“Saya mai (datang) sini bukan nak lihat banglo baharu atau terowong yang tak siap, tapi mai untuk lihat perubahan yang bakal dibawa oleh Barisan Nasional (BN) (ke Balik Pulau),” kata Perdana Menteri, sambil terdengar pekikan kecil hadirin, “ha..., jawab Guan Eng (Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng), jawab” di ­sebelah wartawan Utusan Malaysia.

Kalau diteliti, ada benar­nya ungkapan Perdana Menteri itu. Yang sesiapapun nampak dalam tempoh 10 tahun di Pulau Pinang ini, antara­nya hutan dibersihkan dan pokok-pokok ditebang.

Macam mana boleh berlaku macam itu? Ini disebabkan perancangan tidak terkawal. Dahulu, jarang dengar Balik Pulau akan banjir hingga ada analogi ‘kalau Balik Pulau banjir, alamatnya Georgetown tenggelamlah’. Tapi sekarang, wallahualam. Puncanya dikatakan banyak pokok ditebang.

Dalam kalangan yang hadir dalam pertemuan dengan Perdana Menteri di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Balik Pulau itu, sudah nampak kegelisahan di raut wajah mereka dengan isu tanah runtuh di sekitar Balik Pulau.

Hari ini kalau ke Balik Pulau, kesan runtuhan tanah diletakkan plastik-plastik besar yang sudah lama di situ sebelum kerajaan negeri DAP sibuk berkempen (pilihan raya).

Adakah ini yang dikatakan kerajaan gabungan pembangkang PKR tetapi soal kebajikan rakyat diketepikan dan pemaju pula le­bih penting?

Utusan Malaysia sempat menarik perhatian Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang turut menyertai majlis Perdana Menteri, untuk mengulas hal ini.

Selepas Datuk Seri Zainal Abidin Osman mengesahkan tidak bertanding kali ini di kerusi Parlimen Nibong Tebal untuk memberi laluan kepada Timbalan Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Datuk Dr. Shaik Hussein Mydin, antara yang disandarkan harapan dalam kepemimpinan muda UMNO negeri untuk membantu Zainal Abidin menggerakkan jentera pilihan raya BN Pulau Pinang adalah Reezal Merican sendiri.

Reezal Merican, Shaik Hussein dan seorang lagi, Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said datang dari ‘kilang’ Pemuda.

Kata Reezal Merican: “Bila ga­bungan pembangkang PKR bertanding menggunakan satu logo iaitu PKR, kelebihan memihak kepada DAP kerana logo roket agak ‘taboo’ kepada ramai orang Melayu terutama yang berusia dan tinggal di luar bandar setelah melalui peristiwa silam (pengalaman dengan gelagat, kerenah DAP).

“Dengan ini pengundi akan ‘dipaksa’ melalui satu pemilihan undi tanpa dapat melihat mana dia calon DAP, PKR, PAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Walaupun DAP mempunyai strategi yang disembunyikan di belakang tabir seperti ini, pengundi jangan terkeliru. Ingat satu perkara ini, mengundi gabungan pembangkang PKR bermakna anda mengundi DAP.”

Seperkara lagi kata Reezal Merican, terdapat kecenderungan dalam kalangan pengundi di Pulau Pinang termasuk Melayu yang ‘di­gula-gulakan’ sekian lama dengan slogan Cekap Akauntabiliti Telus (CAT) diperkenalkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng sejak merampas negeri itu daripada BN pada 2008.

“Cekap tidak lagi timbul dah, sebaliknya jadi bahan lawak pula.

“Akauntabiliti? Macam mana nak dikatakan akauntabiliti se­dang­kan dia satu-satunya Ketua Menteri yang disiasat dan didakwa di mahkamah kerana kes rasuah dan masih lagi pegang jawatan. Dalam sejarah Pulau Pinang, Guan Eng satu-satunya Ketua Menteri yang enggan melepaskan jawatan. Ini bertentangan dengan prinsip CAT.

“Sepatutnya dia benarkanlah orang lain sandang jawatannya itu sementara dia berusaha membersihkan diri daripada dakwaan yang dikenakan mahkamah.

“Dan satu lagi aspek ketelusan, anda (Guan Eng) tidak lagi telus. Buktinya, projek terowong dasar laut yang diselubungi isu rasuah. Ini semua bermakna anda tidak lagi (berpegang pada) CAT,” kata Reezal Merican.

Kata beliau lagi: “Kepada penduduk Pulau Pinang, tidak ada lagi ‘air muka’ yang hendak di­sembunyikan DAP, semuanya telah ditelanjangi dengan slogan parti mereka sendiri.”

Reezal Merican percaya dinamik Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) ini akan menjadi lebih menarik kerana mana-mana parti pun tidak boleh mendabik dada menyatakan itu kawasan tradisi atau kerusi selamat mereka termasuklah Parlimen Kepala Batas yang akan ditandingi beliau.

Banyak kekeliruan, rasa cuak dan kebimbangan rakyat pada kredibiliti gabungan pembangkang PKR.

Bukan mudah sebenarnya untuk membuat pilihan jika hati sudah ‘kacau’ dengan dakyah, fitnah dan tohmahan.

Kalau tengok satu rakaman video yang tular baru-baru ini kelihatan Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad diapit Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden PAN, Mohamad Sabu.

Antara yang disebut Dr. Mahathir, “saya tak tangkap sesiapa (sumbat orang dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA)”. Mohamad di ­sebelahnya kelihatan terpinga-pinga, manakala Wan Azizah yang suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut di lokap ISA lebih kurang tunjukkan aksi sama.

Bukankah jika Menteri Dalam Negeri (yang suatu ketika disandang Dr. Mahathir) tidak beri keizi­nan tahan seseorang di bawah ISA, tangkapan tidak akan berlaku.

Jangan tipu ya. Dan pembangkang jangan membohongi rakyat dengan ‘janji yang hanya tinggal janji’.