Seseorang yang memiliki fizikal yang sihat sudah pasti memiliki ketahanan tubuh badan yang kuat, bersemangat, cergas dan pantas dalam melaksanakan tanggung jawab yang diberikan serta dalam melaksanakan pengurusan diri.

Manakala, seseorang yang memiliki mental yang sihat akan lebih bersikap positif. Pepatah Arab menyebut, “akal yang sihat terletak pada tubuh badan yang sihat”. Orang yang menjaga fizikal dan mental dalam keadaan positif/baik, akan memperoleh kesan kehidupan yang baik juga dari segi kerohaniannya.

Oleh sebab itu kita mesti menjaga roh kita, supaya kuat. Apabila roh kita kuat, fizikal kita juga akan menjadi kuat. Kekuatan fizikal itu datang daripada semangat kita yang kuat, yang lahir daripada jiwa atau roh yang kuat. Roh boleh mengawal tenaga kita, dan roh itu berada di minda bawah sedar/minda segar. Roh yang kuat akan memelihara mental dan jasad. Ibarat sebiji telur, sebiji telur jika dipecahkan oleh kekuatan dari luar, maka kehidupan di dalamnya akan berakhir. Tetapi, jika sebiji telur dipecahkan oleh kekuatan dari dalam, maka kehidupan baharu akan lahir.

Sesungguhnya yang memberikan kesan efektif dalam kehidupan kita, adalah 95 peratus terletak pada minda bawah sedar/minda segar atau roh kita, yang menentukan kita sama ada hidup atau mati atau pun mati sebelum sampai masa iaitu mati jiwa.

Oleh itu yang penting kini kita pelajari bagaimana kita hendak men­jaga dan membangunkan roh kita dari segi spiritual, dalam kehidupan yang benar dan dirahmati Allah dunia dan akhirat untuk melaksanakan tujuan hidup. Tip melaksanakan tu­juan hidup ada lima perkara yang perlu difokuskan. Pertama, fokus kepada menjaga fizikal bertu­juan mendapat fizikal yang sihat, pilih makanan yang sihat bukan ma­kanan yang sedap.

Kedua, fokus ke­pada men­­jaga minda, dengan ca­ra menam­bah­kan ilmu dan pilih bahan bacaan dan bahan tontonan; bu­kan sibuk mencari berita tetapi sibuk mencari ilmu. Ketiga, fo­kus kepada menjaga spiritual; tingkatkan keimanan dan keyakinan kepada Allah.

Keempat, fokus kepada menjaga silaturahim. Setiap apa-apa yang kita lakukan hanyalah dengan niat mencari reda Allah bukan mengharap penghargaan manusia. Ikhlas dan berlemah lembut dengan orang, sebagaimana kita tidak suka orang berkasar begitulah kita tidak boleh berkasar dengan orang.

Mengurus kehidupan

Setiap masa, fikirkan apakah manfaat yang kita telah berikan kepada orang, bukan apakah manfaat yang kita dapat daripada orang. Kelima, fokus kepada menjaga kewangan kita; jangan membazir berbelanja untuk mencantikkan imej luaran diri kita yang tidak kekal itu, tetapi banyakkanlah menggunakan wang kita berbelanja untuk meningkat imej dalaman diri kita.

Oleh sebab itu betapa pentingnya ibu bapa mengajar serta mendidik anak-anak remaja kita mengenai kemahiran hidup, iaitu tentang bagaimana kita mengurus kehidupan? Orang yang berjaya ialah orang yang membuat kehidupan berlaku, tanpa mengira apa pun yang berlaku pada persekitaran. Iaitu dia memilih fikirannya dan tidak akan terjejas sama sekali fikirannya dengan pengaruh persekitaran dan orang sekeliling.

Hal ini amat penting bagi remaja praktikkan supaya tidak tersasar daripada fokus kehidupan. Seterusnya, remaja mesti pandai mengawal fikiran dan menjaga emosi. Jika minda dan emosi terjaga, tindakan akan terkawal. Minda kita boleh menapis mana yang patut kita lakukan dan mana yang tidak patut kita lakukan. Kita perlu “penapis” minda dalam hidup kita untuk menilai dan mengasingkan mana yang baik dan mana yang buruk sebelum menerimanya dalam kehidupan kita.

Daripada segi saintifik minda ada dua lapis, iaitu minda sedar dan minda separuh sedar/minda segar (roh/hati/kalbu kita). Minda sedar itu umpama askar dan minda bawah sedar/minda segar ialah jeneral yang berpengaruh dan boleh mempengaruhi serta berkuasa dan menguasai. Dalam (minda bawah sedar/minda segar) terdapat programming software yang akan mengarahkan tubuh (fizikal) untuk melakukan tindakan, sama ada baik atau buruk.

Jom kita berikan imej positif kepada mereka dengan melihat remaja ini sebagai benih-benih segar yang akan tumbuh menjadi pohon yang subur dan rendang. Fikir-fikirkan, baja apakah yang patut kita letak sekarang ini bagi membolehkan nanti benih itu menjadi pohon yang segar, tegak mendongak langit.

Usahlah kita menjadi pembunuh semangat, belum pun tumbuh bercambah benih semaian kita itu, kita sudah mengatakan pokok itu rosak. Ketika menyiram benih semaian yang mula bercambah, hati kita meragui, bolehkah hidup pokok ini atau lebih teruk lagi kita kata, pokok ini pasti mati.

Maka akan pasti matilah pokok itu. Kerana saya amat yakin dengan konsep pemikiran “reset minda”, apa yang kita fikir, rasa dan katakan itu, umpama doa dan harapan, maka itulah yang bakal terjadi kepada remaja kita. Hentikan tanggapan buruk terhadap remaja! “Jom jaga diri, jaga akidah, ibadah dan akhlak”.

Hakikatnya, roh kita lebih kuat daripada fizikal. Minda bawah sedar (kalbu/hati/jiwa/roh) menentukan akhlak kita. Sebab itulah kita perlu programkan sistem nilai yang mahu dicorakkan atau dibentuk dalam hidup kita yang akan menjadi sifat dan tabiat hidup kita. Perwatakan kita bermula daripada pemikiran.

Pemikiran diukur daripada perkataan yang keluar dari mulut dan tindakan kita, iaitu tindakan terzahir yang menjadi tabiat dan karakter kita, yang akhirnya menentukan siapa kita, sama ada seorang yang positif atau negatif. Sikap memang sukar untuk diubah kerana “dunia dalaman” seseorang itu menggambarkan “dunia luarannya". Jika kita perah limau akan keluarlah jus limau, dan kalau perah epal keluar jus epal begitulah ibaratnya.

Hidup kita kini semakin mencabar dalam zaman teknologi maklumat yang pesat dan pantas perkembangannya. Dibandingkan pada zaman dahulu, kita di kampung tidak banyak cabaran seperti sekarang, terutama di bandar. “Penapis” itu menentukan hasil kehidupan kita. Kalau kita betulkan “penapis” itu sekarang daripada rosak, tentu kita tidak bimbang lagi “penapis” kita itu akan ditembusi perkara yang kita tidak mahu dalam hidup kita. Bagi membina imej diri yang positif pastikan diri kita memiliki “penapis” minda yang baik dan dapat mengawal perjalanan keluar masuk maklumat yang berbentuk positif dan negatif ke dalam minda kita, sama ada minda sedar atau minda bawah sedar/minda segar.