlaku selepas dua minggu Trump meluluskan penjualan kelengkapan senjata canggih kepada Taiwan yang menelan belanja AS$1.4 bilion yang kurang disenangi Beijng.

Tetapi satu perkara paling menarik adalah bagaimana Beijing mempertahankan hak kedaulatan mereka mentadbir Hong Kong yang mempunyai status wilayah pentadbiran istimewa (SAR) China. Status ini sedikit sebanyak memberi jaminan autonomi Hong Kong apabila wilayah tersebut di serahkan kepada China oleh Britain pada 1997.

Deklarasi di antara China dan Britain yang dimeterai pada 1984 yang membuka laluan penyerahan Hong Kong kepada China antara lain menjamin wilayah tersebut bebas dari pengaruh Beijing terutama sekali mengenai kebebasan bersuara yang di miliki Hong Kong selama ini setidak-tidaknya sehingga 2047.

Isu hak China terhadap kedaulatan Hong Kong tercetus beberapa hari sebelum Jinping ­melakukan lawatan rasmi ke Hong Kong bagi meraikan ulang tahun ke-20 penyerahan wilayah tersebut. Menteri Luar Britain, Boris Jonhnson telah mengeluarkan kenyataan mempersoalkan kebebasan Hong Kong dalam melaksanakan demokrasi akibat campur tangan Beijing. Malah bukan sahaja Britain yang mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa tetapi Jabatan Negara AS juga melakukan perkara sama.

Beijing menanggap kenyataan dari Britain dan AS sebagai campur tangan hal ehwal dalaman China kerana menurut Beijing walaupun Hong Kong dianggap SAR, tetapi hakikatnya adalah sudah menjadi milik China. Sebab itu, kenyataan dari kedua-dua kuasa besar itu dianggap Beijing sebagai cabaran terhadap kedaulatan China.

Jurucakap Kementerian Luar China sebagai membalas kenyataan Johnson dan Jabatan Negara AS antara lain cuba menegaskan deklarasi persetujuan bersama China dan Britain pada 1984 dianggap sebagai dokumen sejarah dan tidak boleh diguna pakai lagi. Begitulah caranya China mempertahankan hak kedaulatan mereka apabila di cabar.

Tidak dapat dinafikan selama ini keselamatan dalaman Hong Kong diurus oleh pihak berkuasa polis (HKPF) yang asalnya ditubuhkan oleh British dan sehingga kini pengaruh penjajah terhadap HKPF masih tetap ada. Kehadiran anggota tentera dari China iaitu PLA sengaja tidak dihebohkan untuk elak persepsi Beijing cuba campur tangan hal ehwal dalaman Hong Kong melalui PLA.

Tetapi buat pertama kalinya dalam sejarah PLA, kapal pengangkut jet pejuang Liaoning telah membuat persinggahan di Hong Kong. Memang benar ia adalah sebahagian dari sambutan ulang tahun ke-20 SAR tetapi kehadiran Liaoning sebenarnya untuk menempelak cubaan campur tangan Britain dan AS.

Isyaratnya adalah China tidak akan teragak-agak menggunakan kekuatan tentera demi mempertahankan kedaulatan mereka dan ini termasuk Hong Kong.

Liaoning tidak berlabuh bersendirian tetapi diiringi oleh beberapa kapal perang pemusnah di mana jet pejuang dan helikopter tempur sengaja diletakkan di atas pelantar kapal pengangkut tersebut. Tidak syak lagi selepas ini bukan sahaja penduduk Hong Kong tetapi juga bekas penjajah Britain dan AS akan menyaksikan secara nyata kehadiran PLA di SAR tersebut.

Banyak iktibar yang boleh diambil dari episod bagaimana China mempertahankan hak mereka untuk mentadbir Hong Kong kerana tidak syak lagi isu SAR ini telah digunakan oleh sesetengah pihak untuk menekan Beijing.

Malaysia sering menerima tekanan dalam menghadapi cabaran mempertahankan kedaulatan negara sama ada secara tersurat atau tersirat. Tidak kira sama ada episod yang dinamakan era Konfrontasi Malaysia-Indonesia pada 1960-an atau pun terkini tuntutan Manila terhadap Sabah, kesemuanya itu mampu menggugat Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat.

Begitu juga apabila China dan AS yang tidak iktiraf Zon Eksklusif Ekonomi (EEZ) Malaysia di Laut China Selatan perlu dipertahankan kerana ini semua melibatkan kedaulatan negara.

Apa yang kritikal kini adalah sokongan padu daripada rakyat diperlukan tanpa berbelah-bahagi.