Tubuh badan yang sihat menatijahkan perjalanan kehidupan seharian yang berkualiti. Dalam Islam, kesihatan adalah antara nikmat terbesar yang diberikan oleh Allah SWT. Hal ini adalah bersandarkan kepada sabda Nabi Muhammad SAW: “Dua nikmat Allah yang sering manusia lupakan, iaitu, nikmat sihat dan masa lapang.” (Al-Bukhari).

Bagi penganut agama Islam, tubuh badan yang sihat adalah penting terutamanya apabila ia membawa pengaruh kepada ­kesempurnaan dalam melaksanakan ibadah yang ditaklifkan oleh Allah seperti solat, puasa dan menunaikan ibadah haji.

Oleh kerana kesihatan itu adalah anugerah yang tidak ternilai, setiap individu perlu menjaga tubuh badan masing-masing agar ia berterusan dalam keadaan yang sihat. Ini adalah tanggungjawab ke atas amanah yang diberikan oleh Allah SWT kepada setiap hambanya. Bagi tujuan penjagaan kesihatan, hak terhadap tubuh badan perlulah ditunaikan.

Kebanyakan masyarakat di Malaysia sudah menyedari akan kepentingan menjaga tubuh badan. Penjagaan kesihatan sudah mula dititikberatkan dalam kehidupan seharian. Namun, atas kekangan waktu bekerja dan ke­sibukan menguruskan keluarga, terdapat segelintir masyarakat yang mengambil jalan pintas untuk mendapatkan tubuh badan sihat serta penampilan yang menarik melalui penggunaan produk-produk tertentu. Malangnya, produk-produk sebegini tidak membawa kesan baik yang diharapkan, bahkan memudaratkan kesihatan.

Mutakhir ini, penjualan produk-produk herba tradisional yang berfungsi sebagai ubat-ubatan, makanan tambahan, dan kosmetik semakin terkehadapan demi memenuhi kehendak pengguna untuk sihat dan berketrampilan menarik. Malangnya, ramai yang kurang peka akan aspek-aspek keselamatan dalam penggunaan produk-produk kesihatan dan kecantikan tradisional pada masa kini.

Antara jaminan yang diberikan adalah kepelbagaian bahan yang terdapat di dalam produk yang dipasarkan mampu memberikan manfaat yang besar misalnya dapat menyembuhkan sejumlah penyakit. Ia memberikan gambaran kepada pengguna bahawa kepelbagaian bahan di dalam produk tersebut memberikan tindakan yang sinergi dan saling melengkapi antara satu sama lain. Misalnya, sekiranya ada lima bahan dalam produk tersebut, kelima-lima bahan tersebut bertindak secara bersepadu dalam memberikan kesan positif kepada pengguna.

Hakikat sebenar yang perlu difahami adalah tumbuhan herba yang dijadikan produk tradisional mengandungi sebatian-sebatian bioaktif tertentu. Penghasilan produk kesihatan dan kosmetik daripada tumbuhan herba perlu melalui fasa tertentu seperti proses mengekstrak, pengasingan sebatian bioaktif serta pengujian klinikal bagi memastikan keberkesanan dan dos yang selamat.

Malangnya, produk-produk her­ba tradisional yang dipasarkan pada masa kini rata-ratanya hanya pada peringkat ekstrak mentah. Ubatan pada peringkat ekstrak mentah ­mengandungi kepekatan sebatian bioaktif yang tinggi. Ini menjadikan keselamatan dalam pengambilannya diragui kerana kandungan dos yang tinggi.

Selain itu, isu keselamatan turut timbul apabila ekstrak-ekstrak daripada pelbagai sumber herba digabungkan untuk menjadi satu ubat untuk semua jenis penyakit. Perkara ini dilakukan kerana menganggap semua sebatian bioaktif bertindak secara sinergi tanpa mengambil kira interaksi kimia antara semua sebatian bioaktif yang dicampurkan.

Sekiranya interaksi yang berlaku antara sebatian-sebatian ini mengakibatkan penghasilan bahan yang beracun, ia boleh memudaratkan tubuh badan, bukannya memberikan manfaat baik yang diharapkan.

Sebaiknya, demi mendapatkan tubuh badan yang sihat dan penampilan yang menarik, setiap individu perlu berhijrah kepada gaya hidup yang sihat. Ini termasuklah dengan menyertai program kecergasan, bersukan dan mengamalkan pemakanan yang sihat.

Bagi mereka yang diberi dugaan penyakit, penggunaan produk di pasaran yang tiada ujian klinikal sebagai jalan untuk mengubatinya bukanlah suatu langkah bijak. Apabila ditimpa penyakit, disarankan bagi individu untuk mendapatkan khidmat perundingan doktor.

Hal ini kerana doktor adalah golongan yang layak dan pakar dalam memberikan khidmat penjagaan kesihatan. Mereka sepatutnya dirujuk di atas pengetahuan dan kepakaran yang mereka miliki. Ini sejajar dengan firman Allah SWT yang bermaksud:“Maka bertanyalah kamu kepada pakar jika kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Anbiya’ 21:7).

Kesimpulannya, dalam usaha meraih kesihatan tubuh badan, setiap individu perlu bersikap cermat dengan: menjalani gaya hidup yang sihat, mengelakkan diri daripada menggunakan produk kesihatan secara sembarangan kerana keselamatannya yang tidak terjamin, dan mendapatkan khidmat perundingan kesihatan daripada doktor yang bertauliah sekiranya menghadapi masalah kesihatan.

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).