Ini cerita seorang ayah. Dia bekerja sebagai seorang runner sepenuh masa. Pada satu hari seseorang telah meminta dia menghantar barangan dengan janji upah yang agak lumayan. Disebabkan janji itu, dia pun tidak mengambil job lain pada hari tersebut. Sampai ke malam dia menunggu tetapi orang itu beri macam-macam alasan. Suruh tunggu dan tunggu. Akhirnya hari berlalu begitu saja.

Di rumahnya, seorang anak kecil menangis kerana dari pagi hanya disuakan ke mulut botol susu berisi air masak. Isterinya memujuk anak itu sehingga tertidur dalam sedu-sedannya kerana perut kosong yang mungkin telah dimasuki angin.

Si ayah, pulang ke rumah dengan rasa kesal sendiri. Air mata seorang lelaki jatuh pada malam itu melihat kerutan muka anaknya tidur menahan lapar dan dia berjanji pada diri sendiri tidak akan lagi membuatkan anak itu mena­ngis kelaparan. Dia juga serik dan tidak akan mempercayai orang yang menjanjikan upah yang lumayan itu.

Mungkin bagi segelintir orang, dia tidak terkesan membaca cerita ini. Asalkan tiada siapa-siapa yang mati. Itu dikira sudah cukup baik. Ini ke­rana dalam hidupnya yang pen­ting diri dan keluarganya sahaja. Asalkan anak isterinya hidup selesa, dapat makan yang enak-enak, dapat tayang gambar makanan yang sedap-sedap dalam Facebook atau Instagram, lain-lain hal bukan urusan dia, walaupun perbuatannya itu ­telah mendatangkan susah kepada orang lain. Orang macam ini memang ramai.

Ini cerita yang lain - Seorang ibu tunggal datang mengadu di malam hari. Beras di rumahnya sudah habis. Seseorang telah berjanji padanya pada hari itu. Meminta dia membersihkan rumah orang itu. Sebuah rumah banglo. Seharian dia menunggu pemilik rumah mengambilnya sehingga ke malam tetapi ­bayang pun tidak nampak. Lima anak kecilnya sedang menunggu untuk menjamah nasi. Tidak terfikirkah pemilik banglo tersebut, walaupun dia memberi wang RM50 sebagai upah, ia ibarat memberi nyawa pada hari itu untuk anak-anak ibu tunggal berkenaan?

Esoknya pemilik rumah tersebut dengan tanpa rasa bersalah memberitahu, dia tidak jadi mengambil ibu tunggal itu semalam kerana membawa anak-anaknya makan di Sushi King dan pergi membeli-belah! Aduhai.

Diceritakan pula seorang isteri kepada saya tentang janji-janji seorang suami. Janji ini mungkin nampak kecil dan biasa-biasa saja. Semua bapa terutamanya atau ibu selalu melakukannya. Dijanjikan kepada anak kecilnya akan dibawa bersiar-siar pada hari itu. Hari tersebut hari ming­gu. Pagi-pagi lagi anaknya sudah siap mandi dan pakai baju sendiri. Anak itu mengambil baju yang paling cantik dalam almarinya. Hatinya berbunga-bunga girang.

Tetapi si ayah beri alasan dia keluar sebentar berjumpa kawan. Akhirnya dari pagi membawa ke malam, anak itu menanti di depan pintu sehingga tertidur dengan baju cantik yang disarungkan sendiri itu. Matanya basah. Ba­ngun esoknya, ayah sudah pergi kerja semula.

Bayangkan yang berjanji itu seorang ayah iaitu orang paling rapat dengannya selain ibu. Jika janji sering dimungkiri begitu, dengan siapa lagi dia mahu percaya?

Manusia dan janji memang macam-macam. Kalau kita jenis manusia yang tidak boleh tepati janji, adalah lebih baik duduk diam-diam sahaja. Jangan berjanji itu dan ini. Jangan beri harapan palsu. Kita tidak tahu ada yang sedang bergelut untuk hidup dan ada juga hati yang terluka. Sebenarnya, kalau kita tidak menyusahkan sesiapa dalam sehari, ia mungkin boleh memberi hari yang paling indah kepada orang lain.