Kita sering mendengar bahawa pemimpin Melayu tidak suka membawa ke dalam institusinya orang yang celik ilmu yang lebih pandai daripada dirinya. Apakah sebabnya? Ramai yang membe­ritahu saya bahawa sebabnya ialah kerana pemimpin yang sedemikian takut kepada orang yang lebih pandai itu akan membaya­ngi kebolehan mereka. Ada juga yang mengatakan kerana hasad dengki terhadap orang yang celik ilmu itu, sehingga ada yang menggunakan singkatan PHD terhadap pemimpin-pe­mimpin sedemikian (PHD - perangai hasad dengki). Apakah sebabnya perkara yang menghalang kemajuan bangsa Melayu boleh berlaku di dalam masyarakat Melayu? Saya juga mendengar bahawa bangsa-bangsa lain tidak sebegini pera­ngai mereka. Sekiranya ini benar maka rugi besarlah bangsa Me­layu dan untung besarlah bangsa-bangsa lain.

Kita selalu membaca Surah Al-Falaq 113 di dalam solat dan pada majlis-majlis seperti tahlil dan kesyukuran. Surah ini mengajar kita supaya tidak berhasad dengki dan menyuruh kita memohon kepada Allah SWT supaya dilin­dungi daripada orang-orang yang mempunyai hasad dengki. Di sebalik amalan itu, ramai yang tidak mengerti maksud ayat suci al-Quran yang tersebut.

Minggu lepas saya telah meng­huraikan tiga ciri kepimpinan yang baik. Dalam rencana ini saya akan menyebut ciri selebihnya.

Ciri keempat mengkehendaki seseorang pemimpin membina sumber manusia berwibawa untuk institusinya di masa hadapan. Beliau hendaklah berdaya mengekalkan kecemerlangan dan menggemilangkannya.

Untuk mencapai hasrat ini beliau hendaklah berkebolehan meya­kinkan pengikutnya melihat masa hadapan yang menjaminkan kesejahteraan. Beliau perlu melatih dan memberi tunjuk ajar,berkongsi insentif, di sam­ping menurunkan kuasa kepada yang berhak demi untuk memberkesankan lagi tindakan yang hendak dilakukan. Jaring­an dan perhubungan antara pekerja dalam dan luar serta dengan masyarakat hendaklah juga ditum­pukan.

Jenama institusi yang telah lama dan usang hendaklah diperbaharui supaya mencerminkan kecekapan, keberkesanan dan penambahan kualiti. Satu contoh yang baik ialah apa yang dilakukan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dalam penjenamaan semula kementeriannya melalui slogan Peningkatan Berterusan (Soaring Upwards). Slogan ini merangsang pekerja untuk meningkatkan daya dan hasil kerja yang berkua­liti. Orang ramai juga merasakan bahawa wujud keinginan pe­mimpin melakukan pembaharuan.

Kelima, pemimpin hendaklah memimpin pengikutnya dengan hati nurani yang ikhlas dan mulia. Sekiranya ciri ini diabaikan, ke­pimpinan tidak akan berjaya. Antaranya ialah pemahaman siapa dirinya; kekuatan dan kelemah­an dirinya; memiliki tenaga dan semangat yang berkobar-kobar untuk memimpin, agar pengikut dapat melihat dan me­rasainya; serta; keteguhan fizikal, emosi dan sosial.

Paling penting sekali, pemim­pin hendaklah mempunyai wa­tak dan peribadi yang baik, in­tegriti, moral, dan etika. Beliau hendaklah menubuhkan kod etika bagi institusinya dan memastikan peraturan itu diikuti oleh pengikut dan dirinya sendiri.

Pemimpin hendaklah sentiasa bertanyakan dirinya tentang masalah semasa dan bekerja keras untuk menyelesaikannya, serta arif tentang pilihan-pilihan yang ada di hadapannya.

Beliau hendaklah sentiasa bersemangat kental untuk melengkapkan diri dengan isu-isu semasa dan ilmu-ilmu yang baharu supaya tidak ketinggalan zaman.
 Dalam hal ini saya sering mendapati bahawa apabila seseorang itu telah menjadi pemimpin institusi, kebanyakannya tidak lagi berhasrat untuk memperbaiki diri dalam memperlengkapkan ilmu.

Contohnya, terdapat ramai pemimpin yang hadir ke muktamar sebagai perasmi majlis, tetapi beredar pulang setelah pe­rasmian itu tamat, dan tidak mahu mengikuti pembentangan dan bicara oleh pembentang-pembentang kertas kerja dalam muktamar itu seterusnya. Pe­mimpin sebegini tidak akan menjadi arif dan berpengetahuan.

Akhir sekali, pemimpin hendaklah membawa pengikutnya ke tempat yang lebih sejahtera. Beliau tidak boleh beromong kosong sahaja tetapi tidak me­laksanakan omongannya itu.

Pemimpin hendaklah mempunyai keyakinan diri dan tidak lari daripada menghadapi dan membuat keputusan yang dikiranya rumit dan mencabar. Apabila membuat kesilapan, beliau hendaklah bertanggungjawab ke atasnya dan belajar daripada kesilapan itu untuk tidak melakukannya lagi. Pemimpin hendaklah melaksanakan perancangannya supaya berlaku, dan bukan ha­nya menyaksikan apa yang telah berlaku sebelumnya. Pemimpin Melayu dan juga orang Melayu eloklah juga menghayati puisi di bawah ini:

Akukah itu yang duduk di bangsal tunggu

menanti gugurnya durian?

Bila buah jatuh sahaja

akukah itu yang terus mengopeknya

lalu makan tanpa soalan?

Bila buah berlonggokan?

akukah itu yang ambil jalan senang

menjual durian pada pemborong tanpa hitung?

Bukan aku itu!

Aku tidak makan kalau belum kutahu

mengapa gugur mesti ke bawah

kenapa naik mesti di atas.

Aku takkan lelong

kalau sudah kutahu

pemborong bayarnya rendah

jual sendiri pulangan menyerlah.

Bukan aku itu

yang ambil mudah!

Kerana aku Melayu

yang tak mudah kalah.

PROFESOR EMERITUS DATUK DR. HASHIM YAACOB ialah bekas Naib 
Canselor Universiti Malaya.