“Zin, bos suruh kita wakili Utusan jumpa Lee Kuan Yew sekarang ini,” katanya. Bos merujuk pada Ketua Pengarang ketika itu, Datuk Khalid Mohd.

Sesampai sahaja di lobi Hotel Mandarin yang bersebelahan KLCC, kami disambut oleh pegawai Suruhanjaya Tinggi Singapura di Malaysia. Setelah semua wakil media yang diundang sampai, kami dibawa ke tingkat atas. Tidak banyak wakil media yang diundang.

Kami dibawa ke sebuah bilik mesyuarat. Pegawai suruhanjaya memberi taklimat. Katanya Lee Kuan Yew akan bertanya soalan-soalan khusus kepada wakil media. Lepas itu para wartawan bolehlah bertanya soalan. Tetapi semua kandungan pertemuan itu adalah off the record. Tidak boleh ditulis dan disiarkan dalam akhbar.

Setelah kami bersedia, Lee Kuan Yew serta menteri dan pegawai masuk ke bilik mesyuarat. Kami bersalaman. Aku duduk betul-betul di depan beliau. Lee Kuan Yew bertanya soalan-soalan secara khusus termasuk apakah pandangan kami mengenai beberapa isu semasa.

Kami juga berpeluang untuk bertanya pandangannya. Aku turut sempat mengajukan soalan mengenai perkara-perkara berkaitan sejarah yang ku minati.

Oleh kerana kandungannya off the record, tidak boleh­lah aku ceritakan di sini. Selepas dialog, Lee Kuan Yew pun beredar dan kami dijamu makan tengah hari. Kami pun pulang ke pejabat.

Dalam hidupnya Lee Kuan Yew pernah menjadi peguam bagi pihak Utusan Melayu pada tahun 50-an ketika akhbar ini beribu pejabat di Singapura. Beliau banyak membela para pekerja termasuk kakitangan Utusan.

Menurut cerita orang-orang lama, Lee Kuan Yew sering datang ke pejabat Utusan di Queen Street atau Cecil Street. Ini kerana beliau bersahabat baik dengan A. Samad Ismail, pengarang kanan Utusan Melayu.

Mereka turut berbincang mengenai penubuhan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di pejabat Utusan. Maka A Samad Ismail juga menjadi pengasas bersama PAP. Terdapat beberapa wartawan Utusan juga menjadi ahli PAP.

Tokoh terkenal ialah Rahim Ishak yang turut menjadi menteri dalam Kabinet Lee Kuan Yew. Seorang lagi ialah Othman Wok. Malah pengasas Utusan Melayu, Yusof Ishak menjadi Yang Dipertua Singapura selepas kemenangan PAP. Beliau kemudian menjadi presiden pertama Republik Singapura merdeka.

Namun kemudian A. Samad Ismail bergaduh dengan Lee Kuan Yew. Utusan memindahkan beliau ke Jakarta. Beliau berhenti daripada Utusan dan menyertai Berita Harian. Sa­mad keluar daripada PAP dan menjadi ketua UMNO Singapura.

Seorang lagi wartawan Utusan yang dikenakan tindakan keras oleh Lee Kuan Yew ialah Pengarang Utusan Me­layu, Said Zahari.

Setelah Utusan diambil alih oleh UMNO dan mogok pekerja gagal, Said Zahari tersingkir dan kembali ke Si­ngapura untuk menyandang jawatan Ketua Parti Rakyat Singapura. Beliau segera ditahan di bawah ISA untuk masa yang amat lama.

Pada zaman itu, Utusan Melayu diharamkan di Singapura kerana dituduh menghasut hingga berlaku rusuhan antara kaum.

Segala pencapaian tinggi oleh Lee Kuan Yew untuk Singapura sememangnya amat dikagumi tetapi ia telah dibayar dengan harga yang mahal oleh individu-individu tertentu.

Takziah kepada keluarga beliau dan rakyat Singapura de­ngan lembaran baharu sejarah akan bermula. Sesungguhnya Lee Kuan Yew telah mencorak sejarah kemakmuran bukan saja kepada Singapura dan Malaysia tetapi juga dunia.

PENULIS ialah Pengarang Kanan di Utusan Malaysia.