Daripada ketiga-tiga program ini Siti tidak nampak apa yang didakwa sebagai 'menghargai' sumbangan P. Ramlee, sama ada dalam filem atau nyanyian. Teater muzikal P. Ramlee lebih kepada menghidupkan P. Ramlee di pentas. Drama dalam slot Tribute P. Ramlee pula hanya bertenggek di atas nama lagu atau lirik nyanyian P. Ramlee, Bintang P. Ramlee lebih kepada menyanyikan semula lagu-lagu P. Ramlee.

Apa yang Siti faham, menghargai seseorang maksudnya mengangkat nilai-nilai pemikiran besar daripada tokoh yang kita hendak hargai itu. Dalam konteks ini Siti percaya P. Ramlee mempunyai sisi pemikiran yang tidak diterokai. Mengangkat pemikiran inilah yang membawa maksud menghargai P. Ramlee.

Tapi berapa banyak pengarah teater atau drama yang melihat pemikiran daripada penampilan luaran? Siti percaya tidak banyak. Yang banyak hanya melihat P. Ramlee sebagai P. Ramlee 'yang dilihat bukan difikir.'

Jangan marah kalau dikatakan kita tidak tahu menghargai tokoh. P. Ramlee yang sebenarnya, terbiar tanpa diangkat. Selepas kembalinya P. Ramlee pada tahun 1973, cuba kira berapa banyak pertandingan nyanyian lagu P. Ramlee yang dianjurkan. Di RTM saja pun dah banyak. Tapi apa yang diangkat daripada pertandingan begini? Lebih teruk lagi ada yang cuba meniru gaya P. Ramlee.

Siti kecewa dengan slot Tribute P. Ramlee. Bukan kecewa kerana RTM menggunakan perkataan tribute, biarlah dah penat cakap utamakan bahasa Melayu, ketegar juga nak bahasa Inggeris kononnya nak nampak moden. Moden? Siti kecewa kerana pemikiran P. Ramlee tidak terungkap. Siti sedih kerana P. Ramlee telah diremehkan sedemikian rupa.

Kalaulah Siti diminta mengisi slot itu, sudah tentu Siti memilih menjuruskan drama-drama dalam slot itu mesti mengangkat prinsip sosial P. Ramlee misalnya anti feudal, anti kapitalis dan memperjuangkan golongan kelas marhaen. Inilah rumusan daripada sebahagian filem hebat P. Ramlee.

Adakah perkara ini ada dalam drama Tribute P. Ramlee? Mungkin tak sampai seru lagi untuk menuju ke arah itu. Tak apa, Siti realistik dan tidak menaruh harapan tinggi pun terhadap drama-drama dalam slot itu.

Malam ini pula Bintang P. Ramlee. Ayuh bernostalgialah kita dengan lagu-lagu P. Ramlee. Selepas itu burung kakak tua pun berkata-kata, "Hilang P. Ramlee tidak berganti." Rasanya frasa ini hanya diucapkan oleh burung kakak tua kita sahaja.

SITI JARUM: Mengelak guna Jalan P. Ramlee kerana selalu ada pesta arak.

Apa isunya biopic saloma?

Siti belum dan mungkin tak menonton drama biopic Saloma yang ditayangkan di Astro First. Siti tidak mempunyai masa yang banyak untuk dihabiskan di depan televisyen selain Astro Awani.

Tapi sejak seminggu lalu kecoh pasal biopic Saloma. Tapi sebelum itu biar Siti terangkan maksud biopic dulu. Biopic adalah filem atau drama yang melakonkan semula dengan tafsiran baharu watak seseorang. Ada elemen drama dan fakta. Orang selalu lupa elemen drama ini. Kontroversi biopic Saloma dicetuskan oleh keluarga A.R Tompel, salah satu watak selain Saloma lakonan Nabila Huda.

Keluarga A.R Tompel mendakwa biopic itu memberikan imej hitam kepada A.R Tompel. Siti pun tidak tahu hitam yang bagaimana kerana tidak menonton. Siti fikir keluarga kena faham bahawa ini bukan dokumentari tentang A.R Tompel. Ini sebuah kisah benar yang didramakan. Ini samalah dengan sebuah sejarah yang difilemkan. Sejarah sudah tidak ada dalam filem itu kerana diserapi elemen dramatik.

Sebenarnya memang sukar membuat biopic kerana sesetengah keluarga kurang memahaminya. Malah filem Soekarno juga dicemuh oleh sesetengah ahli keluarga kerana bagi mereka Presiden Indonesia itu bukan seperti yang digambarkan. Tapi itu hanya sebuah tafsiran. Khalayak dan pengarah ada tafsiran tersendiri.

Siti tertarik apabila pengarah filem Soekarno berkata, sebagai pengarah dia mesti memperlihatkan tafsirannya. Maka yang di layar itu adalah tafsiran pengarah. Dalam isu biopic Saloma, Siti fikir Melisa Saila sebagai pengarah harus diberi ruang untuk memperlihatkan tafsirannya terhadap Saloma dan watak-watak lain di sekitar hidup Saloma.

Filem JFK mengenai Presiden John F. Kennedy yang dibunuh tetapi sehingga kini tidak ada fakta siapa yang membunuhnya. Bagaimanapun dalam filem itu pengarahnya, Oliver Stone membuat tafsiran sendiri daripada sekian banyak teori konspirasi pembunuhan Kennedy. Peliknya keluarga Kennedy tidak pula memprotes terhadap Oliver Stone. Mungkin keluarga Kennedy faham bahawa itu hanya tafsiran pengarah.

SITI JARUM: Suka mencelah.