Antara badan yang menerima tempias itu adalah Majlis Profesor Negara (MPN) yang disifatkan pemerintah baharu sebagai hilang punca selain sesat dalam membela nasib rakyat serta didakwa menjadi pelaris agenda politik kepartian.

Seperti telah dijelaskan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MPN, Profesor Datuk Dr. Raduan Che Rose dalam wawancara dengan Utusan Malaysia pada Ogos lalu, dakwaan berkenaan adalah tidak benar kerana badan pemikir akademik itu bersifat bebas dan penubuhannya berniat baik untuk memberi balik kepada masyarakat tanpa diupah pihak tertentu.

Satu lagi fakta yang harus diketahui pembaca, walaupun status MPN sebagai sebuah jabatan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah dimansuhkan tetapi badan itu masih boleh beroperasi kerana didaftarkan sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan yang tidak boleh dibubarkan oleh pihak lain.

Bagaimanapun, MPN sudah ten­tu dapat berfungsi lebih ber­kesan sekiranya diletakkan di bawah mana-mana agensi kerajaan atau kementerian.

Dalam buku ini, pembaca dapat mengetahui bahawa segala tuduhan kepada MPN adalah tidak berasas dan ini terbukti apabila isu-isu yang dibangkitkan ketika 21 siri Program Advokasi Ilmuwan di universiti awam adalah berkait rapat dengan masalah rakyat.

Program hasil kerjasama strategik MPN, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Utusan Malaysia telah dimulakan sekitar 2015.

Para profesor yang menjadi ahli panel pada sesi wacana itu tidak takut untuk mengkritik dasar-dasar pemerintah tetapi tidaklah dibuat secara emosi sebaliknya bersifat intelek lagi rasional.

Antara yang menarik untuk disentuh adalah sesi wacana 30 Jun 2015 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) apabila MPN memilih tajuk GST Kemelut dan Langkah ke Hadapan.

Ketika sesi wacana itu, ahli panel telah memberi ‘amaran’ kepada kerajaan mengenai per­sepsi negatif rakyat terhadap cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang telah diperkenalkan beberapa bulan sebelum itu atau lebih tepat lagi 1 April 2015.

Wacana itu merumuskan bahawa tanggapan GST mencengkam kehidupan pengguna lebih terarah kepada persepsi masyarakat.

Kemelut ini timbul akibat daripada kecelaruan dan pemahaman yang lemah ber­kaitan dengan kebaikan sis­tem GST pa­da semua peri­ng­kat lapisan ma­syarakat daripada agensi kerajaan, ahli politik sehinggalah ke­tua masyarakat.

Persepsi ne­ga­tif itu nampaknya tidak ditangani de­ngan berkesan oleh kerajaan ketika itu sehingga menye­babkan rakyat ber­tindak memilih pe­merintah baharu pa­da Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Bagaimanapun, harus diakui kerajaan terdahulu telah mengambil langkah-langkah me­ngimbangi impak GST seperti memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan pengurangan cukai pendapatan.

Langkah itu nampaknya tidak berkesan sepenuhnya kerana harga barangan terus meningkat pada kadar tidak munasabah yang berpunca daripada tindakan peniaga tamak menaikkan harga termasuk mengenakan GST pada barangan yang diberikan pengecualian.

Kesedaran mengenai hak sebagai seorang pengguna yang ren­dah dan peranan persatuan pengguna yang lebih tertumpu untuk mendesak kerajaan dan bukannya memantau peniaga menyebabkan pengilang, pemborong dan peruncit yang mengambil kesempatan menaikkan harga terlepas daripada tindakan.

Faktor lain adalah penguatkuasaan oleh agensi berwajib yang tidak menyeluruh akibat daripada kekangan kakitangan yang menyebabkan peningkatan harga barangan berleluasa sehingga rak­yat merana.

Satu lagi wacana MPN yang turut menyentuh permasalahan rakyat bertajuk Sekuriti Makanan Negara: Sampai Bila? telah diadakan di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 21 Jun 2016.

Ketika sesi itu, ahli panel telah mendedahkan mengenai masalah runcing yang dihadapi Malaysia iaitu terlalu bergantung kepada import makanan seperti daging lembu, kambing dan susu.

Kawasan ternakan dan tanaman makanan juga tidak banyak kerana telah digunakan untuk penanaman getah dan kelapa sawit.

Pergantungan kepada import menyebabkan rakyat yang sudah terbeban dengan GST terus dihimpit kesusahan apabila harga makanan diimport meningkat akibat penurunan nilai ringgit.

Oleh itu, diharapkan pihak pemerintah tidak terus mengambil sikap untuk ‘menyekat’ kira-kira 2,900 profesor yang menganggotai MPN untuk mengemukakan pandangan mereka bagi menyelesaikan masalah rakyat.

Elakkan kejadian pembunuhan Hang Nadim seperti yang terdapat dalam karya sejarah yang ditulis pada zaman kesultanan Melayu Melaka, Sulalatus Salatin berulang.

Malang sekali, kanak-kanak le­laki yang menyelamatkan Temasek (kini Singapura) daripada serangan todak menjadi mang­sa dendam politik sekumpulan pembesar semata-mata kerana dia terlalu bijak.