Tajuddin yang dikenal dengan karakter keras sebagai pejuang Melayu, membaur dalam suasana ukhuwah akar umbi Pas itu. Beberapa bulan lalu Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ini turut didatangi pimpinan Pas kawasan untuk bersilaturrahim tetapi tidak menyangka penerimaan mesra di peringkat bawahan.

Barangkali inilah politik matang dan sejahtera yang dianjurkan oleh pimpinan tertinggi Pas. Mereka bersalaman dan berpelukan tanda ikatan Melayu dan Islam itu tidak mungkin dipisahkan hanya dengan perbezaan fahaman politik.

Perkembangan yang tak disangka-sangka seperti ini memang mengujakan. Kisah kafir mengkafir, sembahyang dua imam dan perpecahan seperti sirna ditelan gagasan hubungan baharu UMNO-Pas.

Pertemuan kira-kira dua jam di warung kopi bawah pokok di Kampung Sungai Buaya, Seberang Perak itu kemudiannya menjadi agak formal. Tajuddin telah diminta menyampaikan ucapan selepas wakil penyokong Pas berucap menyatakan rasa syukur dapat bersua muka dengan Ahli Parlimen BN itu.

Mereka menzahirkan rasa kegembiraan kerana selama ini melihat Tajuddin dari ke­jauhan sahaja kerana ke­du­du­kan beliau sebagai pe­mimpin parti lawan.

Kata Tajuddin, tidak a­da masalah besar yang di­bang­­­kitkan penduduk yang bekerja sebagai petani itu. Se­bahagiannya berbisik me­ngadu hal-hal kecil yang bo­leh diselesaikan segera.

“Saya nampak mereka ikh­­las. Alhamdulillah ini per­kembangan positif un­tuk orang Melayu dan Is­lam,” katanya yang turut me­­mak­lumkan cadangan pim­­pinan Pas kawasan untuk mengadakan pertandingan su­kan antara Pemuda.

Dipersenda

Tajuddin mengambil pe­luang dalam ucapannya de­­ngan menyerukan per­paduan. Hanya bersatu akan menjadikan umat Islam kuat. Beliau turut menjelaskan pelbagai kemudahan dan ban­tuan yang disediakan ke­rajaan sebahagiannya tidak disedari penduduk.

Apa yang berlaku di Pasir Salak ini bagaimanapun tidak disenangi oleh seteru Pas dan juga UMNO. Anehnya mereka ini juga orang Melayu dan Islam. Kemaruk untuk menjatuhkan kerajaan telah menghalalkan segala-galanya termasuk mengorbankan hubungan sesama umat.

Perpaduan dalam kalangan penyokong Pas dan UMNO dilihat sebagai malapetaka kepada mereka. Pimpinan atasan parti politik yang selalu bangga diri sebagai kumpulan profesional bahkan menyifatkan kerjasama seperti itu sebagai satu pengkhianatan.

Mereka seboleh mungkin mencari dalih agar tidak berlaku interaksi antara orang Pas dan UMNO. Sebabnya hanya satu kerana ini bakal menggagalkan usaha agresif mereka untuk menakluk Putrajaya.

Lihat sahaja apabila Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek bersama Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu majlis kementerian di kawasan Parlimen Presiden Pas itu di Marang pada 4 Mei lalu. Majlis untuk membantu nelayan tempatan itu dipersenda terutama oleh PAN, parti serpihan Pas.

Pimpinan PAN Terengganu seperti diserang histeria. Kata mereka, kerjasama itu hanya sandiwara. Hubungan mesra yang ditunjukkan antara Abdul Hadi dan Shabery menimbulkan kemarahan rakyat serta nelayan. Tindakan itu mereka sifatkan tidak berpijak di bumi nyata.

Begitu juga sebelum ini pimpinan dan penyokong Pakatan Harapan bak kerasukan 'pelesit' apabila Datuk Seri Najib Tun Razak dan Abdul Hadi dipertemukan dalam majlis-majlis yang berkepentingan Islam. Mereka kecoh di media sosial.

Nampaknya hasutan itu tidak berjaya. Bibit-bibit kesedaran tentang peri pentingnya perpaduan dalam kalangan orang Melayu dan Islam mulai menyubur di peringkat akar umbi. Arus untuk bersatu itu seperti tidak tertahan lagi.

Orang Pasir Salak telah menunjukkan contohnya. Barangkali akar umbi juga telah menyedari betapa Pas selama ini telah diperkudakan untuk bukan sahaja memecah-belahkan sesama umat tetapi melemahkan Islam.

Barangkali lagu Dirgahayu nyanyian Faizal Tahir dan Datuk Siti Nurhaliza boleh mencerminkan hubungan kedua-dua parti ini. Antara petikan lirik lagu itu;

“Andai takdir kita bertemu lagi

(Ku berdoa selalu)

Masihkah akan kau kenang kembali

(Takkan pernahku lepas)

Satu hari pasti nanti

Ku akan memahami

Namun cinta tak akan mati”