Tetapi baru saja saya mencapai sudu dan garpu, tiba-tiba lelaki di meja sebe­lah saya memarahi anaknya. Nada suaranya begitu kuat sekali. Hampir hendak terjatuh sudu yang saya pegang. Nasib baik sekarang ini latah saya dah berkurangan.

Saya kira budak perempuan itu berusia dalam lingkungan sembilan atau 10 tahun. Dia ditengking, entah apa puncanya pun saya tidak tahu. Sebab sebelum ini, suasana di meja itu tenang-tenang saja. Tidak pula saya dengar, apa-apa.

Tertunduk budak itu, saya agak antara menahan sedih dan malu. Tak lama kemudian, menangis dia sambil menekup mulut menahan sedu sedannya agar tidak didengar orang yang begitu ramai ketika itu.

Tiba-tiba selera saya hilang ke laut. Simpati dan rasa kasihan kepada budak itu. Adakah saya yang begitu sensitif? Entahlah. Tetapi kenapalah harus dimarah dia dengan kuat di khalayak ramai? Jangan tak tahu, budak-budak pun punya perasaan malu. Kawallah kemarahan itu, wahai si ayah. Kalau awak lapar sangat pun, janganlah anak menjadi mangsa kemarahan.

Di hadapan orang ramai terutamanya di tempat makan, bukan tempat yang sesuai untuk menengking sesiapa pun. Kita semua sedang menghadap rezeki yang Tuhan beri. Budak menangis teresak-esak di depan rezeki, itu bukanlah pemandangan yang menyeronokkan untuk makan. Jangan beri orang lain patah selera. Apa salahnya menegur dengan perlahan.

Kadang-kadang tak faham, ada ibu bapa yang suka marah-marah anak di depan orang ramai. Boleh pula buat macam rumah sendiri. Tak hiraukan orang sekeliling yang memandang. Bukan kita ini saja-saja hendak busy body, mahu suka-suka dengar atau tengok. Dah membising macam tu, ia pasti menangkap telinga sesiapa sahaja yang lalu lalang, walaupun seekor kucing.

Kalau perkara yang dimarah itu, nampak jelas seperti membuat bising, berlari-lari dan menjatuhkan barang-barang di restoran, pusat beli-belah, surau atau di hospital, itu boleh diterima. Memang patut pun ditegur. Tetapi menegur pun tidak perlulah sampai mengegarkan suasana, macam boleh luruh jantung orang lain mendengarnya.

Tapi yang biasa kita lihat, bila anak-anak nakal di tempat sebegini, ibu bapa membiarkannya sahaja pula. Kadang-kadang kita pula naik geram, bila ibu bapa hanya memerhatikan dengan muka tiada perasaan apa-apa, atau sekadar menyebut nama anaknya dengan nada dengar tak dengar, dengan harapan anak itu duduk diam.

Teringat saya tentang satu status seorang peguam yang agak terkenal di dalam Facebooknya - Anak siapa ni, bising-bising dalam restoran. Emak bapak boleh buat tak tahu je. Orang nak makanlah!

Sekali baca, pasti ada yang menganggap dia ini mementingkan diri sendiri. Lebih-lebih lagi ibu bapa yang ada anak kecil. Tetapi ada betulnya.

Ada ibu bapa yang leka berborak atau melayan telefon pintar dan membiarkan anak berlari-lari dan membuat bising sehingga menjejaskan keselesaan dan menganggu orang lain. Tak nampak pun, riak rasa bersalah bila orang lain memandang anaknya.

Pun begitu, ada pula, akan tergesa-gesa membawa keluar anaknya yang menangis kuat supaya tidak menganggu orang lain. Dia akan memujuk anaknya di luar. Memang saya akui mempunyai anak kecil, selalunya susah untuk ibu bapa makan dengan selesa di luar. Tetapi itu tidak bermakna, mereka boleh menganggap semua orang okey dengan keadaan yang bising-bising

Tulisan saya kali ini agak `emak-emak’. Tetapi inilah yang sering berlaku di sekeliling. Kalau kita sendiri tegur, pasti tak manis atau silap haribulan kena marah pula oleh ibu bapa berkenaan kerana dikata menyibuk dan berkira dengan budak-budak yang belum cukup akalnya. Memanglah anak-anak belum cukup akalnya, tetapi ibu bapa tidak begitu. Jadi saya tulislah.