Namun, tatkala kita bergembira menjalankan pelbagai aktiviti di musim cuti persekolahan, semua pihak perlu memberi perhatian kepada aspek keselamatan ahli keluarga terutamanya kanak-kanak.

Tidak dapat dinafikan aspek keselamatan jalan raya perlu diberi keutamaan kerana kejadian kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan berat ter­utamanya bas dan trak serta motosikal sudah sampai tahap sangat membimbangkan.

Bagaimanapun kita juga tidak boleh alpa mengenai bahaya lemas kerana kajian Pusat Penyelidikan Klinikal Perak (CRC) menunjukkan kira-kira 500 kanak-kanak lemas setiap tahun dan ini merupakan punca kematian kedua ­tertinggi dalam kalangan mereka di bawah usia 18 tahun.

Ketua CRC Perak, Datuk Dr Amar Singh turut mendedahkan bahawa sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini, sejumlah 31 kanak-kanak turut lemas di kolam renang dan taman tema.

Jumlah kes tertinggi direkodkan di Selangor, Kedah dan Pahang dengan kira-kira 75 peratus daripada mangsa adalah kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah.

Oleh yang demikian, pengendali taman tema dan pemilik hotel perlu mengambil langkah pencegahan dengan meletakkan kakitangan penyelamat yang terlatih untuk memantau aktiviti pengunjung setiap masa.

Tindakan menyelamat dengan pantas ini amat penting bagi mengelakkan mangsa mati lemas atau mengalami kerosakan otak jika lambat diberikan bantuan.

Sebagai aktivis masyarakat dan juga Ahli Anggota Majlis Keselamatan Aktiviti Air (WASC), saya sering membangkitkan isu berkaitan lemas kerana bilangan mangsa yang agak tinggi setiap tahun.

Sebenarnya, kejadian lemas ini sangat serius terutamanya apabila musim cuti sekolah bermula.

Menurut Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia atau WHO, kira-kira 40 orang kehilangan nya­wa akibat lemas di seluruh dunia setiap jam. Di Malaysia, kira-kira 700 kes lemas dilaporkan berlaku setiap tahun.

Sehubungan itu, semua pihak yang berkepentingan perlu memberi penekanan terhadap aspek keselamatan semasa berada di jasad air untuk menghalang berlakunya kes lemas.

Kes lemas boleh berlaku dalam pelbagai situasi dan persekitaran termasuk ketika bekerja, berge­rak menggunakan pengangkutan air dan juga ketika melakukan aktiviti rekreasi.

Bagaimanapun, setiap kematian akibat lemas boleh dicegah dengan syarat semua pihak yang berkaitan serta orang awam memainkan peranan masing-masing dengan lebih berkesan.

Ibu bapa perlu sentiasa memantau anak-anak mereka ketika bermain di dalam air. Ini kerana ramai yang tidak ambil peduli atau langsung tidak tahu anak-anak mereka sedang bermain berhampiran sungai atau kolam.

Pihak sekolah pula harus me­nga­dakan kempen kesedaran me­ngenai lemas dengan mengundang wakil dari WASC atau agensi ber­kaitan untuk memberi taklimat mengenai bahaya lemas. Program ini sepatutnya diadakan beberapa hari sebelum cuti sekolah bermula.

Pihak berkuasa tempatan perlu memberikan perhatian serius dan menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk memastikan keselamatan air terjun, kawasan rekreasi air dan pantai di bawah bidang kuasa mereka.

Papan tanda amaran pula perlu dipasang di tempat strategik bagi mengingatkan orang awam tentang bahaya lemas di kawasan berisiko tinggi.

Papan tanda amaran yang rosak atau menjadi mangsa vandalisme perlu diganti segera ma­nakala kawasan yang berisiko tinggi perlu dipagar.

Pihak berkuasa juga perlu memastikan pemilik tanah lapang yang mempunyai lombong tinggal dan kolam takungan supaya memagar kawasan tersebut.

Ini penting kerana kes lemas juga sering berlaku di kolam tinggal atau takungan air seperti yang berlaku di lombong bauksit di Kuantan.

Ahli badan-badan sukarela se­perti Persatuan Bulan Sabit Me­rah, St John Ambulance, Pengakap dan Persatuan Pandu Puteri harus belajar tentang pencegahan lemas serta kemahiran menyelamat.

Kita juga harus mendedahkan anak-anak dan pelajar tentang ba­haya lemas serta cara-cara un­tuk mengelak daripada menjadi mangsa. Jika boleh, semua kanak-kanak perlu dihantar ke kelas renang selain belajar ilmu menyelamatkan mangsa lemas dan mangsa bencana yang lain agar mereka sentiasa bersedia.

Saya ingin menyeru semua pi­hak supaya menjadikan usaha mencegah tragedi lemas sebagai sebahagian budaya kita. Ia se­harusnya diterapkan dalam sa­nubari agar setiap individu faham dan melaksanakan apa yang dipelajari untuk mengelakkan kes lemas daripada berlaku.

Mereka yang berminat untuk mengadakan program pencegahan lemas juga boleh mengadakan kerjasama dengan WASC dan agensi kerajaan yang berkaitan untuk tujuan tersebut.

Sebenarnya kita tidak boleh me­­­nyerahkan tanggungjawab me­­­ngatasi kes lemas kepada agen­si kerajaan secara total.

Kita semua sebagai ahli keluarga, saudara-mara, rakan-rakan, jiran serta rakyat yang bertanggungjawab harus sedar akan risiko lemas di sekeliling kita.

Saya telah menulis banyak surat dan mengeluarkan kenyataan mengenai kepentingan meningkatkan kesedaran mengenai lemas dalam kalangan orang ramai. Namun tidak banyak perubahan yang dapat diperhatikan.

Sama seperti usaha pencegahan kemalangan jalan raya, stra­tegi pencegahan lemas juga perlu melibatkan aspek kejuruteraan, penguatkuasaan, pendidikan dan tindak balas kecemasan.

Kita perlu melakukan sesuatu supaya kematian disebabkan oleh lemas tidak meningkat setiap tahun seperti yang dicatatkan oleh kemalangan jalan raya.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah aktivis masyarakat.