Sebahagian lagi didorong kepada keperluan untuk pemilik-pemilik rumah kedua atau ketiga. Ini kerana misalnya, sebuah apartmen tiga bilik kadar sewa di Kuala Lumpur adalah secara puratanya RM1,500 sebulan. Namun, kadarnya masih tidak memadai bila bayaran balik pinjaman bank secara bulanan adalah RM2,500 bagi pemilik.

Untuk membiarkan apartmen sedemikian kosong tidak berpenghuni juga rugi kerana pemilik harus membayar segala kos tersebut. Hendak menjual apartmen pun bukan sesuatu yang mudah dilakukan, apatah lagi apartmen di Lembah Klang berlambak, malah ada yang tidak laku.

Jalan keluar terbaik ialah menyewa apartmen mengikut kaedah inap kota, dengan mengenakan sewa semalam RM200 untuk apartmen tiga bilik, contohnya. Pemilik hanya perlu memastikan apartmen dihuni 15 hari sebulan untuk mendapatkan pulangan wajar RM3,000 terutama membayar balik pinjaman bulanan bank. Kalau dapat lebih, lagi untung.

Cuma kena ingat, ada kos sampingan. Setiap kali penyewa keluar, apartmen harus dibersihkan untuk penyewa baharu. Ini anda lakukan sendiri dengan menukar cadar, misalnya yang melibatkan masa dan tenaga, serta kos dobi. Atau anda lantik ejen bagi melakukan untuk anda. Jika ada benda rosak, seperti pendingin hawa atau paip air pecah, anda sebagai pemilik kena baiki dengan duit sendiri.

Tidak bersaing

Jangan risau mengenai kadar kepenghunian. Seperti saya nyatakan awal di atas, orang ramai semakin memilih rumah-rumah sewa sedemikian. Dan menurut pihak berkaitan pelancongan, rumah sewa itu tidak bersaing secara langsung dengan hotel bertaraf empat atau lima bintang yang menyediakan kemudahan setimpal dengan kadar yang dibayar.

Rumah sewa ini menjadi tarikan kepada jenis pelancong khusus dan keluarga. Ada juga yang menyewa bukan atas faktor melancong, tetapi mengikut rombongan perkahwinan atau menonton acara sukan. Jadi anda janganlah risau. Pasaran tetap ada.

Cuma yang penting dalam apa jua jenis perniagaan, perlu ada iklan. Kalau rumah teres, boleh letak iklan pada pagar. Kalau apartmen sulit sedikit. Kaedah terbaik ialah mengiklankan menerusi media massa atau berdaftar dengan platform khusus untuk rumah sewa seperti Airbnb.

Menurut laporan akhbar The Star, komuniti Airbnb di Malaysia adalah antara yang paling pesat peningkatannya di Asia Tenggara.

Airbnb

A‌i‌r‌b‌n‌b‌, ‌ ‌I‌n‌c‌.‌ adalah sebuah syarikat global berpangkalan di San Francisco yang mengendalikan pasaran dan perkhidmatan hospitaliti secara dalam talian, yang boleh diakses menerusi laman web dan aplikasi bergeraknya. Ahli-ahli Airbnb (pemilik rumah) boleh menggunakan Airbnb untuk mengatur atau menawarkan penginapan, terutama bersifat sewa inap desa atau pengalaman pelancongan unik.

Kira-kira dua juta pengembara mengguna pakai platform Airbnb ini, dengan 44,000 pendaftaran setakat ini. Menurut Ketua Dasar Awam Airbnb bagi Asia Tenggara, Michelle Goh yang dipetik akhbar itu berkata, pengguna Airbnb mahukan kepelbagaian dalam pilihan penginapan mereka.

“Sehingga 84 peratus tetamu kami di peringkat global menyatakan mereka mahu merasai pengalaman tinggal bersama penduduk tempatan. Bagi mereka, Airbnb adalah antidot kepada pengalaman moden, pelancong ramai dan pintu untuk menikmati hospitaliti Malaysia yang sebenarnya,’’ ujar beliau.

Kajian Airbnb juga mendapati di seluruh dunia, 44 peratus tetamu berbelanja di kawasan sekitar di mana mereka tinggal menerusi Airbnb.

19 malam

Pada 2017, komuniti Airbnb 
di Malaysia menyumbang RM200.4 juta kepada ekonomi negara ini. Seorang pemilik rumah dianggarkan meraih RM5,200 dengan menyewa kediaman mereka 19 malam dalam setahun.

Dan pemilik rumah menikmati 97 peratus daripada hasil sewaan, perolehan yang dijana bagi penduduk tempatan adalah lebih besar dan bukan sesuatu yang biasa diperoleh secara umumnya dari sektor pelancongan.

Sama seperti perniagaan dalam talian yang bakal dikenakan cukai digital oleh kerajaan, terdapat rancangan untuk mewajibkan pemilik rumah yang menjadi ahli Airbnb mendaftar dengan pihak berkuasa. Bersedia sahajalah. Tiada yang percuma hari ini.